Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Oktober 2021

Lelaki Maut Dipatuk Tedung Peliharaan Sendiri Ketika Memandikan Haiwan itu

Lelaki Maut Dipatuk Tedung Peliharaan Sendiri Ketika Memandikan Haiwan itu

Gambar hiasan.

Seorang lelaki penduduk Dusun Tukharjo, Desa Purwoharjo, Kapanewon Samigaluh, Kabupaten Kulon Progo, Yogyakarta meninggal dunia selepas dipatuk oleh seekor ular tedung peliharaannya sendiri, lapor Suara.com pada 6 Oktober 2021.


Anggun Prabowo memelihara ular tedung tersebut dan akan memandikan haiwan berbisa itu pada setiap petang. Namun, aktiviti hariannya bersama haiwan itu memakan dirinya apabila Anggun menjadi mangsa korban akibat dipatuk ular peliharaannya.


Menurut maklumat yang diterima pihak Klinik Kesihatan Samigaluh 1, sekitar pukul 4 petang Selasa lalu, mangsa sedang memandikan ular peliharannya.


Ia bagaimanapun tiba-tiba menggigit tangan kiri mangsa. Mangsa kemudian sempat mandi sebelum datang sendiri ke Klinik Kesihatan Samigaluh 1 untuk diperiksa sekitar pukul 4.30 petang waktu tempatan.


Pusat klinik kesihatan itu kemudian memeriksa keadaan mangsa. Prosedur pengendalian haiwan berbisa juga dilakukan oleh petugas klinik tersebut. Mangsa menjalani ujian kulit untuk mengetahui sama ada terdapat alahan atau tidak.


Namun, setelah menjalani pemeriksaan kulit selama 5 minit, mangsa muntah, berbuih di mulut, dan mengalami kekejangan. Mangsa kemudian tidak sedarkan diri di bilik pemeriksaan pusat kesihatan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.48 petang waktu tempatan.


Anggun Prabowo, seorang penduduk Dusun Tukharjo, Desa Purwoharjo, Kapanewon Samigaluh, Kabupaten Kulon Progo, meninggal dunia akibat ular peliharaannya, pada selasa lalu.

Selasa, 5 Oktober 2021

Pesawat Tersangkut Bawah Jejambat Tular Di Media Sosial

Pesawat Tersangkut Bawah Jejambat Tular Di Media Sosial


Satu video memaparkan sebuah pesawat Air India yang tersangkut di bawah jejambat pejalan kaki ketika dibawa melalui jalan raya di New Delhi, tular di laman media sosial sejak dua hari lepas.


Setakat ini, butiran mengenai pesawat, pembeli dan lokasi kejadian tidak dapat dipastikan. Pun begitu, menurut netizen, kejadian itu dilaporkan berlaku pada jam 1 pagi pada hari Ahad di jejambat Lebuh Raya Delhi-Gurugram berhampiran Lapangan Terbang New Delhi.


Menerusi laporan portal Republicworld.com, seorang jurucakap dari syarikat Air India mengesahkan pesawat yang dilupuskan itu telah dibatalkan pendaftarannya dan sudah dijual.


"Pesawat itu diangkut pada Sabtu lalu oleh pihak terlibat. Air India tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pesawat yang dalam keadaan apa pun. Ia merupakan pesawat lama yang sudah dilupuskan oleh syarikat kami," kata jurucakap itu.


Klip video itu menunjukkan kenderaan sedang bergerak di satu laluan di lebuh raya tersebut, sementara yang lain terhenti disebabkan pesawat tidak bergerak.


Bahagian depan pesawat itu dilihat melintas bawah jejambat pejalan kaki tersebut manakala separuh lagi badan kapal terbang tersekat.


Sementara itu, Lapangan Terbang New Delhi turut mengesahkan tidak ada pesawat yang beroperasi terlibat dalam insiden berkenaan.


Gambar menunjukkan pesawat tersangkut di bawah jejambat pejalan kaki di New Delhi. - Foto REPUBLIC.

Khamis, 26 Ogos 2021

Cef Sediakan Sup Ular Maut Dipatuk 'Kepala' Reptilia Itu Yang Baru Dipotong Untuk Dimasak

Cef Sediakan Sup Ular Maut Dipatuk 'Kepala' Reptilia Itu Yang Baru Dipotong Untuk Dimasak


Nasib malang menimpa seorang cef apabila maut dipatuk 'kepala' ular tedung yang baru dipotong, ketika menyiapkan hidangan sup ular yang amat terkenal di bahagian selatan China.


Menurut laporan akhbar Daily Star pada 24 Ogos 2021, Peng Fan dari bandar Foshan telah menghabiskan masa selama 20 minit untuk menyediakan hidangannya dan memotong kepala ular tedung berbisa tersebut.


Ketika mencapai kepala haiwan itu untuk dibuang ke dalam tong sampah, ia secara tiba-tiba mematuk lelaki itu, menyebabkan suasana bertukar kecoh dan memeranjatkan pelanggan yang ada di restoran tersebut.


Menurut seorang pelanggan, Lin Sun, 44, dia sedang makan di restoran tersebut bersempena sambutan ulang tahun kelahiran isterinya apabila suasana tiba-tiba menjadi kecoh. Mereka yang mendengar jeritan dari arah dapur pada awalnya tidak tahu apa yang sedang berlaku.


"Pekerja restoran kemudiannya menghubungi doktor namun sebaik sahaja bantuan perubatan tiba, lelaki itu dilaporkan sudah mati. Selepas mendengar berita itu, kami terus berhenti makan," katanya.


Bisa daripada ular tedung itu mengandungi neurotoksin yang boleh membunuh dalam masa 30 minit, mengakibatkan lumpuh dan membuatkan mangsa mengalami sesak nafas sehingga boleh membawa maut. 


Terdapat penawar bagi bisa tersebut, namun ia perlu diberikan kepada mangsa secepat mungkin. Menurut seorang pakar, ular dan beberapa reptilia lain masih boleh bergerak sehingga satu jam selepas dibunuh.


Katanya, tidak mustahil haiwan itu masih hidup dan menggigit tangan Peng Fan. Selepas kepalanya dipotong, ia dianggap telah mati namun masih terdapat pergerakan reflektif. Ini bermakna ular masih boleh mematuk meskipun selepas kepalanya cedera teruk.


Ular tedung senduk boleh memindahkan bisanya dari jarak 2.7 meter. - Foto Getty Images.
Pemburu Melepaskan Tembakan Disangka Burung, Lelaki Maut Ditembak

Pemburu Melepaskan Tembakan Disangka Burung, Lelaki Maut Ditembak


Seorang lelaki maut ditembak apabila seorang pemburu yang menyangkanya seekor burung di kawasan hutan Nanga Dayu iaitu antara sempadan RH Uding, Ulu Budu, Saratok dengan RH Anthony, Sungai Merah, Dayu Pakan, semalam


Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin, berkata dalam kejadian jam 4 petang, mangsa yang dikenali sebagai Nissa Jamu, 29, meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, sebelum kejadian, mangsa dan dua rakannya bergerak dari RH Anthony dan mereka berehat seketika di kawasan itu sebelum memulakan pemburuan.


"Suspek pula adalah lelaki 45 tahun yang memburu sendirian dari arah Ulu Budu, Saratok. Apabila tiba di lokasi, dia didakwa melepaskan tembakan ke arah mangsa yang disangka seekor burung.


"Selepas tembakan itu, suspek ke tempat mangsa dan mendapati dia telah tersalah tembak. Dia didakwa meminta maaf kepada dua rakan mangsa dan pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Andam berkata, bagaimanapun suspek tampil menyerah diri di Balai Polis Julau dan ditahan kira-kira 2 pagi hari ini. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.


Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati lebih 15 kesan tembakan dijumpai di belakang badan dan kepala mangsa. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Katanya, kes juga disiasat mengikut seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM 10,000 atau kedua-duanya.


Senapang, peluru serta peralatan yang dirampas daripada suspek yang menembak seorang lelaki ketika berburu di kawasan hutan Nanga Dayu, Pakan. - Foto Melvin Joni.

Sabtu, 14 Ogos 2021

Helikopter buatan sendiri 'makan' tuan, kipas patah terkena leher

Helikopter buatan sendiri 'makan' tuan, kipas patah terkena leher


Terinspirasi untuk mencipta helikopter sendiri menjadi impian seorang lelaki di Mahagoan, India selepas menonton filem popular 3 Idiots. Namun hasratnya itu musnah apabila dia maut selepas terkena bilah kipas helikopter ciptaannya ketika sesi ujian.


Menurut lapor Times of India pada 12 Ogos 2021, Sheikh Ismail Sheikh Ibrahim, 24, seorang penduduk kampung yang tidak menamatkan persekolahannya. Bagaimanapun, dia mempunyai impian mencipta sesuatu yang luar biasa untuk membanggakan keluarga dan kampungnya.


Dari itu, Sheikh Ismail mencipta 'Munna Helicopter' yang dibuat daripada besi sebagai prototaip. Rakannya, Sachin memaklumkan Times of India bahawa Sheikh Ismail mula mengumpul maklumat reka bentuk sesuai untuk helikopternya sejak dua tahun lalu.


"Setelah mengumpulkan maklumat mengenai reka bentuk dan cara pemasangan dengan menonton video YouTube, dia mula mengerjakan projek impiannya. Memerlukan hampir dua tahun untuk Sheikh Ismail mengumpulkan semua bahagian yang diperlukan.


"Dia juga membuat prototaip helikopter satu tempat duduk dengan mengimpal paip keluli dan memasang mesin Maruti 800 untuk menggerakkannya," kata Sachin.



Sheikh Ismail berhasrat untuk memperkenalkan helikopter ciptaannya pada sambutan Hari Kemerdekaan tidak lama lagi. Dia kemudian ada menjemput beberapa rakannya untuk melihat prototaip helikopter berkenaan pada 10 Ogos lalu.


Ramai rakannya teruja dan pergi ke sebuah lokasi di kampung berkenaan untuk melihat hasil ciptaan Sheikh Ismail itu. Sebaik semua sudah berkumpul, Sheikh Ismail mula menghidupkan enjin helikopter berkenaan sebelum rotor helikopter mula berpusing dengan laju.


Tidak lama selepas itu, rotor di bahagian ekor helikopter tercabut dan terpelanting serta terkena bilah kipas utama. Keadaan menjadi cemas apabila bilah berkenaan terpelanting dan terkena leher Sheikh Ismail.


Menurut rakannya, helikopter berkenaan sempat naik pada ketinggian 1.5 meter sebelum ini dengan Sheikh Ismail lengkap memakai topi keledar. Namun, pada malam kejadian dia tidak memakai peralatan keselamatan dan meragut nyawanya.



Isnin, 26 Julai 2021

Influencer Wanita Maut Terjatuh Kren Setinggi 160 Kaki Ketika Rakam Video

Influencer Wanita Maut Terjatuh Kren Setinggi 160 Kaki Ketika Rakam Video


Seorang wanita pengendali kren menara maut selepas terjatuh dari ketinggian 160 kaki ketika membuat rakaman video menggunakan telefon pintar di China.


Portal The Sun melaporkan, wanita itu, Xiaoqiumei, 23, yang juga selebriti media sosial mempunyai 100,000 pengikut ditemui masih memegang telefon bimbit ketika terjatuh.


Difahamkan, ketika rakaman video dibuat mangsa tersilap langkah sebelum terjatuh. Mangsa meninggal dunia ketika mengendalikan operasi kren berhampiran rumahnya di wilayah Quzhou, Zhejiang.


Ibu anak dua itu kerap berkongsi video kehidupan dan pekerjaannya sebagai pengendali kren menara. Kejadian dilaporkan berlaku pada Selasa lalu (20 Julai 2021) ketika ramai pekerja sudah pulang.



Video yang dirakam wanita itu tular di media sosial, bagaimanapun keluarganya menafikan wanita itu terjatuh kerana mahu merakam video.


Keluarga mangsa memaklumkan dia seorang profesional di tempat kerja dan menyimpan telefon bimbitnya di dalam beg ketika bekerja. Mangsa difahamkan terlajak satu langkah sebelum jatuh.


Saksi kejadian yang melihatnya jatuh ke bawah mengatakan tangan mangsa masih memegang telefon bimbit ketika tragedi itu berlaku pada jam 5.40 petang.


Difahamkan, Xiao merupakan wanita indivdu kedua di China yang maut dipercayai ketika merakamkan video untuk content media sosial.


Pada 10 Julai lalu, Sofia Cheung, influencer media sosial di Hong Kong dilaporkan maut semasa mengambil swafoto di kawasan air terjun.


Kren yang dikatakan dikendali Xiao.

Jumaat, 23 Julai 2021

Tersilap Dengar Arahan, Wanita 'Terjun Bungee' Maut Tali Keselamatan Belum Dipasang

Tersilap Dengar Arahan, Wanita 'Terjun Bungee' Maut Tali Keselamatan Belum Dipasang


Rakaman mengerikan yang memaparkan seorang wanita pelompat bungee meninggal dunia selepas tersalah tafsir, dengan menyangka bahawa gilirannya telah tiba untuk melompat dari ketinggian sekitar 45 kaki itu semasa tali keselamatannya tidak terpasang.


Mangsa, Yecenia Morales, 25, dilaporkan terus melompat dari atas jambatan tanpa memakai tali keselamatan kerana menyangka isyarat terjunan yang ditujukan kepada kekasihnya adalah untuk dia.


Sebuah video yang menunjukkan mangsa melompat dari jambatan itu telah dirakamkan oleh pelancong yang berada di tebing berdekatan. Kira-kira 100 orang sedang menunggu untuk melakukan terjunan menjadi saksi kejadian tersebut.



Menerusi rakaman video berkenaan, Morales melakukan terjunan pada waktu yang sama dengan kekasihnya. Namun, nasib malang menimpa wanita itu apabila dia jatuh terhempas ke atas permukaan tanah.


Kekasihnya yang sedang melakukan terjunan juga berusaha untuk menyelamatkan wanita malang itu, namun gagal. Morales kemudian dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.


Datuk Bandar Fredonia, Antioquia, Gustavo Guzman mengucapkan takziah kepada keluarga Morales disebabkan kemalangan tersebut. Ahli keluarganya turut bersedih dan menyifatkan Morales sebagai wanita yang periang, ceria dan gemar menari.


Dalam pada itu, polis turut melakukan siasatan selepas mendakwa bahawa dua syarikat yang menawarkan perkhidmatan dan membekalkan peralatan di lokasi tersebut tidak mendapat kebenaran pihak berwajib.