Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Mac 2024

Tikam, kelar leher rakan kerana hutang RM30

Tikam, kelar leher rakan kerana hutang RM30


Gara-gara hutang RM30, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah tergamak menikam rakannya ketika datang ke rumah mangsa di Sungai Way, Petaling Jaya, pada Rabu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah malam apabila suspek berusia lingkungan 20-an itu datang ke rumah mangsa untuk menuntut hutang.


Menurutnya, berlaku pergelutan semasa kejadian sebelum suspek mengeluarkan pisau dan menikam dada kiri serta mengelar leher mangsa.


"Mangsa menjerit kesakitan dan lari masuk ke dalam rumah meminta bantuan rakan serumah.


"Kejadian berlaku apabila suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa enggan membayar baki hutang RM30 menyebabkan dia marah sebelum bertindak di luar kawalan menikam mangsa," katanya hari ini.


Shahrulnizam berkata, susulan itu polis menahan suspek pada jam 1 pagi kelmarin di rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.


"Mangsa dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dalam keadaan stabil. Luka kecederaan juga sudah dijahit.


"Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah syabu dan dia direman sehingga 12 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.


Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak menikam rakannya kerana hutang RM30. - Foto Sinar Harian.

Isnin, 19 Februari 2024

Menantu tukar barang kemas ibu mentua dengan emas palsu menyebabkan kerugian RM30,000

Menantu tukar barang kemas ibu mentua dengan emas palsu menyebabkan kerugian RM30,000


Tindakan menantu lelaki mencuri barang kemas milik ibu mentua dan menukarkannya dengan emas palsu mengundang padah apabila ditahan di kawasan Taman Pandan Mesra, Ampang Jaya, Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian yang berlaku 11 Februari itu disedari wanita tempatan berusia 56 tahun apabila mendapati barang kemas diletakkan di dalam laci dan bilik tidur telah hilang.


Menurutnya, wanita itu mendapati satu gelang tangan emas miliknya tiada manakala rantai leher emas miliknya ditukar kepada emas palsu sehingga menyebabkan kerugian sekitar RM30,000.


"Seorang penganggur, lelaki tempatan berusia 26 tahun yang merupakan menantu mangsa telah ditahan sekitar pukul 6.30 petang bagi membantu siasatan, Isnin lalu.


"Soal siasat suspek membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang berperanan sebagai pembeli barang kemas seperti dilaporkan hilang pada Rabu lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Azam, semakan mendapati tahanan pertama mempunyai dua rekod lampau dadah dan positif methamphetamine dan amphetamin.


"Tangkapan kedua tiada rekod lampau jenayah dan positif ganja.


"Menantu mangsa dibenarkan reman tujuh hari bermula Selasa lalu hingga esok manakala tangkapan kedua telah tamat reman tiga harinya, semalam.


Jelas beliau, motif kejadian disebabkan suspek memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang tertunggak, hutang motosikal, berjudi dan membeli bekalan dadah.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri di dalam rumah," ujarnya. - Sumber Kosmo Online.

Jumaat, 9 Februari 2024

Anak bakar rumah ibu kerana pertikaian duit pencen arwah ayahnya

Anak bakar rumah ibu kerana pertikaian duit pencen arwah ayahnya


Seorang pemuda telah ditahan selepas disyaki membakar kediaman ibunya di wilayah Mamuju, Sulawesi Barat susulan pertikaian wang persaraan bapa pada Khamis, lapor laman berita DetikSulsel, semalam.


Rumah milik Rahmatia, terletak berdekatan dengan kawasan peranginan terkenal Pantai Lombang-lombang, dibakar anak lelakinya, Irfandi, 30 tahun, pada kira-kira pukul 9 pagi waktu tempatan.


Ketua Balai Polis Kalukku, Inspektor Makmur dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan suspek yang juga dikenali sebagai Ippang dan lokasi kejadian telah dipasang garis polis untuk memudahkan siasatan.


Siasatan awal mendapati ketegangan hubungan ibu dan anak berpunca setelah mendapati ibunya mengeluarkan wang pencen bapanya tanpa memaklumkan kepadanya.


"Motifnya dia marah dengan ibunya yang telah menerima duit pencen bapanya, tetapi pelaku belum diberitahu mengenainya," kata Makmur pada Khamis ( 8/2/2024).


Makmur berkata, suspek ketika disoal siasat pada awal mengaku membakar rumah ibunya kerana dibina di atas tanah orang lain. Bagaimanapun, selepas siasatan mendalam, motif suspek membakar rumah tersebut kerana kecewa ibunya tidak berkongsi wang pencen arwah ayahnya.


Irfandi nekad memulakan kebakaran dengan menyalakan api di tirai tingkap sehingga mengakibatkan kemusnahan rumah dan harta benda bernilai 40 juta rupiah, sekitar RM12,200. - Sumber Detik.com.


Pemuda ditahan selepas disyaki membakar kediaman ibunya susulan pertikaian wang persaraan bapa pada Khamis. - Foto Dok. Istimewa.

Rabu, 7 Februari 2024

Dua lelaki ditahan simbah cat merah ke kereta, pagar jiran

Dua lelaki ditahan simbah cat merah ke kereta, pagar jiran


Dua lelaki tempatan diberkas polis selepas dipercayai terlibat dalam insiden menyimbah cat merah membabitkan tiga kenderaan di Taman Selaseh, Batu Caves, Gombak, 25 Januari lalu.


Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli berkata, kedua-dua individu berusia 23 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara pada pukul 5 petang, semalam.


"Dalam serbuan berkenaan, polis merampas dua telefon pintar, sebuah komputer riba bersama satu pencetak, sebungkus plastik lut sinar, empat keping nota ugutan, dua tin cat merah, empat botol kosong minyak masak dan tiga topi keledar.


"Kita juga merampas sebuah motosikal Yamaha LC 135 berwarna hitam yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.


"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek itu positif dadah jenis methephatemine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurutnya, semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai rekod kesalahan jenayah curi dan juga penyalahgunaan dadah.


Jelas beliau, suspek kini direman selama empat hari sehingga 10 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.


Pada 25 Januari lalu, media melaporkan sebanyak tiga buah kenderaan serta dua pagar rumah dilaporkan disimbah cat merah di Taman Selaseh, Batu Caves.


Difahamkan, perbuatan itu dilakukan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along selepas gagal menuntut hutang dari jiran mereka.


Antara kereta yang disimbah cat merah oleh along pagi 25 Januari lalu. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 5 Februari 2024

Penyamun kebas timah seberat 30 tan bernilai RM80,000

Penyamun kebas timah seberat 30 tan bernilai RM80,000


Seorang pemandu lori berhadapan detik cemas apabila dirinya diikat dan ditinggalkan di kebun kelapa sawit sebelum penyamun melarikan muatan timah bernilai RM80,000 dalam kejadian di Jalan Pilin, Pedas, di Rembau, Khamis lalu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 8:45 malam itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 50-an ditinggalkan lebih empat jam di kawasan ladang dalam keadaan terikat.


Mangsa berjaya keluar dari kawasan ladang tersebut kira-kira pukul 1 pagi, dia kemudian mendapatkan bantuan rakan di kilang.


Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, pihaknya menerima laporan daripada mangsa di Balai Polis Kota pada pukul 4.43 pagi, Jumaat lalu dan telah menemui treler yang disamun di tepi jalan Tampin-Linggi.


"Bagaimanapun, muatan logam timah yang dianggarkan sebanyak 13 ketul iaitu bersamaan 30 tan bernilai RM80,000 telah tiada dipercayai diambil suspek.


"Mangsa telah diserang lebih tiga lelaki di depan kilang ketika mahu membuka pintu pagar sebelum treler tersebut dilarikan," katanya kepada pemberita, hari ini.


Tambahnya, usaha mengesan pelaku sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Sumber Kosmo Online.

Ahad, 4 Februari 2024

Pukul ibu hingga mati kerana tidak sediakan sarapan

Pukul ibu hingga mati kerana tidak sediakan sarapan


Hanya kerana tidak menyediakan sarapan, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah bandar di Karnataka Mulbagal, di New Delhi tergamak membunuh ibunya sendiri.


India Today pada 3 Februari melaporkan, kanak-kanak itu ditahan selepas menyerah diri di balai polis sejurus kejadian.


Kejadian berlaku pada Jumaat ketika kanak-kanak itu bersiap untuk ke sekolah.


Berdasarkan keterangan kepada polis, dia meminta ibunya menyediakan sarapan, namun wanita itu enggan selain memaklumkan kanak-kanak itu bukan anaknya.


Akibat marah, kanak-kanak itu memukul kepala ibunya dengan batang besi, menyebabkan wanita yang berusia 40 tahun itu mati.


Menurut polis, dia kemudian berjalan ke balai polis dan meminta seorang kakitangan kanan bercakap dengannya, dan memberitahu sudah membunuh ibunya.


Polis berkata bapa kanak-kanak itu adalah seorang petani dan telah keluar bekerja, sambil menambah bahawa kakaknya sedang belajar di luar negara. - Sumber India Today


Remaja itu memberitahu polis ketika pergaduhan semakin memuncak, dia memukul kepala ibunya dengan batang besi dan mangsa terjatuh. - Foto PTI.

Khamis, 1 Februari 2024

Mekanik direman, rogol adik bekas kekasih hingga hamil

Mekanik direman, rogol adik bekas kekasih hingga hamil


Seorang mekanik berusia 23 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini, selepas disyaki merogol adik bekas teman wanitanya hingga hamil lapan minggu.


Suspek lelaki itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu, semalam.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kejadian dipercayai berlaku pada Disember tahun lalu di sebuah rumah dalam daerah Muar, dengan mangsa kini sudah hamil.


Menurutnya, kejadian terbongkar apabila mangsa berusia 13 tahun mengalami demam dan muntah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Maharani, 9 malam semalam.


"Doktor menjalankan ujian air kencing mendapati mangsa sudah hamil.


"Ibu mangsa memberitahu, anak perempuannya dirogol bekas teman lelaki kakaknya di rumah mereka pada jam 5 pagi, 22 Disember lalu," katanya.


Raiz Mukhliz berkata suspek bertandang ke rumah mangsa pada hari kejadian kononnya mahu membincangkan sesuatu.


"Sebaliknya, suspek mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu tanpa disedari ahli keluarganya," katanya ketika dihubungi.


Raiz Mukhliz berkata, polis berjaya menahan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


"Siasatan juga mendapati suspek baru sahaja dituduh mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menyeludup Pati," katanya.