Memaparkan catatan dengan label Parti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Parti. Papar semua catatan

Khamis, 29 Jun 2023

Lelaki bergaduh berebut teman wanita di jalan raya

Lelaki bergaduh berebut teman wanita di jalan raya


Tular rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di jalan raya berhampiran sebuah kelab malam di Jalan Pintal Tali, Georgetown, hari ini.


Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada perebutan teman wanita antara dua lelaki.


Berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit itu, sekumpulan individu dilihat memukul, menumbuk serta memijak bahagian muka seorang lelaki.


Turut kelihatan dalam video berkenaan ialah beberapa individu cuba meleraikan pergaduhan tersebut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, tiada laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut setakat ini. - Sumber Harian Metro.



Satu rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di jalan raya tular di media sosial hari ini. - Tangkap layar video tular.

Rabu, 31 Mei 2023

Doktor belah perut pesakit keluarkan botol deodoran 'tersangkut' dalam rektum

Doktor belah perut pesakit keluarkan botol deodoran 'tersangkut' dalam rektum


Sekumpulan doktor di Iran tiada pilihan melainkan membelah perut seorang lelaki untuk mengeluarkan botol deodoran yang berada jauh di dalam duburnya , lapor akhbar Daily Star pada 29 Mei 2023.


Kes itu diterbitkan dalam sebuah jurnal perubatan baru-baru ini. Doktor-doktor perlu memikirkan cara terbaik untuk mengeluarkan botol tersebut tanpa merosakkan organ lelaki berusia 30 tahun itu.


Menurut laporan, lelaki itu mengadu sakit perut dengan punca kesakitan berasal pada bahagian punggungnya semasa mendapatkan rawatan perubatan.


Pasukan pakar bedah unit kecemasan Universiti Sains Perubatan Iran terpaksa membelah perut pesakit pada hari sama.


Pembedahan adalah satu-satunya pilihan untuk lelaki berkenaan. Pesakit ketika itu berada dalam kesakitan teruk sehinggakan dia tidak boleh duduk ketika menjalani pemeriksaan rektum atau sebarang prosedur lain bagi mengeluarkan botol tersebut.


Selepas pembedahan selamat dilakukan, dia ditahan di hospital supaya kembali pulih seperti sedia kala.


Tiada tanda-tanda pendarahan atau luka pada duburnya dicatatkan dalam jurnal sama. - Sumber Daily Star.


Imej X-ray menunjukkan kedudukan botol deodoran tersebut di dalam badan pesakit berkenaan. - Foto Daily Star.

Isnin, 5 Disember 2022

Wanita dakwa wajah cantik jadi 'lesen besar' kentut di mana-mana tanpa disyaki

Wanita dakwa wajah cantik jadi 'lesen besar' kentut di mana-mana tanpa disyaki


Seorang wanita yang dikategorikan sebagai berwajah cantik menyarankan pengikutnya agar kentut tanpa rasa takut semasa sedang bersosial, kerana orang tidak akan mengesyaki gadis jelita sanggup melakukan perkara seperti itu, lapor akhbar Daily Star.


Menerusi satu video di laman TikTok, Mollies Fraser berkata, kentut di khalayak ramai tanpa disyaki orang lain adalah kelebihan yang perlu digunakan seorang wanita cantik.


"Jangan rasa takut untuk kentut dalam kelab malam kerana tiada orang akan percaya bahawa wajah secantik kita akan melakukan perkara tidak senonoh itu.


"Lagipun, bunyi muzik terlalu kuat untuk mengesan bunyi kentut itu datang daripada kamu jadi jangan tahan, jika mahu lepaskan 'angin', lepaskan sahaja," kata Fraser.


Kenyataan Fraser turut disokong oleh beberapa pengikut yang lain yang mengakui pernah melakukan perkara sama dan tidak pernah disyaki orang.


"Ini teknik yang hebat jika anda memerlukan lebih banyak masa untuk menari," kata seorang pengguna yang menyokong Fraser.


Sementara itu, seorang wanita mendakwa: "Sesetengah lelaki tunduk untuk mengambil telefonnya dan saya kentut di atas kepalanya tanpa diketahui," katanya.


Video tersebut menjadi tular dan telah diulang tonton sehingga 2.5 juta kali. - Sumber Daily Star.


Fraser menyakinkan pengikutnya bahawa orang tidak akan mengesyaki mereka kentut kerana memiliki wajah cantik. - Foto TikTok.

Sabtu, 20 November 2021

54 individu langgar SOP diberkas ketika sedang berhibur

54 individu langgar SOP diberkas ketika sedang berhibur

Sebahagian daripada 49 pengunjung yang ditahan.

Kegembiraan sekumpulan 49 pengunjung yang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dr. Lim Chwee Leong di Georgetown terbantut apabila diserbu polis, kelmarin.


Sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, telah menahan 14 wanita warga asing dan 35 pelanggan tempatan kira-kira pukul 10.30 malam.


Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berkenaan bersama tiga pekerja iaitu pasangan lelaki dan wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua tangkapan berusia dalam lingkungan 20 hingga 54 tahun. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan melakukan kesalahan menggaji serta melindungi warga asing.


"Lelaki tersebut dikenakan kompaun RM30,000 atas tiga kesalahan iaitu gagal menyediakan laluan keluar masuk, menjalankan aktiviti hiburan dan gagal memastikan pelanggan menjaga penjarakan fizikal.


"Selain itu, kesemua warga tempatan yang diperiksa juga dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang atas kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau memberitahu, siasatan ke atas seorang pekerja bersama 14 wanita warga asing akan dilakukan di bawah Akta Imigresen dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).


"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.


"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," jelasnya.


Katanya, saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua mereka didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah. Kesemua individu terbabit kini ditahan reman selama tiga hari hingga 22 November ini untuk siasatan lanjut.

Ahad, 31 Oktober 2021

32 Individu Sertai 'Private Party' Dikompaun RM2,000 Seorang

32 Individu Sertai 'Private Party' Dikompaun RM2,000 Seorang


Seramai 32 individu dikenakan kompaun sebanyak RM64,000 selepas menyertai 'private party' atau sambutan hari jadi di sebuah banglo di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima aduan berhubung aktiviti 'private party' diadakan di kediaman berkenaan dan serbuan dilakukan pada pukul 10 malam.


"Serbuan telah dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat polis Daerah Brickfields.


"Hasil serbuan, seramai 32 individu warga tempatan dan seorang lelaki warga asing dipercayai penjaga rumah sedang mengadakan sambutan majlis hari jadi," katanya, hari ini.


Mengulas lanjut, kesemua 32 individu yang hadir berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an telah menyewa banglo berkenaan selama dua hari dengan harga RM1,600 sehari.


"Semakan mendapati, kesemua mereka tiada rekod jenayah namun hasil ujian awal air kencing mendapati seorang lelaki dan wanita yang menyertai parti berkenaan didapati positif dadah.


"Kesemua individu yang ditahan telah diberikan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara dan SOP Majlis Keselamatan Negara sebanyak RM2,000 seorang menjadikan keseluruhan nilai kompaun sebanyak RM64,000," jelasnya.


Amihizam turut memberitahu, pihaknya berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung aktiviti berkenaan dan segala kerjasama diberikan amat dihargai.


Anggota polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Bukit Damansara selepas menerima aduan pelanggaran SOP.

Khamis, 14 Oktober 2021

Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan

Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan


KUALA LUMPUR - Polis menggempur sebuah unit banglo di Taman Yari, Jalan Klang Lama, yang dijadikan pusat hiburan serta pelacuran dan menahan 16 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dalam satu serbuan pada malam 12 Oktober 2021.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap aktiviti sindiket berkenaan selama beberapa hari sebelum melakukan serbuan.


Katanya, serbuan pada 8.45 malam itu turut menahan juruwang di premis itu serta enam lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengangkut wanita-wanita itu ke banglo berkenaan atau dikenali sebagai 'transporter'.


"Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi noda itu berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun dengan sindiket didapati menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah untuk menawarkan perkhidmatan seks," katanya.


Seorang lelaki yang juga transporter berusia 20-an memaklumkan dia dibayar RM100 bagi menghantar wanita berkenaan ke banglo terbabit. Katanya, dia dimaklumkan mengenai kerja itu oleh rakannya dan dia diminta membawa enam wanita dari lokasi mereka di Cheras ke rumah banglo itu.


"Bagi setiap trip (perjalanan pergi dan balik), saya membawa tiga wanita dengan bayaran RM100. Kenderaan yang digunakan bagi membawa mereka adalah kereta saya sendiri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi semalam.


Mohamad Noor berkata, hasil siasatan mendapati aktiviti mempromosikan kegiatan pelacuran itu turut dibuat secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram.


Beliau berkata, premis banglo yang diserbu itu dilengkapi dengan peralatan-peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool dan lain-lain kelengkapan, juga terletak di dalam kawasan taman perumahan mewah serta disewa dengan harga RM3,600 sehari.


"GRO yang bertindak menjadi peneman pelanggan minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan bayaran RM1,300 hingga RM2,500 kepada pelanggan.


"Pemeriksaan dilakukan mendapati hanya seorang daripada 16 wanita warga Vietnam yang ditahan tidak mempunyai pasport. Pada masa sama, kami turut menyiasat sekiranya ada berlaku kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan ini," katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


Antara wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin.

Isnin, 20 September 2021

Dua Anggota Polis Leka Berhibur Antara 14 Ditahan Sertai Parti Dadah

Dua Anggota Polis Leka Berhibur Antara 14 Ditahan Sertai Parti Dadah


Dua anggota polis antara 14 individu ditahan ketika sedang leka berhibur dalam satu parti liar di sebuah residensi mewah di Changkat Raja Chulan, pada Sabtu lalu.


Serbuan telah dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada 9.30 malam selepas mendapat maklumat dan melakukan risikan.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd. Latif berkata, kesemua tangkapan terdiri daripada tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.


Katanya, hasil pemeriksaan di premis tersebut, polis telah menjumpai dadah jenis Ketamin seberat 5.56 gram yang dianggarkan bernilai RM834.


"Penganjur parti liar berkenaan adalah seorang lelaki berusia 39 tahun dan alasan yang diberikan kerana menganjur parti liar tersebut adalah untuk bertemu kenalan serta berhibur.


"Pengunjung yang hadir dijemput melalui panggilan telefon oleh penganjur dan tiada sebarang bayaran dikenakan. Premis tersebut telah disewa oleh penganjur dengan harga RM220 sehari," katanya dalam satu kenyataan.


Sahar memberitahu, hasil semakan lanjut identiti pengunjung mendapati, dua antara yang ditahan adalah anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel (sokongan) dari Cawangan Tugas Am.


Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif ketamin. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.


Mereka juga dikenakan kompaun RM4,000 seorang mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM56,000.


Antara 14 individu yang ditahan ketika sedang leka berhibur di sebuah residensi mewah di Changkat Raja Chulan, Sabtu lalu.