Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terkini. Papar semua catatan

Khamis, 6 Januari 2022

Blackberry tamatkan sokongan perisian, semua peranti versi klasik tidak berfungsi dengan baik lagi

Blackberry tamatkan sokongan perisian, semua peranti versi klasik tidak berfungsi dengan baik lagi


Syarikat BlackBerry secara rasmi menamatkan sokongan perisian bagi semua model telefon pintar keluaran terdahulu, lapor laman berita Independent pada 4 Januari 2022.


Ini bermakna semua model peranti klasik syarikat itu yang menggunakan sistem operasi BlackBerry OS atau BB10 OS tidak akan mempunyai sokongan perisian lagi.


BlackBerry memaklumkan perkhidmatan bagi telefon pintar itu telah ditamatkan pada 4 Januari lalu. Jelas syarikat itu, semua peranti versi klasik kini tidak dapat berfungsi dengan baik lagi.


Ia termasuk kehilangan fungsi untuk membuat panggilan, menghantar pesanan teks, menerima data mahupun panggilan perkhidmatan kecemasan. Penamatan tawaran perkhidmatan dan infrastruktur ini juga akan menjejaskan beberapa fungsi lain. 


"Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada BlackBerry Protect baharu yang mana merupakan penyelesaian keselamatan berasaskan teknologi AI," jelas syarikat itu dalam kenyataan.


BlackBerry adalah telefon pintar yang digemari ramai satu masa lalu, yang membantu memacu revolusi mudah alih dan berada di barisan hadapan perniagaan dan teknologi. Versi terakhir BlackBerry OS dikeluarkan pada tahun 2013.


Pada tahun 2016, selepas telefonnya digantikan sebahagian besarnya oleh telefon pintar daripada Apple dan lain-lain. BlackBerry mengumumkan bahawa ia telah beralih daripada telefon kepada pembuatan perisian.


Bermakna, mereka akan menumpukan pada menyediakan alat keselamatan kepada syarikat dan kerajaan. Ia telah menjual jenama BlackBerry kepada syarikat lain yang kemudian mencipta peranti dengan nama itu.


Pada tahun 2020, BlackBerry berkata, ia akan mula menggunakan perkhidmatan legasi luar yang membolehkan peranti lama terus berfungsi. Telefon yang menjalankan mana-mana sistem pengendalian BlackBerry 7.1 OS dan lebih awal, perisian BlackBerry 10 telah diberi 'tarikh tamat hayat atau penamatan' pada awal tahun 2022.


Tarikh itu akhirnya tiba dan sokongan telah berakhir. Walaupun telefon masih boleh melaksanakan beberapa fungsi mereka tanpa perkhidmatan BlackBerry, banyak ciri utamanya akan dialih keluar dan telefon tidak akan berfungsi dengan baik.


BlackBerry berkata sokongan itu telah dialih keluar sebagai mengiktiraf hakikat bahawa mereka kini berfungsi dalam pembuatan perisian keselamatan, dan produk lama tidak menggambarkan perniagaannya.


"Ia mempunyai sokongan yang berpanjangan pada tahun-tahun sejak peralihan itu, sebagai ungkapan terima kasih kepada rakan kongsi dan pelanggan setia kami," jelas syarikat tersebut.

Selasa, 11 Mei 2021

RM4,758 satu tan, harga sawit pecah rekod tertinggi dalam sejarah kali ke-10 tahun ini

RM4,758 satu tan, harga sawit pecah rekod tertinggi dalam sejarah kali ke-10 tahun ini


Harga minyak sawit mentah (MSM) memecah rekod buat kali ke-10 dalam tahun ini, apabila mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu pada RM4,758 satu tan, semalam.


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini, berkata harga tertinggi terakhir direkodkan komoditi itu ialah RM4,652 satu tan pada 6 Mei lalu.


"Harga minyak sawit mentah memecahkan rekod lagi dengan RM4,758 satu tan metrik pada 10 Mei 2021. Harga tertinggi terakhir ialah pada 6hb Mei iaitu RM4,652. Ini kali ke 10 rekod harga tertinggi dalam sejarah sawit dicatatkan pada tahun 2021.


"Dengan kenaikan harga Buah Tandan Segar melebihi RM1,000 satu tan metrik para peneroka dengan kebun sawit seluas 4.04 hektar (10 ekar) boleh mengecapi pendapatan sekitar RM6,000 sebulan," katanya.


Semalam, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata harga MSM melonjak 12.03 peratus dalam tempoh hanya dua bulan sejak 15 Mac lalu.


Beliau berkata, prestasi positif harga MSM disokong peningkatan harga minyak kacang soya, lonjakan eksport dan stok minyak sawit yang masih terkawal.


"Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 12.6 peratus kepada 1.34 juta tan pada April 2021 berbanding 1.19 juta tan pada Mac 2021 disebabkan peningkatan permintaan dari negara pengimport utama.


"Stok minyak sawit susut 24.4 peratus kepada 1.55 juta tan pada April 2021 daripada 2.04 juta tan bulan sama tahun lalu. Ini disebabkan pengeluaran MSM bagi Januari hingga April 2021 adalah enam peratus lebih rendah kepada 5.18 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 5.51 juta tan," katanya.

Sabtu, 27 Mac 2021

Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez

Dunia rugi RM1.6 bilion sejam, disebabkan kapal kontena besar tersadai di Terusan Suez


Mesir dilanda ribut debu dan angin kencang mencecah sehingga 40 knot sejak Selasa lalu, menyebabkan satu daripada kapal kontena terbesar dunia tersadai di Terusan Suez akibat ribut tersebut, mengakibatkan kesesakan lalu lintas marin yang teruk.


Memetik kenyataan Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) pada Rabu, berkata kapal seberat 224,000 tan didaftarkan di Panama itu dalam perjalanan dari China ke Rotterdam, terkandas akibat angin kencang dan ribut debu.


Terusan Suez adalah laluan perdagangan laut penting di dunia, membolehkan kapal belayar antara Eropah dan Asia Selatan tanpa melalui sekitar perairan Afrika dan dapat mengurangkan jarak pelayaran antara Eropah dan India kira-kira 7,000 kilometer.



Menurut laporan jurnal berita Lloyd’s List, gangguan perjalanan itu mengakibatkan kerugian mencecah AS$400 juta (RM1.6 bilion) sejam. Tambah Lloyd’s List, anggaran nilai barang yang dibawa kapal kargo itu mencecah AS$9.7 bilion (RM40 bilion) sehari.


Daripada jumlah tersebut, sebanyak AS$5.1 bilion (RM2.1 bilion) dibawa oleh kepal dari timur ke barat dan AS$4.6 bilion (RM19 bilion) dibawa oleh kapal dari barat ke timur.



Kesesakan itu juga memaksa hampir 300 buah kapal kargo lain untuk menukar laluan melalui Afrika dengan perjalanan yang lebih jauh, kos yang tinggi dan juga berbahaya. Ia juga memberi kesan kepada bekalan global yang meningkat naik dalam pandemik Covid-19.


Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perkapalan Belanda Boskalis, Peter Berdowski berkata pihaknya telah mencuba pelbagai usaha untuk mengalihkan kapal itu daripada sekatan namun tempoh yang diperlukan untuk berbuat demikian tidak dijelaskan.


Ketika ini, usaha mengapungkan semula kapal Ever Given yang tersekat itu masih giat diteruskan. Terusan Suez merupakan salah satu laluan air terpenting di dunia yang menghubungkan Mediterranean dengan Laut Merah serta merupakan laluan perkapalan ke Asia.


Ia meliputi sepanjang 190 kilometer, sedalam 24 meter dan seluas 205 meter merupakan laluan puluhan kapal kontena besar dalam masa sehari.



Ahad, 21 Februari 2021

Vaksin Covid-19 sudah tiba, Polis sedia pasukan pengiring bagi setiap pergerakan vaksin

Vaksin Covid-19 sudah tiba, Polis sedia pasukan pengiring bagi setiap pergerakan vaksin


Kuala Lumpur: Setelah lebih setahun negara 'berperang' dengan pandemik Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini, akhirnya kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi tadi.


Ketibaan vaksin itu disambut oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Turut hadir menyambut ketibaan vaksin berkenaan adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.


Kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech
dibawa keluar oleh petugas MasCargo dari Pesawat
Airbus 330-300 MAS selepas tiba di KLIA.


PDRM menyediakan pasukan pengiring


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin Covid-19 yang tiba di negara ini, kata Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.


Beliau berkata, bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terbabit dalam mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain pembabitan aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.


Menurutnya, sebaik tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.


"Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok.


"PDRM mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik dan cawangan khas akan terbabit dalam penugasan ini," katanya kepada Bernama hari ini.


Azri berkata, selain terbabit dalam penugasan mengiringi kesemua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik dan juga balai polis bergerak.


Beliau berkata, PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.


"Kami menganggap ini adalah tugasan yang sangat penting, kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik Covid-19," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tiada keperluan untuk jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.


"Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat, serta tiada keperluan juga untuk melakukan penutupan jalan," katanya.

Ahad, 14 Februari 2021

Dron nuklear Russia mampu hancurkan Amerika Utara, misil nuklear RS-28 lebih dahsyat

Dron nuklear Russia mampu hancurkan Amerika Utara, misil nuklear RS-28 lebih dahsyat


Russia bersedia untuk menguji dron nuklearnya yang dikatakan mempunyai kekuatan untuk menghancurkan benua Amerika Utara. Akhbar The Sun, yang memetik laporan akhbar Russia Izvestia, melaporkan persediaan menguji dron dalam air dinamakan Poseidon yang akan dibawa oleh kapal selam Belgorod itu sedang berjalan.


Difahamkan, Russia akan memiliki kira-kira 30 dron nuklear Poseidon menjelang 2027, yang boleh dilengkapi dengan senjata konvensional atau nuklear. Dron itu juga boleh digunakan untuk memusnahkan pelbagai jenis sasaran dan berjaya dilancarkan dari kapal selam berkuasa diesel sebelum ini.


Presiden Russia, Vladimir Putin, mendedahkan maklumat mengenai dron nuklear itu pada 2015, ketika Poseidon dikenali sebagai Sistem Lautan Pelbagai Fungsi Status-6. Dron itu boleh bergerak pada kelajuan mencecah 85 kilometer sejam (km/j) di dalam air dan mampu mencapai sasaran sejauh 10,000 kilometer.


Kementerian Pertahanan Russia menunjukkan
dron dalam air berkuasa nuklear, Poseidon.


Menurut media Russia, ia juga berupaya membawa peledak peluru nuklear dengan kuasa letupan 100 megaton. Tahun lalu, seorang pegawai tentera laut, Kapten Konstantin Sivkov, berkata Poseidon mampu menyebabkan gempa bumi dan menghancurkan benua Amerika Utara.


Jika diletupkan di dalam laut, Poseidon dikatakan mampu mencetuskan ombak tsunami setinggi 300 kaki. Sebagai perbandingan, bom atom yang digugurkan di Hiroshima mempunyai kekuatan sekitar 15 kiloton dan kekuatan 100 megaton adalah bersamaan 100,000 kiloton.


Russia dedah misil nuklear bom terkuat di dunia


Gambar misil nuklear yang diberi nama
RS-28 dan digelar sebagai 'Satan 2'.

Russia pada Okteber 2016 lalu, turut mendedahkan gambar misil nuklear terbesarnya yang dikatakan mampu memusnahkan kawasan berkeluasan sebuah negara Perancis.


Mail Online memberitahu, misil itu yang diberi nama RS-28 dan digelar sebagai 'Satan 2' oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), boleh bergerak dengan kelajuan maksimum tujuh kilometer per saat dan direka dengan ciri yang boleh mengatasi sistem perisai anti-misil.


Misil itu boleh melancarkan kepala peledak sehingga sehingga 40 megaton iaitu 2,000 kali lebih kuasa berbanding bom atom yang menghancurkan Hiroshima dan Nagasaki pada tahun 1945.


Menurut rangkaian berita Rusia, Zvezda, misil itu mempunyai keupayaan jarak sehingga 10,000 km yang dikatakan mampu menyerang London dan beberapa bandar Eropah lain serta Amerika Syarikat.

Isnin, 8 Februari 2021

Virus Nipah tiada vaksin khusus dijangka kembali menular, ancam penduduk dunia

Virus Nipah tiada vaksin khusus dijangka kembali menular, ancam penduduk dunia


Belum pun reda penularan wabak Covid-19, ada ramalan menjangkakan virus Nipah yang bermula di Asia akan menjadi pandemik seterusnya. Jika ia berlaku, penduduk dunia sekali lagi perlu berdepan ancaman kesihatan yang boleh meragut nyawa.


Penyakit itu boleh mengakibatkan sehingga 75 peratus risiko kematian kepada penghidapnya. Wabak ini pertama kali dikenal pasti di Malaysia pada 1997 apabila ia melanda Kampung Sungai Nipah dan Bukit Pelandok di Negeri Sembilan sehingga meragut 105 nyawa.


Virus Nipah ialah virus zoonotik yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia. Pakar Perunding Mikrobiologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, jangkitan ini dikatakan pandemik kerana berpotensi merebak ke seluruh dunia.


"Apabila virus ini memasuki badan manusia, ia akan menyebabkan demam, sakit kepala, sesak nafas dan kesan paling teruk ialah keradangan otak yang akhirnya mengakibatkan maut.


"Kemudian virus ini boleh bermutasi menjadikannya lebih mudah menjangkiti manusia antara manusia," katanya.


Menurut Dr Zamberi, penularan virus Nipah yang berlaku di Malaysia satu ketika dahulu disebabkan oleh kelawar. Haiwan ini membawa banyak virus dan satu daripadanya ialah virus Nipah.


"Kelawar makan buah, buah yang sudah tercemar dengan virus Nipah jatuh di atas tanah dan dimakan khinzir lalu menyebabkan haiwan ini (khinzir) sakit.


"Khinzir mengalami batuk dan bersin lalu menyebarkan virus ini dengan menjangkiti pekerja ladang ternakan haiwan berkenaan," katanya.


Virus Nipah boleh menyebabkan kematian dan
masih tiada vaksin untuk merawat jangkitan virus Nipah.


Menurut Dr Zamberi, pada masa itu, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan drastik membunuh khinzir bagi menghentikan penyebaran virus. Pada masa sekarang, penyakit ini dikesan di India dan Bangladesh, tetapi bukan berpunca daripada khinzir.


"Ia disebabkan penduduk minum air nira kelapa dicemari virus Nipah yang diambil daripada pokok kelapa," katanya.


Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, virus Nipah hanya menjangkiti 600 orang dalam tempoh 17 tahun. WHO turut melaporkan, pada 2018, virus Nipah adalah masalah kesihatan awam yang serius kerana ia boleh menyebabkan kadar kematian tinggi kepada manusia dan tiada rawatan serta vaksin yang berkesan.


Ditanya mengenai langkah yang boleh diambil jika berlaku jangkitan virus Nipah, Dr Zamberi berkata, pesakit disyaki perlu diasingkan lebih awal bagi mengelak mereka menjadi rantaian penularan penyakit ini.


"Pada masa sama, pihak berkaitan akan mengesan lokasi yang menjadi punca jangkitan dan perlu membuat siasatan untuk mengenal pasti mengapa kawasan itu menjadi penyebabnya.


"Adakah terdapat banyak kelawar di kawasan berkenaan? Namun, untuk menghapuskan haiwan itu, ia bukan tindakan yang tepat kerana populasinya sangat banyak.


"Kita bimbang apabila kes melonjak, virus akan bermutasi dan menjangkiti antara manusia kepada manusia dengan mudah. Seandainya terjadi, keadaan akan menjadi rumit," katanya.


Mrnurut Dr Zamberi, penularan lebih mudah dihentikan jika interaksi haiwan yang berkaitan dengan manusia dielakkan. Pada masa ini tiada ubat atau vaksin khusus untuk merawat jangkitan virus Nipah.


"Untuk membangunkan vaksin Nipah sudah tentunya membabitkan kos tinggi dan memerlukan tempoh kajian lebih panjang.


"Tambahan pula, wabak ini berlaku secara bermusim dan 'berpindah' ke lokasi berbeza disebabkan penularannya bergantung kepada interaksi manusia dengan haiwan terbabit," katanya.


Jelasnya, berbanding vaksin Covid-19, ia lebih mudah dihasilkan kerana bilangan kes yang tinggi menyebabkan kajian klinikal boleh dijalankan dengan cepat. Ditambah pula teknologi baharu mRNA membolehkan vaksin ini (Covid-19) dihasilkan dengan lebih cepat.

Sabtu, 30 Januari 2021

Lelaki warga emas ditemukan mati depan komputer riba

Lelaki warga emas ditemukan mati depan komputer riba


Bukit Mertajam: Perasaan risau seorang ibu selepas gagal menghubungi anak lelakinya terungkai apabila anaknya itu ditemukan meninggal dunia di ruang tamu sebuah rumah di Taman Jambu Mawar, di sini, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki warga emas berusia 68 tahun pada 9.45 malam daripada jiran mangsa.


Beliau berkata, apabila pihaknya ke lokasi untuk membuat siasatan, terdapat adik mangsa berusia 62 tahun di rumah itu.


"Hasil temu bual, adik mangsa memberitahu dia datang ke rumah abangnya selepas ibunya memberitahu risau apabila berkali-kali menelefon abangnya, tetapi panggilan tidak dijawab.


"Adik mangsa melihat melalui cermin sebelum ternampak abangnya terbaring di ruang tamu, namun tidak dapat masuk ke rumah memandangkan pintu berkunci," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Shafee berkata, adik mangsa meminta pertolongan jiran abangnya yang menghubungi bomba untuk membuka pintu. Sebaik pintu dibuka pemeriksaan petugas perubatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.


"Pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang unsur jenayah dan adik mangsa memaklumkan abangnya yang tinggal seorang diri di rumah itu mempunyai penyakit jantung.


"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk proses bedah siasat dan mangsa didapati meninggal dunia akibat kanser pundi kencing dialaminya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.


Mangsa sebelum itu ditemukan dalam keadaan duduk di atas lantai menghadap sebuah komputer riba dan tidak memberikan reaksi apabila namanya dipanggil. Jiran terbabit kemudian menghubungi bomba pada 9.30 malam apabila mendapati pintu rumah itu berkunci.