Selasa, 18 Mei 2021

Polis Sabah tembak mati lima anggota Abu Sayyaf di Beaufort


KOTA KINABALU - Polis Sabah menembak mati lima lelaki dipercayai terbabit dalam kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dalam insiden berbalas tembakan di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort, semalam.


Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, salah seorang yang terbunuh adalah antara pemimpin (sub-leader) kumpulan Abu Sayyaf dan dinamakan dalam senarai dikehendaki kerajaan Filipina.


"Tiga lagi suspek dikenali sebagai Abhirsham Samsula@Samseed, Jurakhdam Binda, Alsimar Sukarno, manakala seorang lagi suspek belum dikenal pasti namanya. Semua suspek ini berusia antara 20-an hingga 40-an.


"Berdasarkan maklum balas pihak berkuasa Filipina, empat suspek yang ditembak mati disahkan sebagai ahli kumpulan ASG. Dua yang ditembak mati ini juga disahkan pernah terbabit dalam insiden pengeboman lori tentera pasukan keselamatan Filipina," katanya pada sidang akhbar di IPK Sabah sebentar tadi.


Mengulas lanjut mengenai kejadian, hasil operasi gabungan PDRM dan Esscom itu berjaya melumpuhkan satu sel Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah yang mempunyai kaitan atau baiah dengan kumpulan Daish.


"Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, seorang lelaki dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu sebelum terus melepaskan tembakan ke arah pasukan polis. Pada masa sama, beberapa lagi suspek lain yang bersenjatakan pistol dan parang turut keluar dan melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan.



"Dalam usaha mempertahankan diri serta menghentikan ancaman, pasukan serbuan membalas tembakan. Semua penjenayah itu ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah yang menjalankan operasi Ops Khas.


"Polis turut merampas dua pucuk pistol, dua kelongsong peluru, 20 peluru hidup dan tiga bilah parang. Dalam insiden ini, semua anggota dan pegawai polis terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Kata Hazani, pihaknya mengesyaki masih ada lagi saki baki atau tali barut kepada kumpulan Abu Sayyaf ataupun pejuang Daish yang bersembunyi di Malaysia khususnya di Sabah.


Sehubungan itu, Hazani mengingatkan kepada pasukan keselamatan negara termasuk PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaab Maritim Malaysia (APMM) supaya sentiasa berhati-hati kerana kemungkinan besar berlaku tindak balas susulan kejayaan IPK Sabah kali ini.


Polis Sabah menembak mati lima lelaki dipercayai terbabit sebagai kumpulan kecil militan Abu Sayyaf (ASG) dalam insiden berbalas tembakan di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna, Beaufort semalam.

Hazani Ghazali (kiri) bersama Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superitendan Yusoff Zaki Mat Yaacob (depan tengah) menunjukkan senjata yang berjaya dirampas dalam serbuan di Beaufort, Sabah.


EmoticonEmoticon