Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ketenteraan. Papar semua catatan

Ahad, 26 Disember 2021

Kereta kebal misteri dikesan terapung di laut Indonesia

Kereta kebal misteri dikesan terapung di laut Indonesia


Satu objek asing yang menyerupai peralatan tentera dan mirip sebuah kereta kebal tentera, dijumpai terapung di perairan Natuna, Kepulauan Riau di Indonesia, lapor laman berita Detik News pada 21 Disember 2021.


Minggu lalu, foto yang memaparkan objek tersebut dirakam sedang terapung menjadi tular di media sosial Indonesia.


Ia dirakam oleh pekerja pelantar di Laut Natuna yang merupakan kawasan yang luas dan cetek di bahagian paling selatan Laut China Selatan yang sebahagian besarnya berada di perairan negara Indonesia.


Salah satu foto itu menunjukkan objek tersebut sedang hanyut di dengan turet dan meriamnya jelas kelihatan. Biarpun kenderaan itu kelihatan berkarat, beberapa peralatan luarannya dilihat berada dalam keadaan baik.



Keadaan laut yang bergelora bagaimanapun menyebabkan kapal pengendalian sauh OPS Astrid gagal mendekati objek berkenaan.


Susulan penemuan objek misteri itu tular di media sosial, Ketua Perkhidmatan Penerangan Tentera Laut, Laksamana Julius Widjodjono berkata pada 20 Disember 2021, pihaknya masih menganalisis kehadiran objek seperti kereta kebal itu di tengah laut.


Ketua Dinas Penerangan Lantamal IV, Mejar Marin Saul Jamlaay turut mengesahkan penemuan itu berkata, "Ya, memang ada temuan objek yang mirip dengan kereta kebal, tetapi tidak berbahaya."


Menurutnya, objek itu milik syarikat minyak dan gas Star Energy dari pelantar blok snapper. Syarikat itu sedang menggerudi di Laut Natuna. Mereka telah mengakui perkara ini dan objek itu hanyut dengan sendirinya.


Beliau turut meminta orang ramai berhati-hati ketika turun ke laut. Begitu juga, jika ada menemui objek asing yang luar biasa di laut, mereka harus segera melaporkannya kepada Tentera Laut Indonesia.


Gambar menunjukkan satu objek misteri yang dirakam oleh pekerja pelantar di Laut Natuna. - Foto Twitter.

Sabtu, 11 Disember 2021

Juruterbang rakam kelibat 12 UFO didakwa 'intip' pergerakan kapal China di Laut China Selatan

Juruterbang rakam kelibat 12 UFO didakwa 'intip' pergerakan kapal China di Laut China Selatan


Satu rakaman video dari kokpit sebuah pesawat yang memaparkan 12 objek terbang tidak dikenali (UFO) terbang di sebalik awan menjadi tular di media sosial, lapor akhbar The Sun pada 7 Disember 2021.


Fenomena pelik itu dirakam dari pesawat yang berada di ruangan udara Laut China Selatan di sekitar Hong Kong. UFO itu terbang dalam formasi sebelum hilang secara tiba-tiba di sebalik awan ketika melintasi Lautan Pasifik pada ketinggian 11,887 meter dari paras laut.


Pada permulaan, kelihatan sembilan cahaya yang sedang bergerak dan kemudiannya bertambah menjadi 12 cahaya, dapat kedengaran perbualan seseorang di dalam pesawat.


"Saya tidak tahu apakah objek itu. Ia adalah suatu objek terbang dan kelihatan amat pelik" kata juruterbang dalam rakaman itu.



Tidak lama kemudian, kedengaran juruterbang berkenaan menyebut perkataan 'hilang' ketika kesemua UFO itu hilang dari pandangan.


Disebabkan tiada jawapan terhadap penampakan objek itu, Scott (penulis blog prolifik) mengisytiharkan ia sebagai piring UFO yang sedang 'mengintip' kapal China yang berada di lautan tersebut.


Klip video berkenaan dikongsikan di media sosial dengan ramai netizen berpendapat bahawa ia merupakan rakaman UFO terbaik dan hebat setakat ini. Kemunculan objek itu kebetulan berkaitan dengan konflik geopolitik di rantau ini.


Oleh sebab itu, terdapat beberapa pengguna media sosial yang menganggap, cahaya-cahaya tersebut sebagai letupan misil anti peluru berpandu yang ditembak dari pesawat perang.


Pengguna yang lain pula mengatakan bahawa objek itu kemungkinan adalah suar, sama ada disebabkan oleh kapal yang berlayar dalam formasi atau dinyalakan dari pesawat.


Seorang penulis blog prolifik, Scott C memuat naik semula rakaman video itu dalam YouTube, yang menunjukkan beberapa objek berkelip kelihatan bergerak di awan sebelum hilang dari pandangan.

Sabtu, 27 November 2021

Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya

Pentagon Tubuh Pasukan Khas Siasat 144 Penampakan UFO, Berpotensi Cetuskan Bahaya


Pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) membentangkan laporan kepada Kongres yang antara lain mendedahkan penilaian pertama fenomena udara tidak dikenali (UAP) yang tidak dirahsiakan. UAP merupakan istilah digunakan dalam tentera bagi objek tidak dikenal pasti (UFO).


Disusun oleh UAPTF, laporan pada Jun lalu itu gagal menjelaskan mengenai 144 penampakan UFO dengan menyatakan 18 daripada jumlah itu menunjukkan pergerakan atau ciri penerbangan luar biasa menggunakan teknologi canggih.


Laporan itu menyimpulkan masih terdapat banyak penampakan UAP yang berkemungkinan tiada sebarang penjelasan khusus. Kemunculan UAP dikhuatiri memberi ancaman kepada keselamatan negara berkenaan.


Oleh sebab itu, Jabatan Pertahanan AS mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat dakwaan penemuan UFO berhampiran kawasan tentera yang sensitif.


Pengumuman itu dibuat selepas sebuah laporan penting kerajaan yang didedahkan pada Jun lalu, mendapati kekurangan maklumat yang mencukupi dalam data untuk menentukan sifat objek terbang misteri selama dua dekad lalu.


Menurut laporan Metro News pada 24 November 2021, pasukan yang dinamakan Airborne Object Identification and Management Synchronization Group akan menyiasat laporan UAP berhampiran kem tentera AS.


Pasukan itu akan diselia oleh Setiausaha Pertahanan untuk Perisikan, Pengarah Staf Bersama dan pegawai dari Pejabatan Pengarah Perisikan Negara.


Sementara itu, Timbalan Setiausaha Pertahanan AS, Kathleen Hicks berkata, kehadiran UAP di kawasan tentera yang sensitif berpotensi mencetuskan risiko bahaya kepada kru pesawat udara dan kebimbangan mengenai keselamatan negara.


"Sebarang pencerobohan objek pada Ruang Udara Kegunaan Khas (SUA) boleh menjejaskan keselamatan operasi penerbangan pesawat dan mungkin memberi cabaran kepada keselamatan negara," jelas Pentagon.


SUA merujuk kepada lingkungan ruang udara tentera terkawal, kawasan operasi ketenteraan, tempat menembak dan kawasan dihadkan untuk keselamatan negara dan kegunaan lain.


Jelas Pentagon, pasukan khas itu akan menggantikan Pasukan Petugas Fenomena Udara Tidak Dikenali (UAPTF) dibawah Tentera Laut AS.


"Pasukan baharu ini akan berusaha untuk mengesan, mengenal pasti dan mengaitkan objek serta menilai dan mengurangkan sebarang ancaman berkaitan," katanya.

Jumaat, 26 November 2021

Bawa Balik Salinan Drama Squid Game, Lelaki Korea Utara Dijatuhi Hukuman Mati

Bawa Balik Salinan Drama Squid Game, Lelaki Korea Utara Dijatuhi Hukuman Mati


Seorang lelaki di Korea Utara dikenakan hukuman mati atas kesalahan membawa balik salinan drama bersiri popular Korea Selatan, Squid Game ke negara itu, lapor Daily Mail pada 25 November 2021.


Lelaki yang juga merupakan seorang pelajar itu dipercayai telah menyeludup masuk salinan drama tersebut dari China, dalam bentuk digital yang disimpan dalam pemacu USB.  


Lelaki itu ditahan oleh anggota perkhidmatan pengawasan negara selepas didapati menjual salinan drama itu kepada orang ramai, turut ditahan beberapa orang pelajar sekolah yang menonton drama tersebut.


Penahanan itu dipercayai berlaku pada minggu lalu di wilayah utara Hamgyong yang bersempadan dengan China. Difahamkan, skuad penembak akan melaksanakan hukuman mati terhadap lelaki berkenaan.


Radio Free Asia melaporkan seorang pelajar yang membeli salinan siri drama itu dikenakan hukuman penjara seumur hidup, manakala enam lagi yang menonton filem tersebut dijatuhi hukuman melakukan kerja berat selama lima tahun.


Pihak berkuasa Korea Utara kini sedang mencari lagi bahan filem asing di sekolah pelajar berkenaan. Beberapa guru dan pentadbir sekolah turut didakwa dipecat atau mungkin akan dipaksa bekerja di lombong terpencil sebagai hukuman.


Kes seludup dan menonton bahan hiburan dari Korea Selatan ini bukan pertama kali berlaku, sebelum ini beberapa orang warga negara itu turut dijatuhi hukuman yang berat.


Laporan media yang meluas pada April tahun lalu juga mengatakan bahawa seorang lelaki telah dihukum bunuh secara terbuka kerana menjual pendrive dan CD yang mengandungi bahan hiburan dari Korea Selatan.


Seorang pelajar lelaki didakwa membawa salinan drama Squid Game dalam USB ke Korea Utara bakal dihukum mati. - Foto NETFLIX.

Jumaat, 12 November 2021

China Bina Replika Kapal Tentera Laut AS Di Gurun Xinjiang, Dijadikan Sasaran Latihan

China Bina Replika Kapal Tentera Laut AS Di Gurun Xinjiang, Dijadikan Sasaran Latihan


BEIJING - Tentera China membina replika menyerupai bentuk kapal perang pengangkut pesawat Tentera Amerika Syarikat (AS), bagi dijadikan sasaran latihan di kawasan gurun Xinjiang, menurut laporan dari Reuters.


Rakaman dari imej satelit Maxar menunjukkan tempat itu berkemungkinan menjadi operasi latihan sekali gus mencerminkan usaha China membina keupayaan anti pengangkutan khususnya terhadap Tentera Laut AS.


Imej-imej satelit menunjukkan garis besar skala penuh kapal induk AS dan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu pemusnah kelas Arleigh Burke dibina di kawasan yang kelihatan seperti kompleks jarak sasaran baharu di Gurun Taklamakan.


Imej-imej itu juga menunjukkan sistem rel selebar enam meter dengan sasaran bersaiz kapal dipasang padanya. Menurut pakar, ia boleh digunakan untuk simulasi kapal yang bergerak.


Institut Tentera Laut AS yang memetik laporan perisikan syarikat geospatial, All Source Analysis memaklumkan kompleks itu digunakan untuk ujian peluru berpandu balistik.


Program peluru berpandu anti-kapal China diawasi oleh Pasukan Roket Tentera Pembebasan Rakyat (PLARF). Kementerian Pertahanan China belum memberikan sebarang komen mengenai perkembangan terkini itu.


Rakaman imej satelit di Ruoqiang, Xinjiang. - Foto MAXAR.

Isnin, 4 Oktober 2021

38 Pesawat Tentera China Termasuk Pengebom Nuklear H-6 Ceroboh ADIZ Taiwan

38 Pesawat Tentera China Termasuk Pengebom Nuklear H-6 Ceroboh ADIZ Taiwan


TAIPEI - Kerajaan Taiwan mengesan 38 pesawat tentera China memasuki Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) negara itu, ketika Beijing menyambut Hari Kebangsaan, sekali gus dilihat sebagai pencerobohan terbesar sejak beberapa bulan lalu, dakwa Taipei pada 2 Oktober 2021.


Pertunjukan ketenteraan Hari Kebangsaan China (ulang tahun penubuhannya yang ke 70) pada 1 Oktober 2021 diadakan berhampiran pulau demokratik ditadbir sendiri, yang mana Beijing menuntut kawasan itu sebahagian wilayahnya.


Taipei memaklumkan sebanyak 22 pesawat pejuang China termasuk 18 jet jenis J-16 dan empat jet Su-30, mengiringi dua pesawat pengebom nuklear H-6 serta sebuah pesawat pengintip Y-8 dalam satu misi dijalankan Jumaat lalu.


Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan, pihaknya mengerahkan jet pejuang bagi memintas dan memberi amaran kepada pesawat China, di samping mengaktifkan sistem pertahanan peluru berpandu bagi memantau keadaan.



Tambah kementerian itu, kumpulan kedua membabitkan 13 jet melintasi ADIZ pada Jumaat (1 Oktober 2021) dalam 'pencerobohan' malam yang jarang berlaku, sekali gus menjadikan jumlah pesawat China melintasi kawasan itu sebanyak 38.


ADIZ tidak sama seperti ruang udara wilayah Taiwan tetapi termasuk kawasan yang jauh lebih luas dan bertindih dengan bahagian zon identifikasi pertahanan udara China serta termasuk kawasan tanah besar negara itu.


Beijing sering menghantar pesawat ketenteraannya ke zon pertahanan udara Taiwan untuk menunjukkan kekuatan. Misi kali ini adalah yang terbesar berbanding 28 jet memasuki ADIZ Taiwan pada 15 Jun lalu.



Misi itu dijalankan ketika ketegangan semakin meningkat di wilayah tersebut berikutan pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) berkaitan perolehan kapal selam nuklear yang menimbulkan kemarahan Beijing.


China sering melakukan misi seperti itu namun kali ini mereka mengambil 'kepentingan baharu' setelah perjanjian AUKUS. Taiwan yang merupakan sekutu dekat AS, mungkin berperang untuk melindungi wilayah separa autonomi itu sekiranya berlaku pencerobohan berterusan oleh China.


Perjanjian AUKUS itu secara tidak langsung memberi gambaran UK dan Australia kini boleh diseret dalam konflik tersebut.


Sementara itu, data penjejakan penerbangan yang dikeluarkan oleh Taiwan menunjukkan jet J-16 dan pesawat pejuang Su-30 terbang jarak dekat ke ADIZ sebelum berpatah balik. Dua pesawat pengebom H-6 pula terbang melengkung untuk waktu singkat di tepi ADIZ.


Dilaporkan, pesawat Y-8 terbang melalui laluan panjang di sepanjang selatan pulau sebelum berpatah balik. Sejak setahun lalu, Taiwan beberapa kali mendakwa pesawat tentera udara China menghampiri sempadan negara itu khususnya di kawasan zon pertahanan udara berhampiran Kepulauan Pratas.


Berdasarkan data Kementerian Pertahanan, sekurang-kurangnya sebuah pesawat tentera China melintasi zon pertahanan Taiwan hampir setiap hari pada bulan lalu.


Setakat ini, sebahagian besar misi dijalankan China hanya melibatkan sejumlah kecil pesawat namun misi pada Jumaat lalu merupakan luar biasa dari segi bilangan pesawat. Dilaporkan, hanya tiga misi yang setanding melintasi ADIZ Taiwan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.


"Misi pada 5 dan 23 September lalu masing-masing membabitkan 19 pesawat manakala 15 Jun lalu sebanyak 28 pesawat memasuki ADIZ," jelas laporan itu.


JET pejuang jenis J-16 antara pesawat tentera China yang melintasi Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan.

Isnin, 16 Ogos 2021

Motosikal Terbang Di Pasaran Menjelang 2023 Dengan Harga Permulaan RM1.6 Juta

Motosikal Terbang Di Pasaran Menjelang 2023 Dengan Harga Permulaan RM1.6 Juta


Sebuah syarikat pembuatan alatan futuristik, Jetpack Aviation mendedahkan akan melancarkan motosikal terbang menjelang 2023 ini, menurut lapor akhbar Daily Star UK pada 15 Ogos 2021 lalu.


Jetpack Aviation yang berpangkalan di California mengumumkan perkara itu susulan kejayaan sesi pandu uji kenderaan itu baru-baru ini. Syarikat itu berharap dapat menghasilkan dua versi motosikal itu kegunaan harian.


Digelar sebagai The Speeder, motosikal futuristik ini dibina dengan program perisian kawalan penerbangan unik Jetpack Aviation untuk membantu memantau dan menyesuaikan daya tuju sepanjang pemanduan.


Perisian yang memerlukan masa setahun setengah untuk dihasilkan itu membolehkan motosikal terbang berfungsi seperti motosikal biasa dan secara automatik menstabilkan kenderaan itu di udara.



"Kami mungkin akan menghasilkan motosikal jenis ultra ringan yang tidak memerlukan lesen juruterbang untuk dikendalikan.


"Ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan versi kategori profesional dalam tempoh enam bulan selepas itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jetpack Aviation, David Mayman.


Kata David, kelajuan versi ultra ringan akan dihadkan hingga 60 kilometer sejam sejajar dengan peraturan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan waktu penerbangan selama 15 minit.


"Versi motosikal terbang kategori profesional pula memerlukan lesen juruterbang asas dengan kelajuan 250 kilometer sejam dan waktu penerbangan sekitar 35 minit," katanya.


Speeder akan dilengkapi lapan turbin yang membolehkan motosikal seberat 136 kilogram itu membawa pemandu dua kali ganda daripada berat kenderaan.


Jetpack Aviation telah menetapkan harga awal The Speeder pada AS$381,000 (RM1.6 juta) dan telah mula mengambil pesanan awal daripada pembeli berminat.


Jetpack Aviation juga berharap dapat memberikan versi komersial untuk organisasi keselamatan tentera dan awam di masa depan. Motosikal terbang yang merangkumi sayap yang boleh dilepas untuk kelajuan yang lebih besar, lebih banyak simpanan untuk menahan penumpang yang cedera dan tempat untuk peralatan perubatan serta pemadam kebakaran.