Memaparkan catatan dengan label Khazanah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khazanah. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Januari 2021

Rangka kapal lama didakwa berusia 200 tahun ditemui di tebing Sungai Lipis

Rangka kapal lama didakwa berusia 200 tahun ditemui di tebing Sungai Lipis


Penduduk Kampung Pagar Penjom di sini gempar dengan penemuan sebuah kapal lama bersalut tembaga yang didakwa berusia 200 tahun terdampar di tepi Sungai Lipis, Batu 6, dipercayai dibawa arus deras selepas banjir besar di kampung itu, baru-baru ini.


Sharimah Mohd Nor, 50, berkata beliau terlihat tinggalan kapal lama itu berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, kira-kira jam 5.00 petang semalam. Selepas penemuan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Penjom.


Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata anggota balai berkenaan ke lokasi dan menemui rangka kapal lama itu. Menurutnya, hasil temubual dengan penduduk mendakwa terdapat sekumpulan penduduk kampung telah mengambil komponen kapal lama berkenaan


"Ada sekeping logam yang bertulis 'VIVIA AND SONS SHEATING', namun terdapat beberapa bahagian badan kapal sudah tiada.


"pihak polis telah memaklumkan penemuan kapal terbabit kepada pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk tindakan lanjut," katanya.


Beliau berkata, menurut Akta Warisan Kebangsaan, orang ramai yang menemui objek yang dipercayai mempunyai warisan kebudayaan hendaklah memberitahu pihak berkuasa. Beliau turut menasihati orang awam agar tidak mengambil komponen atau sebahagian daripada harta tersebut untuk dijadikan bahan simpanan atau koleksi.


Azli berkata, mana-mana pihak yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dianggap melakukan kesalahan.


Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 47 penemuan objek di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.


Satu objek logam yang tertulis Vivian & Sons Sheating.

Antara bahagian kapal lama yang ditemui berhampiran sungai Lipis petang semalam.

Antara objek logam dipercayai paku ditemui bersama bangkai kapal berkenaan.

Sebahagian rangka kapal ditemui di Sungai Lipis selepas bencana banjir melanda daerah itu baru-baru ini, yang surut pada Rabu lalu. 

Selasa, 29 Disember 2020

Objek misteri muncul di Pantai Lutong mungkin senjata perang

Objek misteri muncul di Pantai Lutong mungkin senjata perang


Miri: Penduduk sekitar Pantai Lutong, dekat sini, gempar dengan penemuan objek besi yang ditemui di kawasan berpasir di pinggir pantai itu, semalam.


Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Sebastian Ting berkata, objek itu ditemui penduduk setempat yang kemudian memaklumkan kepadanya. Susulan itu, beliau meninjau ke lokasi penemuan objek berkenaan dan turut menghubungi pihak berkaitan bagi memaklumkan mengenainya.


Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, berkata beliau juga sudah berhubung Hill untuk mendapatkan pandangan memandangkan pakar O&G itu pernah datang ke Miri untuk menjalankan kajian berkaitan sumber minyak dan gas di sini pada 1981. Beliau berharap penemuan itu akan menambah nilai baharu kepada sejarah di Miri.


Pelbagai andaian timbul termasuk mengaitkan objek seperti tangki itu sebagai struktur tertentu digunakan industri minyak dan gas (O&G), selain ada yang mengaitkannya dengan struktur turet senjata yang digunakan ketika Perang Dunia Kedua.


Apa yang pasti, objek terbabit muncul susulan hakisan yang berlaku di kawasan pantai itu. Pakar bebas O&G, Joh Hill, ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan objek berkenaan adalah turet senjata berputar yang digunakan ketika era Perang Dunia Kedua.


Bagaimanapun, katanya beliau sendiri masih menyiasat mengenai penemuan objek berkenaan.


"Saya akan hubungi Memorial Perang Australia untuk melihat apakah mereka dapat membantu dalam penyiasatan saya ini," katanya.


Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Jabatan Muzium akan menjalankan kajian lanjut ke atas penemuan itu.


"Ia mungkin struktur untuk minyak dan gas, namun kita tunggu pengesahan daripada pakar nanti," katanya.

Isnin, 7 Disember 2020

Mesin kod rahsia Nazi ditemui di dasar Laut Baltik

Mesin kod rahsia Nazi ditemui di dasar Laut Baltik


Sekumpulan penyelam Jerman menemukan mesin pemecah kod rahsia Enigma milik Nazi di dasar Laut Baltik. Mesin itu digunakan tentera Nazi untuk menghantar mesej berkod ketika Perang Dunia Kedua. Penemuan unik itu diserahkan kepada muzium pada hari Jumaat, 04 Disember 2020 lalu untuk dibaik pulih. 


Mesin kod legenda itu ditemukan bulan lalu ketika penyelam berkenaan mencari pukat terbiar di Teluk Gelting di timur laut Jerman. Penyelam itu asalnya dalam misi kumpulan alam sekitar, WWF.


Ketua penyelam, Florian Huber, berkata, salah seorang penyelam naik ke permukaan dan memberitahu ada pukat dengan mesin taip lama. Kumpulan itu bagaimanapun menyedari mereka sebenarnya menemukan artifak sejarah dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.


Sementara itu, Ketua Jabatan Arkeologi Schleswig-Holstein, Ulf Ickerodt, berkata mesin itu akan dipulihara pakar daripada muzium arkeologi. Proses pemuliharaan itu termasuk penyahgaraman kerana ia sudah berada di dasar Laut Baltik selama tujuh dekad, sekali gus dijangka mengambil masa setahun. Selepas selesai, Enigma akan dipamerkan di muzium berkenaan.



Gambar diedarkan World Wildlife Fund (WWF) menunjukkan mesin Enigma yang ditemukan di dasar Laut Baltik di timur laut Jerman.

Dalam perkembangan sama, sejarawan tentera laut daripada Persatuan Tentera Laut Jerman, Jann Witt memberitahu agensi berita DPA bahawa beliau percaya mesin yang memiliki tiga rotor atau dinamo itu, dibuang daripada kapal perang Jerman pada hari-hari terakhir perang.


Menurut sumber lain, beberapa saat sebelum Nazi Jerman menyerah pada Mei 1945, tentera mereka diperintahkan menenggelamkan sekitar 50 kapal selam U-Boot, termasuk juga mesin-mesin Enigma.


Pada Perang Dunia ke-2, Enigma dipakai Nazi untuk mengirim dan menerima pesan rahsia. Namun, para pakar pihak Berikat di Bletchley Park yang dipimpin oleh Alan Turing berhasil memecahkan kode mesin ini sehingga menjadi salah satu penentu kemenangan Sekutu atas Nazi.


Ketika itu, Kuasa Berikat bertungkus-lumus untuk memecahkan kod yang dihasilkan mesin Enigma Jerman itu yang berubah setiap 24 jam. Kejayaan ahli Matematik  British, Alan Turing yang dianggap bapa komputer moden benar-benar dianggap pahlawan besar, kini wajahnya tercetak di pecahan 50 poundsterling.


Kejayaan itu membantu Kuasa Berikat untuk menterjemah mesej radio penting mengenai pergerakan tentera Jerman. Sejarawan percaya kejayaan itu memendekkan tempoh perang sebanyak dua tahun.


Kisah itu diadaptasi kepada filem pada 2014 dengan judul The Imitation Game yang menampilkan pelakon British yang juga calon Anugerah Oscar, Benedict Cumberbatch yang membawa watak Turing.


Sabtu, 10 Mac 2018

Misteri penemuan 7 piramid di Tasik Chini cetus kegemparan

Misteri penemuan 7 piramid di Tasik Chini cetus kegemparan

Gambar hiasaan

Sebelum ini, bangunan berbentuk piramid dijumpai dalam banyak tamadun purba seluruh dunia sejak ribuan tahun lalu antaranya di Mesir, Mexico, Peru, Iraq dan China sehingga menimbulkan persoalan mengenai fungsinya yang merentasi benua dan budaya tamadun berbeza.


Beberapa tahun dahulu, heboh diceritakan bahawa terdapat piramid tersembunyi di bawah bukit di pedalaman kawasan hutan di Pahang, Malaysia, piramid tersebut kini dilitupi hutan dan kelihatan seperti sebuah bukit atau gunung kecil, namun kesahihan berita ini tidak dapat dipastikan.


Pada 10 Disember 2007, akhbar New Straits Times ada melaporkan penemuan tujuh bukit yang berkemungkinan berasal daripada piramid yang dibina di Tasik Chini, Pahang hampir 1,000 tahun lalu. Laporan itu mencetuskan rasa terkejut di kalangan rakyat Malaysia yang tidak menyangka binaan misteri piramid turut wujud dalam alam Melayu pada zaman dulu kala.


Mengikut laporan akhbar berkenaan, piramid itu berkemungkinan dibina Kerajaan Khmer kuno yang berpusat di Kemboja serta memerintah dari tahun 802 hingga 1432 serta meluaskan jajahan takluknya sehingga Tasik Chini sepanjang tempoh itu.


Mengikut teori, ratusan tahun selepas empayar itu berakhir, piramid itu ditinggalkan sehingga ditimbus tanah dan ditumbuhi pohon menyebabkan ia berubah menjadi bukit yang dipenuhi belantara. Tapak kota sekitar piramid pula dipercayai tenggelam dalam Tasik Chini.


Kini, kawasan di sekitar bukit telah dibersihkan untuk memberi ruang kepada aktiviti pertanian di sekitarnya. Beberapa serpihan mangkuk porselin telah ditemui di sekitar bukit tersebut dan menguatkan lagi bukti bahawa kawasan tersebut suatu masa dahulu merupakan sebuah kawasan peradaban yang pesat sewaktu kegemilangan empayar Khmer.


Ketenangan Tasik Chini menyimpan 1,001 misteri.

Menurut catatan sejarah, ibukota empayar Khmer ialah di Siem Reap dan berkemungkinan Tasik Chini merupakan antara kota jajahan takluk empayar tersebut. Merujuk kepada sejarah empayar ini mencapai kemuncak kegemilangan sekitar abad ke-13, sebelum berlaku perebutan kuasa antara pembesar hingga menyaksikan empayar ini terkubur pada abad ke-15.


Sejak laporan akhbar itu diterbitkan, dipercayai tiada kajian lanjutan dilakukan tetapi pendedahan itu timbulkan banyak persoalan dan teka-teki mengenai misteri binaan piramid yang sudah ribuan tahun membingungkan minda penyelidik di seluruh dunia.


Mitos piramid di Tasik Chini terus dirungkai. 


Proses pembinaan piramid amat misteri


Dengan tanggapan kemampuan sains dan teknologi di dunia baru berkembang beberapa ratus tahun kebelakangan ini, pasti sukar mengandaikan bagaimana bangunan amat besar itu mampu dibina pada ribuan tahun lalu.


Bayangkan, untuk membina bangunan raksasa pada masa kini, manusia memerlukan pakar kaji bumi, jurutera, arkitek dan pelbagai jentera yang dibina berasaskan teknologi bagi mengangkat bahan berat dan menyudahkan binaan.


Justeru, adakah terdapat pakar dalam bidang fizik, kejuruteraan, binaan dan jentera hebat pada ribuan tahun lalu yang digunakan untuk membina piramid? Pembinaan piramid ternyata amat rumit dan piramid di Mesir misalnya dibangun menggunakan anggaran kira-kira dua juta batu dengan berat setiap satu antara dua tan hingga 15 tan.


Walaupun proses pembinaan piramid amat sukar, suatu yang aneh ialah bangunan itu dibina dengan banyaknya iaitu terdapat 138 piramid di Mesir, sekali gus membayangkan pentingnya piramid dibina dalam kepercayaan Mesir kuno, kira-kira 3,000 tahun lalu.


Piramida di Giza, Mesir.