Selasa, 29 Disember 2020

Objek misteri muncul di Pantai Lutong mungkin senjata perang


Miri: Penduduk sekitar Pantai Lutong, dekat sini, gempar dengan penemuan objek besi yang ditemui di kawasan berpasir di pinggir pantai itu, semalam.


Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Sebastian Ting berkata, objek itu ditemui penduduk setempat yang kemudian memaklumkan kepadanya. Susulan itu, beliau meninjau ke lokasi penemuan objek berkenaan dan turut menghubungi pihak berkaitan bagi memaklumkan mengenainya.


Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, berkata beliau juga sudah berhubung Hill untuk mendapatkan pandangan memandangkan pakar O&G itu pernah datang ke Miri untuk menjalankan kajian berkaitan sumber minyak dan gas di sini pada 1981. Beliau berharap penemuan itu akan menambah nilai baharu kepada sejarah di Miri.


Pelbagai andaian timbul termasuk mengaitkan objek seperti tangki itu sebagai struktur tertentu digunakan industri minyak dan gas (O&G), selain ada yang mengaitkannya dengan struktur turet senjata yang digunakan ketika Perang Dunia Kedua.


Apa yang pasti, objek terbabit muncul susulan hakisan yang berlaku di kawasan pantai itu. Pakar bebas O&G, Joh Hill, ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan objek berkenaan adalah turet senjata berputar yang digunakan ketika era Perang Dunia Kedua.


Bagaimanapun, katanya beliau sendiri masih menyiasat mengenai penemuan objek berkenaan.


"Saya akan hubungi Memorial Perang Australia untuk melihat apakah mereka dapat membantu dalam penyiasatan saya ini," katanya.


Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Jabatan Muzium akan menjalankan kajian lanjut ke atas penemuan itu.


"Ia mungkin struktur untuk minyak dan gas, namun kita tunggu pengesahan daripada pakar nanti," katanya.


EmoticonEmoticon