Jumaat, 15 Januari 2021

Rangka kapal lama didakwa berusia 200 tahun ditemui di tebing Sungai Lipis


Penduduk Kampung Pagar Penjom di sini gempar dengan penemuan sebuah kapal lama bersalut tembaga yang didakwa berusia 200 tahun terdampar di tepi Sungai Lipis, Batu 6, dipercayai dibawa arus deras selepas banjir besar di kampung itu, baru-baru ini.


Sharimah Mohd Nor, 50, berkata beliau terlihat tinggalan kapal lama itu berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom, kira-kira jam 5.00 petang semalam. Selepas penemuan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Penjom.


Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata anggota balai berkenaan ke lokasi dan menemui rangka kapal lama itu. Menurutnya, hasil temubual dengan penduduk mendakwa terdapat sekumpulan penduduk kampung telah mengambil komponen kapal lama berkenaan


"Ada sekeping logam yang bertulis 'VIVIA AND SONS SHEATING', namun terdapat beberapa bahagian badan kapal sudah tiada.


"pihak polis telah memaklumkan penemuan kapal terbabit kepada pihak Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk tindakan lanjut," katanya.


Beliau berkata, menurut Akta Warisan Kebangsaan, orang ramai yang menemui objek yang dipercayai mempunyai warisan kebudayaan hendaklah memberitahu pihak berkuasa. Beliau turut menasihati orang awam agar tidak mengambil komponen atau sebahagian daripada harta tersebut untuk dijadikan bahan simpanan atau koleksi.


Azli berkata, mana-mana pihak yang memusnahkan, merosakkan, mencacatkan, melupuskan atau mengubah sesuatu warisan kebudayaan ketara tanpa suatu permit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dianggap melakukan kesalahan.


Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 47 penemuan objek di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.


Satu objek logam yang tertulis Vivian & Sons Sheating.

Antara bahagian kapal lama yang ditemui berhampiran sungai Lipis petang semalam.

Antara objek logam dipercayai paku ditemui bersama bangkai kapal berkenaan.

Sebahagian rangka kapal ditemui di Sungai Lipis selepas bencana banjir melanda daerah itu baru-baru ini, yang surut pada Rabu lalu. 


EmoticonEmoticon