Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sabah. Papar semua catatan

Rabu, 10 Februari 2021

Provokasi serta mengganggu tugas polis, lelaki mengaku tidak bersalah

Provokasi serta mengganggu tugas polis, lelaki mengaku tidak bersalah


Tawau: Lelaki yang menghalang dan mengganggu tugas polis ketika Op Covid Team Pemantauan dan Pematuhan SOP dekat Taman Semarak, Sabtu lalu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, pagi hari ini.


Tertuduh, Dillie Rais Sidi, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.


Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam dari menjalankan tugasnya iaitu menghalang Lans Koperal Emmie Awiera Azmi membuat pemeriksaan dokumen dirinya.


Perbuatan itu dilakukan tertuduh dengan mengganggu tugas polis ketika menjalankan Op Covid Team Pemantauan dan Pematuhan SOP dekat kawasan Pasar Semarak, pada 8.20 pagi, 6 Februari lalu. Bagi Kesalahan itu, tertuduh boleh hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa gagal mematuhi Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu sebagai seorang yang tidak dikecualikan mengikut Peraturan 27 kerana tidak mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh Emmie Awiera pada hari dan masa kejadian yang sama.


Tertuduh berdepan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran bersama Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau Asisten Superintendan Dayang Nur Azarinawati Ag Kachee yang menawarkan wang jaminan berjumlah RM15,000 untuk setiap pertuduhan atas alasan faktor kes menarik perhatian umum selain tular di media sosial.


Peguam yang mewakili tertuduh, Darmin Achok pula memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM2,000.00 mengambil kira faktor kewangan anak guamnya yang hanya bekerja sebagai kontraktor bebas selain terpaksa menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil.


Majistret Nur Asyraf kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin dengan wang jaminan masing-masing RM5,000 bagi setiap pertuduhan. Mahkamah turut menetapkan 9 dan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Dillie ketika dibawa anggota polis ke
Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.
(Foto Abdul Rahemang Taiming)

Terdahulu, polis menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri selepas melakukan provokasi serta mengganggu tugas penjawat awam melakukan pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).


Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata suspek yang berusia 37 tahun dipercayai dengan sengaja mengekori kenderaan pasukan pemantauan Op COVID-19 sambil membuat rakaman video menggunakan telefon bimbit miliknya.


Katanya, suspek telah mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan provokasi terhadap pasukan pemantauan termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Angkatan Pertahanan Awam selain meninggikan suara dan enggan memberikan kerjasama apabila diminta untuk menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Isnin, 8 Februari 2021

Tiga lelaki Filipina ditahan miliki kad pengenalan palsu

Tiga lelaki Filipina ditahan miliki kad pengenalan palsu


Tiga lelaki Filipina direman tiga hari bermula hari ini kerana dipercayai memiliki kad pengenalan palsu. Ketiga-tiga lelaki berkenaan berasal dari Zamboanga, Filipina dan memasuki negara ini melalui Sabah.


Ketiga-tiga lelaki berusia antara 24 hingga 31 tahun yang juga Orang Tausug atau Suluk itu ditahan ketika menaiki dua kenderaan dan melalui sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kayan, Sitiawan, pada 12 tengah hari semalam.


Sumber Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak berkata, mereka yang menunjukkan surat kebenaran merentas negeri apabila diminta, mendakwa bekerja dengan syarikat pembinaan di Klang, Selangor.


"Mereka dalam perjalanan ke Pantai Remis dan mendakwa mempunyai urusan kerja di sebuah tapak projek pembinaan di situ," katanya, hari ini.


Sumber itu berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan berasal dari Zamboanga, Filipina dan memasuki negara ini melalui Sabah.


"Dalam soal siasat, mereka mendakwa mendapatkan kad pengenalan palsu daripada sindiket dengan hanya membayar RM100 setiap seorang, sejak setahun hingga dua tahun lalu.


"Mereka juga mengaku bukan warga tempatan dan masuk ke negara ini untuk mendapatkan pekerjaan bagi menampung keluarga di Filipina.


"Mereka daripada kampung sama dan ada yang mendakwa memasuki negara ini sejak dari kecil dan ada yang sudah kira-kira 10 tahun berada di Malaysia," katanya


Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini dengan menaiki kenderaan JPN untuk mendapatkan perintah tahanan reman.


Majistret Nurul Izalina Rajaai membenarkan reman selama tiga hari sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007.

Sabtu, 6 Februari 2021

3 maut bertembung trak tentera, kemalangan membabitkan 3 kenderaan di Tuaran

3 maut bertembung trak tentera, kemalangan membabitkan 3 kenderaan di Tuaran


Tuaran: Tiga maut manakala tujuh individu yang menaiki trak tentera Hino tiga tan, termasuk pemandu dilaporkan tidak mengalami kecederaan. Kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu termasuk trak tentera bertembung di Simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis - Tenghilan, di sini, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, penunggang motosikal Yamaha Ego S Jul Amri Shamsudin, 25, bersama pembonceng yang juga abang angkatnya, IL Yasa Shamsudin, 35, dan seorang anggota polis Shamsully Adly, 45, memandu kereta Perodua Kancil disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Difahamkan, Shamsully dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bolong, Tuaran selepas tamat bertugas.


Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kemalangan berlaku apabila trak tentera bertembung dengan motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang jalan sebelum merempuh kereta Perodua Kancil di laluan bertentangan.


"Siasatan awal mendapati trak tentera itu dipandu dari arah Tamparuli menghala ke Tenghilan, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, motosikal dinaiki dua lelaki keluar dari simpang Jalan Marabahai Spurs menyebabkan pemandu trak berusia 24 tahun tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal terbabit.


"Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terseret ke laluan susur sebelum trak hilang kawalan ke laluan bertentangan kemudian bertembung dengan kereta Perodua Kancil yang dipandu dari arah Kota Belud," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Dua mangsa menaiki motosikal maut di lokasi kejadian

akibat parah di kepala dan badan. - Gambar Ihsan Pembaca


Mohd Hamizi berkata, dua mangsa menaiki motosikal itu maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan, begitu juga anggota polis memandu kereta Perodua Kancil yang turut terkorban dalam kemalangan itu selepas terperangkap di tempat duduk pemandu.


"Tiga mangsa yang maut dihantar ke hospital Tuaran untuk bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.08 pagi berhubung kejadian itu. Katanya, seramai lapan anggota dikerah ke lokasi dengan sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).


"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mengambil masa 24 minit mengeluarkan pemandu kereta Perodua Kancil yang tersepit.


"Semua mangsa terselamat menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan 9.29 pagi," katanya.

Rabu, 3 Februari 2021

Dapat duit dengan mudah, dua remaja kerja keras lacur diri di apartmen

Dapat duit dengan mudah, dua remaja kerja keras lacur diri di apartmen


Kota Kinabalu: Menjalankan kegiatan pelacuran menerusi aplikasi WeChat dan MiChat, dua remaja perempuan berusia 18 dan 19 tahun ditahan pada serbuan di sebuah apartmen di Jalan Tun Fuad Stephen di sini, jam 10.30 malam kelmarin.


Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, kedua-duanya bergerak sendiri tanpa orang tengah.


"Kedua-duanya yang tidak bekerja dipercayai menjalankan kegiatan ini sebagai sumber pendapatan mudah.


"Mereka menggunakan aplikasi WeChat dan MiChat untuk membolehkan pelanggan terus berhubung bagi mendapatkan khidmat seks selain menyukarkan identiti sebenar mereka dikesan," katanya dihubungi hari ini.


Alhusin berkata, kedua-duanya kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


"Kerjasama dan maklumat orang awam dialu-alukan bagi mengekang kegiatan pelacuran melalui aplikasi seumpama ini," katanya.

Ahad, 24 Januari 2021

Dua beradik terkejut jumpa mayat bapa dalam perahu di Tawau

Dua beradik terkejut jumpa mayat bapa dalam perahu di Tawau

Dua beradik terkejut selepas menemukan mayat bapa mereka di dalam perahu di kawasan Laut Batu Payung di sini tengah hari tadi. Mayat mangsa, Binjamin (gambar kecil) dibawa oleh pihak KKM mengikut SOP ke Hospital Besar Tawau.


Tawau: Seorang nelayan berumur 65 tahun yang dilaporkan tidak pulang sejak keluar memukat pada petang Sabtu di temui meninggal dunia di dalam perahunya. Anak mangsa dua beradik terkejut selepas menemukan mayat bapa mereka di dalam perahu di kawasan Laut Batu Payung di sini tengah hari tadi.


Amirkhan Binjamin berkata bapanya Binjamin Osman, 65, keluar dari rumah di Kampung Tanjung Batu Laut sejak 5 petang semalam untuk memukat di kawasan laut berdekatan namun beranggapan bapanya itu pergi memancing lagi walaupun tidak pulang sehingga tengah malam tadi.


"Sehingga jam 11 pagi tadi, saya dan adik keluar mencari dan menemukan perahu bapa di sini kira-kira 12 tengah hari tadi. Didapati bapa terbaring tidak sedar di dalam perahunya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Amirkhan turut meminta pertolongan daripada bot peronda Pasukan Polis Marin (PPM) yang kebetulan melalui kawasan itu.


"Bapa tidak mempunyai penyakit kronik selain hanya mengalami sakit kaki biasa sahaja dan mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja nelayan," katanya.


Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau DSP Mohd Nazari Ismail berkata Bilik Gerakan PPM menerima panggilan daripada anggota Bot RH59 berhubung kejadian itu.


"Anak mangsa meminta bantuan daripada anggota bot RH59 yang kebetulan melalui kawasan tersebut sebelum bot PGR 3 diarahkan ke lokasi kejadian untuk mengiringi bot mangsa ke Pangkalan PPM Tawau.


"PPM juga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Jabatan Kesihatan mengenai penemuan jenazah berkenaan untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Jenazah tiba di Pangkalan PPM Tawau pada 1.50 petang dan petugas kesihatan membawa mayat itu ke Hospital Besar Tawau untuk tindakan lanjut.

Ahad, 17 Januari 2021

Individu minum bir di pusat kuarantin Covid-19 berhadapan tindakan tegas

Individu minum bir di pusat kuarantin Covid-19 berhadapan tindakan tegas


Kota Kinabalu: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap sekumpulan individu yang meminum bir di sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini yang tular dalam media sosial semalam.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata, tindakan itu tidak menghormati pengorbanan petugas barisan hadapan kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan digunakan sebagai kemudahan kesihatan merawat pesakit Covid-19.


Beliau berkata, tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.


"Cuepacs mahu tindakan juga diambil kepada pihak terbabit yang membawa, membekal atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit, tindakan individu itu biadab kerana seolah-olah sedang bergembira sedangkan petugas barisan hadapan sibuk mengerah keringat menyelamatkan rakyat.


"Tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan kita sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh," katanya menerusi kenyataan hari ini.


Adnan berkata, sekiranya ada pembabitan pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri dalam kejadian itu, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam.


"Perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan," katanya.


Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi ketika dihubungi berkata, kes itu masih dalam siasatan dan menegaskan meminum arak tidak dibenarkan di semua PKRC. Video tular berdurasi lebih 10 saat itu memaparkan seorang lelaki di sebuah PKRC sedang berbual dengan individu lain sambil memegang tin bir dan turut kelihatan dua bekas besar berisi bir.


Tangkap layar video memaparkan sekumpulan individu yang sedang minum bir di pusat kuarantin tular di media sosial.

Jumaat, 1 Januari 2021

Seorang lelaki tak tahu Wawa sebenarnya lelaki, mereka kena 'tangkap basah'

Seorang lelaki tak tahu Wawa sebenarnya lelaki, mereka kena 'tangkap basah'


Sandakan: Dalam Op Tahun Baru bermula kira-kira 10.30 malam itu, seorang lelaki 'ditangkap basah' bersama seorang pondan ketika berdua-dua dalam kenderaan di Pantai Pasir Putih, dekat sini, semalam.


Lelaki yang enggan dikenali dan masih menganggur itu mengakui dia baru mengenali 'wanita' dengan nama Wawa berkenaan melalui aplikasi Michat pada semalam. Kemudian mereka berjanji temu sempena meraikan ambang Tahun Baru 2021.


"Saya baru mengenali dia pada semalam melalui aplikasi Michat. Dia menggunakan nama Wawa dan gambarnya juga seorang wanita.


"Sebelum kehadiran polis, kami sebenarnya baru berjumpa dan ketika awal bercerita saya ada mengesyaki dan bertanya sama ada dia wanita sebenar atau bukan.


"Dia memberitahu dia adalah wanita sebenar dan saya mempercayainya. Tapi apabila sudah ditangkap dan berada di balai polis barulah saya menyedari identiti sebenarnya adalah lelaki," katanya ketika ditemubual media di Balai Polis Sandakan, awal pagi tadi.


Sementara itu, Pegawai Tadbir, Jabatan Hal Ehawal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, sebaik cuba diperiksa, pemuda dan pasangannya cuba melarikan diri.


"Namun, mereka berjaya ditahan semula di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi.


"Hasil siasatan awal, pemuda itu tidak mengetahui pasangannya adalah seorang pondan, pasangan berkenaan dilaporkan berusia dalam lingkungan 20 tahun," katanya.


Romzi berkata, dalam pada itu, pihaknya turut menahan empat orang lagi lelaki berperwatakan wanita di sebuah hotel bajet.


"Tiga daripadanya dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan perkhidmatan disyaki 'jual diri' melalui aplikasi Wechat dengan bayaran RM200.


"Keseluruhan tangkapan seramai 16 orang termasuk tiga pasangan lelaki dan wanita tanpa hubungan sah dalam bilik hotel bajet," katanya.


Menurutnya, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sandakan dengan menggunakan van jenazah. Operasi bermula 10.30 malam, semalam itu berakhir kira-kira 3 pagi tadi.


Lokasi serbuan iaitu di Pantai Pasir Putih, Jalan Coastal, Harbour Square Sandakan dan hotel bajet di kawasan Batu Empat. Ia membabitkan lebih 40 penguat kuasa JHEAINS Sandakan bersama anggota Balai Polis Sandakan.