Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Isnin, 21 Jun 2021

'Wawa Wahid Enterprise' Tengking Polis Di SJR Direman Dua Hari

'Wawa Wahid Enterprise' Tengking Polis Di SJR Direman Dua Hari


KOTA KINABALU - Wanita dalam video tular yang dilihat menengking polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan, baru-baru ini ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan lanjut.


Wanita berusia 34 tahun itu ditahan dirumahnya di salah sebuah kondominium di Jalan Lintas, kira-kira jam 11.20 pagi, semalam. Polis turut merampas pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian berkenaan bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, wanita berusia 34 tahun itu direman bermula hari ini bagi membantu melengkapkan siasatan kes.


Berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan dipercayai membuat provokasi kerana marah terhadap anggota polis yang ingin mengeluarkan saman bagi dua kesalahan iaitu cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.


"Laporan polis ke atas wanita ini dibuat pada pukul 8.20 malam Sabtu setelah video tersebut tular dalam media sosial. Kemudian, wanita ini ditahan di sebuah kondominium di Jalan Lintas pukul 11.20 pagi semalam.


"Semasa ditahan, wanita ini memberi kerjasama yang baik kepada anggota polis yang bertugas," katanya dalam sidang akhbar hari ini.



Mohd. Zaidi berkata, setakat ini proses siasatan sudah 80 peratus siap dan kertas siasatan yang lengkap akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Mengulas lanjut, beliau menafikan dakwaan bahawa suspek terpaksa menunggu 30 minit sebelum saman dikeluarkan kerana berdasarkan jarak suspek ditahan dan tempat dia memberhentikan kenderaan tidak terlalu jauh maka, tidak logik mengambil masa 30 minit.


Tambah Mohd. Zaidi, video tersebut diambil salah seorang petugas di SJR Jalan Kepayan dan kesemua anggota yang bertugas di SJR itu dipanggil untuk rakaman percakapan.


Katanya, polis turut mengambil tiga telefon pintar milik anggota polis yang bertugas bagi membantu siasatan lanjut. Seorang pegawai dan tujuh anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dipanggil bagi membantu siasatan.


Terdahulu, tular video dalam media sosial sejak 19 Jun lalu yang memaparkan seorang wanita menengking anggota trafik di SJR Jalan Kepayan selepas dikenakan saman kerana cukai jalan tamat tempoh.


Polis merampas pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian berkenaan bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.

Sabtu, 12 Jun 2021

Buaya Tersesat Di Pulau Gaya Berjaya Ditangkap Penduduk

Buaya Tersesat Di Pulau Gaya Berjaya Ditangkap Penduduk


KOTA KINABALU - Kehadiran seekor buaya disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.


Reptilia itu dianggarkan sepanjang empat meter dipercayai tersesat berhampiran perairan Pulau Gaya. Bagaimanapun buaya itu berjaya ditangkap penduduk kampung petang tadi.


Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, dibimbangi mengancam keselamatan penduduk di kampung itu, penduduk mengekori reptilia terbabit dengan menggunakan bot.


Katanya, kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut selain hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong, sebelum penduduk bekerjasama menangkap reptilia berkenaan.


"Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya sekitar 5.30 petang. Kami kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap reptilia berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.


"Tujuan kami menangkap buaya berkenaan adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak. Ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini," katanya.


Buaya yang berjaya ditangkap penduduk di Kampung Lobong, Pulau Gaya.

Rabu, 2 Jun 2021

'Hanya latihan penerbangan biasa' China patuh undang-undang antarabangsa, tak ceroboh ruang udara Malaysia

'Hanya latihan penerbangan biasa' China patuh undang-undang antarabangsa, tak ceroboh ruang udara Malaysia


Malaysia baru sahaja dikejutkan dengan berita kejadian pencerobohan 16 pesawat asing dari China di ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu, Sabah, semalam. 16 pesawat China terbabit dipercayai merupakan pesawat tentera udara China.


Kehadiran mereka yang langsung tidak diundang itu menimbulkan pelbagai spekulasi serta kebimbangan awam. Kementerian Luar Negeri mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada China ekoran pencerobohan 16 pesawat tentera negara itu di ruang udara Zon Maritim Malaysia.


Kedutaan Besar China di Malaysia kemudian memberi penjelasan mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin sebagai latihan penerbangan biasa.



Jurucakap kedutan itu berkata, kesemua 16 pesawat Tentera Udara China (PLAAF) tersebut tidak langsung menyasarkan mana-mana negara. Menurut undang-undang antarabangsa, kapal terbang tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan.


"China dan Malaysia adalah negara jiran yang baik dan China bersedia meneruskan hubungan dua hala dengan Malaysia bagi bersama-sama mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.


"Malah, sepanjang latihan tersebut, pesawat tentera China itu mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkaitan dan tidak memasuki ruang udara wilayah mana-mana negara lain," katanya.


Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang terbang pada ketinggian 23,000 dan 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots


Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. China ketika ini semakin agresif meluaskan 'jajahannya' di wilayah perairan yang dituntut di Laut China Selatan.


Malahan, pasukan pengawal pantai China sering memberi amaran kepada mana-mana bot atau kapal yang melalui kawasan tersebut. Sumber: Berita HarianAstro Awani


Baca juga: 16 pesawat PLAFF China masuk Zon Maritim Malaysia, berhampiran Kota Kinabalu

Selasa, 18 Mei 2021

Polis Sabah tembak mati lima anggota Abu Sayyaf di Beaufort

Polis Sabah tembak mati lima anggota Abu Sayyaf di Beaufort


KOTA KINABALU - Polis Sabah menembak mati lima lelaki dipercayai terbabit dalam kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dalam insiden berbalas tembakan di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort, semalam.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, salah seorang yang terbunuh adalah antara pemimpin (sub-leader) kumpulan Abu Sayyaf dan dinamakan dalam senarai dikehendaki kerajaan Filipina.


"Tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti namanya. Semua suspek ini berusia antara 20-an hingga 40-an.


"Berdasarkan maklum balas pihak berkuasa Filipina, empat suspek yang ditembak mati disahkan sebagai ahli kumpulan ASG. Dua yang ditembak mati ini juga disahkan pernah terbabit dalam insiden pengeboman lori tentera pasukan keselamatan Filipina," katanya pada sidang akhbar di IPK Sabah sebentar tadi.


Mengulas lanjut mengenai kejadian, hasil operasi gabungan PDRM dan Esscom itu berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah yang mempunyai kaitan atau baiah dengan kumpulan Daish.


"Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, seorang lelaki dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu sebelum terus melepaskan tembakan ke arah pasukan polis. Pada masa sama, beberapa lagi suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang turut keluar dan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan.



"Dalam usaha mempertahankan diri serta menghentikan ancaman, pasukan serbuan membalas tembakan. Semua penjenayah itu ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah yang menjalankan operasi Ops Khas.


"Polis turut merampas dua pucuk pistol, dua kelongsong peluru, 20 peluru hidup dan tiga bilah parang. Dalam insiden ini, semua anggota dan pegawai polis terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Kata Hazani, pihaknya mengesyaki masih ada lagi saki baki atau tali barut kepada kumpulan Abu Sayyaf ataupun pejuang Daish yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah.


Sehubungan itu, Hazani mengingatkan kepada pasukan keselamatan negara termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaab Maritim Malaysia (APMM) supaya sentiasa berhati-hati kerana kemungkinan besar berlaku tindak balas susulan kejayaan IPK Sabah kali ini.


Polis Sabah menembak mati lima lelaki dipercayai terbabit sebagai kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dalam insiden berbalas tembakan di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort semalam.

Hazani Ghazali (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superitendan Yusoff Zaki Mat Yaacob (depan tengah) menunjukkan senjata yang berjaya dirampas dalam serbuan di Beaufort, Sabah.

Jumaat, 30 April 2021

Seorang lelaki dibunuh, gara-gara ajak isteri orang bersetubuh

Seorang lelaki dibunuh, gara-gara ajak isteri orang bersetubuh


KOTA KINABALU - Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh rakan senegara sebelum mayatnya ditemukan terapung dalam parit ladang sawit, berhampiran Kampung Siang Siang Laut, dekat Lawas pada Rabu lalu.


Cemburu dipercayai menjadi motif pembunuhan mangsa yang dikenali sebagai Imran, berusia awal 40-an. Difahamkan sebelum kejadian mangsa mengganggu isteri rakannya termasuk ajak bersetubuh.


Mayat mangsa ditemukan terapung oleh orang ramai dalam keadaan tidak berbaju, berseluar jeans hitam, dan dibaluti dengan kanvas berwarna biru dan jingga sekitar pukul 9.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Supritrenden Roslan Leman berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kecederan pada kepala mangsa termasuk kesan tetakan di kepala, bahagian belakang badan dan lutut kiri mangsa.


"Kita berjaya menahan seorang suspek berbangsa Bugis berumur 32 tahun berasal dari Indonesia pada pukul 12.10 tengah hari di sebuah kuarters Ladang Trusan, di kawasan Sundar pada Rabu.


"Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah bergaduh dengan mangsa pada Isnin berpunca daripada mangsa selalu mengganggu isterinya termasuk mengajak isterinya bersetubuh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Roslan, suspek mengaku bertindak sendirian, dengan bersenjatakan tombak sawit untuk mencederakan dan menikam mangsa sehingga mati lalu membalut mayat mangsa menggunakan kanvas.


"Suspek juga mengaku memikul mayat mangsa seorang diri untuk dibuang di lokasi penemuan mayat dan lokasi sebenar pergaduhan sedang diteliti," katanya.


Katanya lagi suspek datang ke Malaysia sejak enam bulan lepas melalui jalan tikus Sindumin, Sabah-Lawas, membawa bersama dua anaknya berumur dua dan enam tahun serta isterinya pada waktu malam.


Beliau berkata, pemeriksan radius 100 meter telah dibuat untuk mencari pergelangan tangan mangsa dan senjata yang digunakan oleh suspek namun tidak dijumpai. Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selasa, 27 April 2021

'Angkara cinta' seorang lelaki ditemukan maut, kejadian di Penampang

'Angkara cinta' seorang lelaki ditemukan maut, kejadian di Penampang


Kebelakangan ini kita sering dipaparkan berita mengenai kes bunuh diri yang bukan hanya dalam kalangan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak. Antara cubaan atau tindakan membunuh diri yang dikesan termasuk terjun daripada bangunan, terjun ke sungai, menggantung diri dan sebagainya.


Kes terbaru, seorang lelaki ditemukan mati di dalam kenderaannya dipercayai membunuh diri, akibat mempunyai masalah cinta dengan kekasih, kejadian di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Divatto, Penampang, hari ini.


Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an ditemui abang kandungnya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.


Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, abang mangsa memaklumkan adiknya berada dalam tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia.


"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.


"Siasatan lanjut menemui satu saluran hos yang disambungkan dari ekzos kenderaan ke dalam kereta melalui cermin pintu belakang," katanya ketika ditemui, hari ini.


Mohd Haris berkata, kejadian dipercayai dilakukan sendiri oleh mangsa berdasarkan tiada sebarang unsur-unsur jenayah dikesan di lokasi. Pihak polis percaya mangsa membunuh diri akibat masalah dengan kekasih berdasarkan nota yang mangsa tinggalkan di dalam kereta.


"Kini mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat. Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Ahad, 28 Februari 2021

Kembali ke pangkuan keluarga selepas terkandas lebih 30 tahun di Sarawak, hidup merempat

Kembali ke pangkuan keluarga selepas terkandas lebih 30 tahun di Sarawak, hidup merempat


Seorang warga emas wanita berusia 70 tahun yang terkandas lebih 30 tahun di Sarawak akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di sini pada Sabtu dengan bantuan satu operasi belas ihsan.


Wanita itu yang dikenali pasti sebagai Salmah Adeh berasal dari Labuan meninggalkan kampung halamannya 32 tahun lepas demi kehidupan lebih baik di beberapa daerah di Sarawak sebelum berpindah ke Sibu, Sarawak namun nasib tidak menyebelahinya kerana selepas itu, dia terpaksa hidup merempat.


Ahli keluarga Salmah di Labuan telah melakukan segala yang terdaya untuk mengesannya namun tiada siapa yang tahu di mana dia berada. Keadaan hidup Salmah semakin memburuk selepas menjadi mangsa ragut di Sibu dan dia telah kehilangan kad pengenalan serta wang tunai yang disimpan di dalam dompetnya.


Semasa berada di Sibu, dia bekerja dengan seorang penjual di sebuah pasar di Sibu dan mempunyai tempat untuk berteduh namun selepas majikan yang dipanggil ‘hajah’ meninggal dunia, Salmah kehilangan tempat tinggal dan terpaksa hidup merempat.


Demi meneruskan kehidupan dan mengisi perutnya, Salmah kemudian membantu penjual sayur di pasar kering serta tidur di kaki lima setiap hari selama lebih 20 tahun.


Noredah berkata ketika berpisah dengan
ibunya yang berhijrah ke Sarawak untuk
mencari rezeki, dia berusia 15 tahun.


Pada 8 Januari lepas, dia telah dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan selepas ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh seorang insan yang baik hati.


Koresponden Bernama di Sibu kemudian menyiarkan kemelut hidup warga emas itu pada Februari dan berjaya menjejaki anak saudara lelakinya, Zamain Ma’in di Labuan yang kemudian melakukan usaha untuk membawa Salmah pulang ke tempat asal wanita tersebut namun menemui jalan buntu susulan sekatan pergerakan rentas negeri akibat penularan pandemik Covid-19.


Bagaimanapun, sebuah badan bukan kerajaan Persatuan Amal Kebajikan Insan Sarawak (PAKIS) serta Jabatan Kebajikan di Sibu dan Lawas yang memulakan usaha untuk menghantar Salmah pulang ke pangkuan keluarga serta bertemu semula anak perempuannya Noredah Saman, 47.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara Labuan Rithuan Ismail berkata pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan dari Jabatan Penyelamat dan Bomba, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin Labuan yang terlibat dalam operasi belas ihsan itu.