Selasa, 11 Mei 2021

RM4,758 satu tan, harga sawit pecah rekod tertinggi dalam sejarah kali ke-10 tahun ini


Harga minyak sawit mentah (MSM) memecah rekod buat kali ke-10 dalam tahun ini, apabila mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu pada RM4,758 satu tan, semalam.


Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini, berkata harga tertinggi terakhir direkodkan komoditi itu ialah RM4,652 satu tan pada 6 Mei lalu.


"Harga minyak sawit mentah memecahkan rekod lagi dengan RM4,758 satu tan metrik pada 10 Mei 2021. Harga tertinggi terakhir ialah pada 6hb Mei iaitu RM4,652. Ini kali ke 10 rekod harga tertinggi dalam sejarah sawit dicatatkan pada tahun 2021.


"Dengan kenaikan harga Buah Tandan Segar melebihi RM1,000 satu tan metrik para peneroka dengan kebun sawit seluas 4.04 hektar (10 ekar) boleh mengecapi pendapatan sekitar RM6,000 sebulan," katanya.


Semalam, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata harga MSM melonjak 12.03 peratus dalam tempoh hanya dua bulan sejak 15 Mac lalu.


Beliau berkata, prestasi positif harga MSM disokong peningkatan harga minyak kacang soya, lonjakan eksport dan stok minyak sawit yang masih terkawal.


"Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 12.6 peratus kepada 1.34 juta tan pada April 2021 berbanding 1.19 juta tan pada Mac 2021 disebabkan peningkatan permintaan dari negara pengimport utama.


"Stok minyak sawit susut 24.4 peratus kepada 1.55 juta tan pada April 2021 daripada 2.04 juta tan bulan sama tahun lalu. Ini disebabkan pengeluaran MSM bagi Januari hingga April 2021 adalah enam peratus lebih rendah kepada 5.18 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 5.51 juta tan," katanya.


EmoticonEmoticon