Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Rabu, 17 Mac 2021

Wanita 'kebaya merah' pamer kecekapan tunggang RXZ, dapat saman JPJ

Wanita 'kebaya merah' pamer kecekapan tunggang RXZ, dapat saman JPJ

Tangkap layar video.


Gara-gara
memuat naik video memaparkan aksi menunggang motosikal Yamaha RXZ tanpa memakai topi keledar di media sosial, seorang wanita dikompaun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.


Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, wanita terbabit yang juga dipercayai Instafamous dikompaun sebanyak RM370 atas kesalahan tidak memakai topi keledar dan nombor pendaftaran motosikal tidak mengikut spesifikasi pada Ahad lalu.


"Sekarang ramai rakam video menaiki kenderaan sebagai kandungan di media sosial. Tapi kalau langgar undang-undang, ia jadi bukti kepada kami untuk ambil tindakan.


"Berdasarkan video tersebut, kami telah memanggil wanita dari Dungun itu baru-baru ini dan dia mengakui kesalahannya.


"Tindakan tetap diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang jalan raya walaupun video atau bukti bergambar itu dimuat naik menerusi akaun media sosial peribadi," katanya di sini hari ini.


Sebelum ini, tular video yang memaparkan Instafamous wanita yang memakai kebaya merah menunjukkan kehebatan menunggang motosikal Yamaha RXZ di jalan raya tanpa memakai topi keledar


Video berdurasi 14 saat untuk kandungan akaun media sosial wanita berkenaan dipercayai dirakam di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun di Kuala Terengganu, pada baru-baru ini.


Foto tular.

Sabtu, 13 Mac 2021

Sajat Terus 'Ghaib' Jais, Polis Perhebatkan Pemburuan

Sajat Terus 'Ghaib' Jais, Polis Perhebatkan Pemburuan


Sudah dua minggu berlalu, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman masih belum di kesan selepas diburu oleh pihak berkuasa ekoran gagal hadir perbicaraan di mahkamah syariah.


Terbaru, memetik laporan Harian Metro, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia membantu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), bagi menjejaki usahawan kosmetik berusia 36 tahun tersebut yang dipercayai sedang bersembunyi.


Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, berikutan kuasa yang terhad, Mais dan Jais memerlukan bantuan polis untuk melaksanakan perintah mahkamah termasuk waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad yang dikeluarkan pada Februari lalu.


"Sudah ada perbincangan antara Jais dan polis. Justeru, Mais menyerahkan perkara ini kepada kedua pihak berkenaan untuk pelaksanaan perintah Mahkamah. Buat masa ini, Jais masih mengesan Muhammad Sajjad dan oleh kerana bidang kuasa yang terhad, bantuan polis diperlukan.


"Bantuan polis bukan sahaja diperlukan dalam kes Muhammad Sajjad bahkan banyak kes syariah sebelum ini, kita laksanakan dengan bantuan polis terutamanya apabila membabitkan perintah Mahkamah," katanya kepada pemberita ketika ditanya perkembangan terbaharu kes berkaitan usahawan itu.



Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.


Usahawan kosmetik itu dituduh berpakaian seperti wanita pada satu majlis bacaan Yasin dan solat hajat sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina, di pusat kecantikan miliknya di Seksyen 16, Shah Alam, jam 7.30 malam 23 Februari 2018.


Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rabu, 3 Mac 2021

Sering diejek, lelaki nekad ubah wajah dan penampilan jadi kacak

Sering diejek, lelaki nekad ubah wajah dan penampilan jadi kacak


Ada yang menghadapi masalah kerana dilahirkan dengan wajah yang kurang cantik daripada rakan mereka yang lain, sehingga raut wajah dan maruah diri selalu diejek dan dijadikan bahan jenaka, membuatkan mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuklah membuat pembedahan pada wajah.


Seorang lelaki di Vietnam mendakwa terpaksa menjalani pembedahan plastik pada wajahnya selepas dia dijadikan bahan jenaka ketika meminta kerja, disebabkan paras wajah beliau yang kurang menarik.


Do Quyen yang berusia 26 tahun membuat pengakuan itu menerusi TikTok kini menjadi popular dengan penampilan terbaharunya. Bagi mendapatkan wajah yang diidamkan, dia perlu menjalani sembilan prosedur pembedahan, lapor portal Odditycentral.com.


Penampilan terbaharunya itu ternyata mengejutkan kenalan dan ahli keluarga kerana perubahan wajah yang ketara. Pembedahan itu dibuat khususnya pada muka, mata dan hidung. Lelaki itu membuat keputusan menukar wajahnya selepas dia ditertawakan penemu duga kerana wajah yang tidak kacak.



Dia kini bekerja sebagai jurusolek di Saigon memberitahu pengikut TikTok bahawa dia membelanjakan sebanyak AS$17,400 (kira-kira RM70,500), untuk mentransformasikan wajahnya supaya menjadi kacak.


Quyen sebelum ini sudah lama berdepan dengan sikap sinikal masyarakat yang sering menjadikan wajahnya sebagai bahan lawak. Namun, kini segala-galanya berubah apabila dia memiliki wajah yang jauh berbeza dengan penampilan sebelumnya.


"Saya sukar mendapatkan pekerjaan dan sering diejek setiap kali memohon kerja. Kos pembedahan ini ditanggung sepenuhnya daripada wang simpanan kerana saya bukan daripada keluarga berkemampuan," katanya.


Dalam pada itu, perubahan wajah lelaki ini menjadi bahan berita media tempatan di negaranya. Ia selepas ramai yang seakan-akan tidak percaya terhadap perubahan mendadak penampilannya pada masa kini.


Ahad, 28 Februari 2021

Bintang Shaolin Soccer, Ng Man Tat meninggal dunia dalam tidur

Bintang Shaolin Soccer, Ng Man Tat meninggal dunia dalam tidur


Bintang filem Shaolin Soccer, Ng Man Tat, 70, disahkan meninggal dunia akibat kanser hati di Hospital Union, Hong Kong, hari ini.


Kenalan rapatnya, Tenky Tin Kai Man, memaklumkan kepada media Hong Kong, mendiang meninggal dunia pada jam 5.16 petang di Hospital Union, Hong Kong di samping isteri, anak-anak dan saudara mara.


"Doktor memberi ubat bagi melegakan kesakitan selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak beberapa hari lalu. Man Tat meninggal dunia ketika isteri, anak dan adik beradik berada di sisinya.


"Beliau menjalani pembedahan selepas didiagnosis penyakit kanser hati dan menjalani kemoterapi. Keadaan Man Tat lemah dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan. Kesihatan Man Tat semakin merosot, sejak kebelakangan ini," kata Kai Man.



Pada 2014, dia dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan sebelum disahkan menghidap masalah jantung. Pada penghujung tahun lalu, Man Tat disahkan menghidap kanser hati dan menjalani rawatan di Macau.


Man Tat memulakan kerjayanya dalam bidang lakonan pada usia 22 tahun pada 1973. Sepanjang kerjayanya, beliau banyak bergandingan dengan Raja Komedi Hong Kong, Stephen Chow, antaranya The Final Combat, The Justice of Life dan Shaolin Soccer. Pemergiannya cukup dirasakan Chow.


Menurut Chow, meskipun sudah bersedia dari sudut mental, namun kehilangan rakan seperjuangan adalah sesuatu yang amat memedihkan.


"Walaupun sentiasa memberi perhatian kepada tahap kesihatannya, malah saya sudah membuat persediaan dari sudut mental, tetapi berita ini amat menyedihkan.


"Man Tat adalah rakan lama. Kami sudah bergandingan, sejak sekian lama. Saya tidak dapat menerima kenyataan pemergiannya," kata Chow.


Pada 1991, mendiang dianugerahkan Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Filem Hong Kong menerusi karakternya dalam A Moment of Romance yang turut dibintangi pelakon Andy Lau.

Khamis, 25 Februari 2021

Viral Kolam Memancing Sediakan Wanita Seksi Menemani Pemancing

Viral Kolam Memancing Sediakan Wanita Seksi Menemani Pemancing


Memancing adalah hobi sebilangan orang untuk mengisi masa lapang. Selain melatih kekuatan otot, memancing juga dipercayai dapat meningkatkan kesabaran. Banyak lokasi dan tempat memancing akan dipenuhi oleh kaki pancing terutamanya pada hari cuti.

Seperti diketahui, bila ingin memancing, anda pasti akan datang ke tasik terdekat. Kadang-kadang diperlukan pembantu untuk membantu mengangkat ikan atau mengatur umpan. Baru-baru ini menjadi tular di media sosial, selain penyambut tetamu wanita memakai pakaian yang menjolok mata, ketika pengunjung pergi memancing ikan, ada juga wanita seksi yang bersedia menemani pemancing.

Beberapa gambar itu tular apabila dikongsi oleh akaun Facebook (FB) Fishing Hobby pada Ogos 2020 tahun lalu, namun ia kembali tular apalah akaun FB, Surijan Jan Jan, pada 24 Feb 2021 turut berkongsi beberapa gambar memaparkan wanita-wanita seksi itu berada disekitar kolam ikan.

Ketibaan wanita yang dianggap oleh netizen 'bahagian' itu disambut dengan wajah lelaki yang berseri-seri di lokasi. Malah, beberapa pemancing dilihat mengambil gambar dengan wanita itu. Namun, ada juga netizen yang merasakan bahawa muat naik tersebut menyukarkan suami mendapatkan izin memancing dari isteri mereka.

Penampilan wanita-wanita itu kelihatan sangat mencolok dan menarik perhatian. Sebuah gambar menunjukkan wanita cantik memeluk seorang lelaki yang sedang duduk di tepi kolam memancing, mereka berdua tersenyum melihat kamera, dan beberapa gambar lain menunjukkan seorang pemancing dihimpit kiri kanan dua wanita cantik.

Belum diketahui dengan pasti kebenaran maklumat mengenai memancing menggunakan pembantu wanita ini. Walaupun begitu, isteri atau ibu tidak perlu terlalu risau bila suami meminta izin keluar memancing, dari kenyataan beberapa netizen, lokasi kejadian disyaki di Thailand.

T-shirt dalam bahasa Thai dari salah seorang lelaki mungkin boleh dijadikan bukti bahawa kolam memacing ini berada di Thailand. Dibawah ini gambar-gambar tular yang dikongsi oleh, Surijan Jan Jan, di akaun FBnya, hanya 1 hari komen netizen mencecah 20K.







Isnin, 22 Februari 2021

Terkejut jumpa gelang emas RM11,000 dalam timbunan makanan

Terkejut jumpa gelang emas RM11,000 dalam timbunan makanan


Nurul Atira, 30, menarik perhatian warganet selepas berkongsi videonya memberi kejutan kepada rakan baiknya, Nurul Natrah Hidayu Ramle, 30, dengan menghadiahkan gelang tangan emas bernilai RM11,000.


"Saya pernah mengalami masalah kewangan empat tahun lalu dan ketika itu, dia yang membantu. Kini, tiba saya pula untuk balas jasa baiknya," kata ibu tiga anak Nurul Atira Mohd Saari.


Menerusi video dimuat naik di TikTok dan Instagram (IG) itu, kelihatan Nurul Natrah terkejut kerana tidak menyangka bungkusan plastik ditemui dalam timbunan makanan rupanya berisi gelang tangan emas.


Berkongsi kisah di sebalik video itu, Nurul Atira yang menetap di Batu Burok, Kuala Terengganu berkata, gelang berkenaan dihadiahkan semalam sebagai tanda ingatan buat Nurul Natrah yang baru mendirikan rumah tangga pada minggu lalu.


Nurul Atira berkata, gelang itu dibeli kelmarin iaitu sehari sebelum Nurul Natrah datang ke rumahnya untuk makan malam bersama.


"Tiada siapa tahu mengenai perancangan saya untuk membuat kejutan itu kecuali suami (Zuraidin Shahrulrizal Zainuddin, 38) dan seorang lagi rakan baik (Nurul Kamilah Abdul Ghani, 30).


"Saya pilih untuk hadiahkan gelang tangan kerana ia adalah simbolik persahabatan kami kerana ketika saya susah pada 2017, dia (Nurul Natrah) sanggup gadaikan barangan kemas untuk saya jadikan modal mulakan perniagaan.


"Pengorbanannya itu tidak mungkin saya lupakan. Saya berikan gelang itu sebagai tanda penghargaan buatnya kerana menjadi rakan yang ada bersama ketika susah dan senang," katanya ketika dihubungi.



Bercerita lanjut mengenai persahabatan mereka, Nurul Atira yang juga usahawan minuman kesihatan itu berkata, dia mula mengenali dan berkawan baik dengan Nurul Natrah ketika berusia 13 tahun.


Katanya, sepanjang 17 tahun berkawan, dia dan Nurul Natrah tidak pernah bergaduh melainkan merajuk tetapi tidak lama. Katanya lagi, dia juga rapat dengan ahli keluarganya dan dianggap seperti adik beradik sendiri.


"Diharap, hubungan persahabatan kami akan kekal dan terima kasih kepada semua yang mendoakan selepas menonton video itu. Dia juga pernah berikan saya hadiah," katanya.


Sementara itu, Nurul Natrah berkata, dia gembira dan terharu tetapi tidak sangka menerima hadiah yang mahal daripada rakan baiknya itu.


"Memang saya pernah menolongnya dulu tetapi saya tidak harapkan balasan kerana ikhlas membantu. Lagipun, kami sudah seperti adik beradik. Tiada apa yang saya harapkan melainkan hubungan kami kekal sehingga ke jannah," katanya.

Jumaat, 19 Februari 2021

Pendakwah selebriti sedia untuk dibicarakan, atas dua tuduhan seksual

Pendakwah selebriti sedia untuk dibicarakan, atas dua tuduhan seksual


Petaling Jaya: Kes pendakwah selebriti, yang didakwa atas dua tuduhan seksual membabitkan seorang penuntut kolej swasta berusia 22 tahun ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Mac ini.


"Sudah tentu, saya sedia untuk dibicarakan," kata pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful selepas prosiding pendengaran kes di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.


Syed Shah Iqmal, 26, yang hadir di mahkamah pada jam 9 pagi tadi bersyukur kerana berada dalam keadaan sihat. Dia juga mengakui semakin gemuk dan berisi selepas keluar daripada tahanan reman Disember tahun lalu.


"Insya-ALLAH, kepada yang berdoa dan menyokong saya dari awal sampai ke hari ini," katanya.


Sementara itu, peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili pendakwah selebriti itu berkata, ketika prosiding di Mahkamah Sesyen, Hakim Jamaludin Mat menetapkan 19 Mac ini bagi sebutan semula kes.


Katanya, tarikh sama ditetapkan bagi prosiding di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol. Prosiding hari ini sepatutnya dijadualkan untuk serahan dokumen namun difahamkan fail kertas siasatan tidak dibawa ke mahkamah.


"Ia berada di pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam. Oleh itu serahan dokumen tidak dapat dibuat," katanya.


Syed Shah Iqmal melambai kepada petugas media di
Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas prosiding
kes jenayah yang dikenakan terhadapnya hari ini.


Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan di dua mahkamah di sini.


Di Mahkamah Sesyen, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.


Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pendakwah tersebut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sabtu, 13 Februari 2021

Tiba-tiba ramai gadis akui suka makan Tembikai, bila abang 'sado' jual buah tepi jalan

Tiba-tiba ramai gadis akui suka makan Tembikai, bila abang 'sado' jual buah tepi jalan


Perkara pertama yang kita dapat rasai sebaik menjejak kaki ke negara Vietnam dan memasuki ke bandaraya Ho Chih Minh (Saigon), akan teruja dengan jutaan motosikal yang memenuhi segenap jalan di bandaraya berkenaan.


Deretan gerai tepi jalan juga bukanlah satu pemandangan yang asing di serata negara ini. Siapa yang pernah menjejakkan kaki ke sana, pasti mengakui akan perkara tersebut.


Bagaimanapun pada minggu lepas, sebuah gerai buah yang terletak di Saigon telah menjadi tarikan utama penduduk setempat, malah ia turut menjadi ‘buah mulut’ warganet di laman sosial.


Abang sado jual tembikai



Rupa-rupanya bukan keanehan gerai atau keistimewaan buah-buahan yang dijual menjadi bualan hangat orang ramai, tetapi penjual buah di gerai tersebut yang telah menarik perhatian orang ramai apabila dia dilihat memiliki badan sasa.


Dengan hanya memakai sehelai kain bercorak tradisional Vietnam dan memiliki susuk tubuh 'sado' selain berbekalkan senyuman manis yang sering diukir pada wajahnya, ramai yang 'cair' dan jatuh hati melihat pemuda berkenaan. Sejurus itu, dia terus menjadi tular di laman sosial.


Beberapa koleksi gambarnya mula tersebar di internet dan perkara itu menimbulkan persoalan dalam kalangan warganet. Macam biasa, warganet pun tanpa lengah menjalankan tugas mereka iaitu membongkar gerangan pemuda berkenaan. Akhirnya, tidak lama kemudian mereka berjaya menemui jawapan sebenar dan pemuda itu bukan orang biasa-biasa.


Identiti sebenar terbongkar



Pemuda 'sado' itu dikenali dengan nama Lee Won, yang juga merupakan seorang jurulatih kecergasan berbangsa Korea dan bekerja di sebuah pusat kecergasan di Saigon. Apabila ditemubual oleh media Vietnam, Lee membuka cerita mendedahkan sebuah kisah menarik disebalik penampilan unik dan tindakannya itu.


Kain yang digayakannya itu merupakan satu simbolik dalam kalangan warga Vietnam dan mempunyai kisah tersendiri. Ia berkait rapat dengan lagenda Mai An Tiem, iaitu seorang lelaki yang dipercayai merupakan individu pertama yang memperkenalkan buah tembikai di Vietnam.


Menurut lagenda tersebut, Mai An Tiem adalah seorang jejaka yang kuat dan berbakat. Dia juga percaya bahawa segala hasil titik peluhnya adalah miliknya manakala barang-barang yang diberikan oleh orang lain termasuklah yang dihadiahkan oleh raja, bersifat sementara dan tidak kekal.


Bagaimanapun, apabila mendapat tahu tentang pendirian Mai An Tiem, raja mula murka dan menyalah anggap lelaki itu sebagai seorang yang 'angkuh'. Dia kemudiannya dibuang ke sebuah pulau terbiar dan terpaksa menetap di sana.


Nak dijadikan cerita, di pulau itulah Mai An Tiem berjumpa biji benih 'aneh' dan mula membiak tanaman berkenaan sebagai sumber makanan. Hasil daripada benih itu merupakan buah tembikai yang dimakan oleh rakyat Vietnam sehingga kini.


Mengagumi tradisi Vietnam



Lee Won menyatakan bahawa dia menghormati tradisi Vietnam dan dengan memperingati lagenda Mai An Tiem, dia ingin menyampaikan mesej tentang manusia seharusnya bersikap jujur dengan diri sendiri dan pada masa yang sama bekerja keras untuk memperbaiki diri kita serta memberi impak positif kepada orang sekeliling.


Rata-rata warganet teruja dengan penampilan Lee yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa, malah ruangan komen di posting gambarnya turut dibanjiri dengan komen-komen nakal. Ada yang tiba-tiba suka tembikai, malah ada juga yang sanggup borong kesemua buah tersebut sekali dengan penjualnya.


Sumber: The Smart Local, Foto: Lee Won

Ahad, 31 Januari 2021

Akui rindu pada keluarga, Shuk mengharap doa rumah tangganya kekal bahagia

Akui rindu pada keluarga, Shuk mengharap doa rumah tangganya kekal bahagia


Kuala Lumpur: Pelawak, pengacara dan penyampai radio, Shuk Sahar meminta pengikutnya di media sosial untuk sama membantu mendoakan rumah tangganya kekal bahagia. Shuk menerusi perkongsian di Instagram semalam, memuat naik video bertemu lagi dengan dua anak perempuannya, Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, berusia setahun untuk melepas rindu.


Katanya, dia sangat merindui keluarga dan anak-anaknya. Malah, Shuk turut bercadang membawa anak-anaknya berjalan-jalan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.


"Hari ini dapat jumpa anak-anak sekali lagi. Nanti, lepas PKP kita pergi jalan-jalan tau. Sekarang ini, tak dapat nak jalan-jalan sebab PKP.


"Sebenarnya rindu sangat pada keluarga dan anak-anak saya ini. Bila dapat jumpa macam ini pun dah okay sebenarnya, harap kalian dapat doakan kebahagiaan kami dan semoga semuanya kekal hingga ke syurga," katanya.


Rata-rata warganet yang meninggalkan komen bersimpati dengan Shuk serta memintanya bersabar dan banyakkan berdoa semoga segala urusan dihadapi dipermudahkan oleh Allah SWT.


Terdahulu, tiga hari lalu Shuk juga berkongsi video di Instagram bertemu anak-anaknya dan mengaku kesilapan diri. Katanya, apa yang berlaku dalam hidup dan keluarganya ketika ini adalah berpunca daripada kesilapan sendiri.


Sementara itu, tinjauan di Instagram isteri Shuk, Rossalennah Natassiah Asshaferah mendapati wanita itu sibuk membuat 'review' produk kepada pengikutnya.


Menerusi satu video dimuat naik, Rossalennah atau mesra disapa Sera turut memohon maaf kepada pengikutnya berikutan sejak kebelakangan ini dia banyak membuat 'review' produk di Instagram.


"Saya nak mohon maaf, sejak akhir-akhir ini banyak sangat saya buat 'review'. Seperti yang kalian tahu, saya kena teruskan lagi kehidupan. Saya tetap kena cari makan, cari rezeki untuk saya, untuk anak-anak dan apa semua," katanya.


Shuk bersama isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dan anak mereka, Nur Qurratu Ain dan Nur Assyifatu Aimi.

Rossalennah juga mengajak wanita-wanita yang berhadapan ujian sepertinya terus bangkit, tabah dan kuat walaupun hati rebah menyembah bumi. Baru-baru ini, pergolakan semula rumah tangga Shuk dan Rossalennah tular di media sosial berikutan pendedahan berani dibuat wanita itu yang mendakwa suaminya curang.


Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik di Instagram, Rossalennah mendedahkan Shuk masih lagi mempunyai hubungan dengan wanita sama yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.


Shuk dan Rossalennah atau Sera mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2015 di Kampung Ulu Sapi, Beluran Sandakan, Sabah. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Rabu, 20 Januari 2021

JAIS sahkan Sajat sudah didakwa di mahkamah kerana berpakaian wanita

JAIS sahkan Sajat sudah didakwa di mahkamah kerana berpakaian wanita


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat sudah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini, pada awal bulan ini.


Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pada 6 Januari lalu, Muhammad Sajjad dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam atas kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina.


Katanya, usahawan kosmetik didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.


Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


"Tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah. Selanjutnya, pihak mahkamah menangguhkan kes pada jam 9 pagi, 23 Februari hadapan untuk perbicaraan.


"Tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM 3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan penjawat awam kumpulan A," katanya ketika dihubungi wartawan hari ini.


Mohd Shahzihan berkata, pendakwaan terbabit dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Selangor, Atras Mohd Zain. Muhammad Sajjad didakwa atas pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita.


Sebelum ini tular di lama sosial, rakaman video yang memaparkan Nur Sajat menangis dalam keadaan bergari.


Nur Sajat ketika di Tanah Suci tampil berpakaian wanita dan bertelekung ketika mengerjakan ibadah umrah awal tahun 2020 lalu, tindakannya itu menimbulkan kemarahan ramai pihak serta tidak puas hati kerana perkara dilakukannya itu seakan mempersendakan agama.

Isnin, 4 Januari 2021

Rahmat di sebalik kena denda RM17,000 dapat kembali 10 kali ganda

Rahmat di sebalik kena denda RM17,000 dapat kembali 10 kali ganda


Pengacara, Azwan Ali, 54, menyifatkan 2020 adalah tahun yang paling mencabar apabila didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah memuat naik video menghina petugas Hospital Putrajaya dalam mengendalikan pandemik COVID-19 pada Mac, tahun tersebut.


"2020 adalah tahun yang penuh bala dan teruk pada saya. Saya masih ingat dan takkan lupa, Jumaat, jam 12.55 tengahari pada 27 Mac, tahun lalu. Saya diperintahkan Mahkamah Seksyen membayar denda sebanyak RM17,000 dalam masa tiga jam.


"Sekiranya saya gagal menjelaskan denda, saya boleh dipenjarakan. Itu adalah dugaan yang paling besar bagi Azwan Ali dalam 2020," katanya.


Azwan berkata, ia adalah ujian terbesarnya dan banyak yang dipelajari daripada peristiwa berkenaan. Walau bagaimanapun di sebalik episod hitam itu ada hikmah yang tersembunyi.


"Antara hikmah besarnya, saya tidak lagi menerima kecaman yang sering membanjiri laman sosial, hingga hari ini.


"Banyak hikmah diperoleh daripada kejadian berkenaan. Antaranya, masyarakat membuka mata dan mula sedar betapa 'kaya' Azwan Ali apabila berjaya membayar RM17,000 tanpa gagal.


"Dan satu lagi hikmah paling besar adalah saya dapat kembali 10 kali ganda daripada bayaran denda yang dikenakan. Bayangkanlah sendiri berapa jumlahnya. Allah maha kaya, ambil sesuatu dan pulangkan berganda.


"Jadi, macam mana pun saya tetap bersyukur melalui kejadian berkenaan. Lebih manis, 2020 juga saya menerima banyak tawaran pengacaraan dan lakonan. Antaranya, membintangi drama Diva Popular bersama Erma Fatima," katanya.


Katanya, dia amat terharu apabila kali pertama diberi peluang berlakon bersama pengarah dan pelakon yang popular menerusi watak Mak Cun itu.


"Ini adalah kali pertama saya diberi peluang berlakon dengan Erma. Saya tak pernah bekerja dengan Erma sepanjang tiga dekad berada dalam industri seni. Insya-Allah, saya akan memberikan lakonan yang terbaik menerusi drama Diva Popular arahan Rashid Sibir itu.


"Alhamdulillah, tamat sahaja program realiti, Lagu Cinta Kita musim kedua (LCK2), tawaran lakonan pula masuk. Jujurnya, hujung 2020 ini saya menerima banyak tawaran dan ia membuktikan LCK2 bukanlah penamat.


"Antaranya, saya menerima tawaran berlakon bersama Ziana Zain menerusi drama Madam E-Wallet, kemudian bersama Datin Seri Umie Aida dan Rita Rudaini menerusi drama Shah Alam 40000.


"Saya mengharapkan 2021 akan lebih menyerlah selepas sekian lama menyepi. Saya berharap akan terus diterima. Doakan yang terbaik untuk saya, apatah lagi, usia menginjak 55 tahun, tahun ini. Ia juga bermakna genap 33 tahun saya berada dalam industri hiburan," katanya.

Ahad, 27 Disember 2020

Terhumban ke dalam parit gara-gara elak lubang, KJ kemalangan ketika berbasikal

Terhumban ke dalam parit gara-gara elak lubang, KJ kemalangan ketika berbasikal


Akibat gagal mengelak jalan berlubang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau juga mesra disapa dengan panggilan KJ mengalami kemalangan.


Berita itu kini diketahui umum setelah beliau memuat naik beberapa keping gambar di Twitter miliknya keadaannya yang bercalar di bahagian muka disebabkan terjatuh ketika menunggang basikal.


Beliau turut memuat naik gambar lubang dan parit terbabit di ruangan yang sama tetapi tidak dinyatakan di mana lokasi kejadian berlaku. Seperti yang diketahui ramai, KJ memang tidak asing lagi dengan aktiviti berbasikal dan gemar besukan.


Jika ada masa terluang beliau sering menunggang basikal dan menjadikan media sosial sebagai platformnya berkongsikan aktiviti yang dibuat.


Khairy turut berkongsi berita itu di IG Story dengan meletak kapsyen ringkas, menyatakan kecederaan dialami disebabkan terlanggar lubang ketika menunggang basikal hingga menyebabkannya terjatuh ke dalam parit.


Sementara itu, Setiausaha Akhbar Khairy, Raja Syahrir Bakar‏ melalui Twitternya memaklumkan, KJ hanya mengalami kecederaan ringan yang tidak serius dan telah menerima rawatan di hospital berdekatan.


"Terima kasih kepada rakan-rakan yang bertanya. Alhamdulillah Khairy Jamaluddin hanya alami kecederaan kecil dan tiada yang serius," katanya.


Menjengah ke ruang komen, ramai pengikutnya mendoakan agar KJ cepat sembuh dan terdapat juga beberapa pengguna di Twitter menggesa KJ untuk membawa isu jalan berlubang yang berbahaya kepada pengguna itu kepada pihak berwajib.

Sabtu, 19 Disember 2020

Shuib tiada niat nak melucah, hanya buat lawak

Shuib tiada niat nak melucah, hanya buat lawak


Pelawak dan penyampai radio Hot FM, Shuib Sepahtu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas aksinya memarut kelapa pada program Sepahtu Live Reunion didakwa berunsur lucah, babak dalam satu rancangan komedi di saluran Astro. 


Shuib tampil membuat permohon maaf menerusi video yang dimuat naik di Instagramnya, mengakui kesilapan tersebut dan menjelaskan bahawa dia tidak bermaksud apa-apa dan hanya membuat lawak sahaja. Dia tidak sangka lawak tersebut dikecam netizen kerana ada unsur yang dipercayai kurang disenangi.


"Minggu lepas di Sepahtu Reunion pada hari Khamis, ada satu babak tu saya buat memarut kelapa.


"Jadi babak tu dah jadi kontroversi pula. Jadi di sini saya dengan rendah dirilah nak memohon maaf kepada mereka yang terasa hati, kepada mereka yang rasa babak tersebut tidak patut dilakukan.


"Saya nak beritahu, ikhlas daripada hati saya, ketika melakukan babak itu, saya tidak ada maksudkan apa-apa. Tak ada nak pergi ke lucah ke, tak ada.


"Saya hanya nak buatkan orang ketawa sahaja. Tiada niat apa-apa. Tapi itulah, kalau kata ada yang terasa hati, saya minta maaf banyak-banyak," katanya.


Shuib yang juga suami kepada penyanyi, Siti Sarah berjanji untuk tidak mengulangi perkara sama. Dia juga turut meminta orang ramai agar terus menyokong program lawak berkenaan.

Isnin, 30 November 2020

Sanding serentak, lelaki senyum lebar kahwin dua, isterinya sama cantik

Sanding serentak, lelaki senyum lebar kahwin dua, isterinya sama cantik


Hidup berpasangan adalah fitrah semulajadi alam dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, begitulah juga halnya dengan manusia. Pernikahan merupakan momen yang dinantikan bagi pasangan bercinta.


Mereka pastinya mengimpikan mahligai indah untuk dibina bersama selepas menjalani ikatan yang sah sebagai pasangan suami isteri, mengharungi segala suka dan duka erti kehidupan.


Namun, yang telah beristeri juga ada yang berkahwin lain dan hidup berpoligami yang mana berpoligami juga sah di sisi syarak. Kisah lelaki berkahwin lagi untuk menambah isteri atau berpoligami sudah biasa didengar tetapi lelaki mengahwini dua gadis serentak untuk hidup berpoligami dalam satu majlis itu agak jarang dijumpai.


Namun, ia tidak mustahil apabila baru-baru ini beberapa keping foto yang memaparkan seorang lelaki bersanding dengan dua orang isterinya serentak tular di media sosial.




Kejadian yang dipercayai berlaku di negara jiran, daerah Madura, Indonesia itu kini menjadi bahan bualan ramai penduduk setempat dan juga warganet.


Melalui beberapa foto tular itu kelihatan dua wanita nampak tersenyum bahagia ketika majlis persandingan mereka bersama suami yang perlu dikongsi untuk hidup bersama.


Ketiga mereka juga dilihat sangat mesra walaupun pernikahan mereka dikatakan cukup pelik malahan ada juga yang berkata tidak wajar.


Namun, itu hanya pendapat dan pandangan orang ramai. Pernikahan itu tetap diteruskan dan kedua pengantin perempuan itu juga kelihatan sama cantik dengan lengkap memakai gaun pengantin berwarna putih.


Sementara si suami pula tampil tampan dengan senyuman lebar apabila diapit kedua isterinya dan mereka dilihat cukup gembira dan bahagia.

Selasa, 24 November 2020

Puteri Aishah cedera terpotong jari kelingking

Puteri Aishah cedera terpotong jari kelingking


Kuala Lumpur: Siapa tidak kenal Puteri Aishah, pelakon filem 'Pulang' seorang yang berbakat besar sering jadi buruan peminat dan wartawan. Petang semalam, dia dikabarkan mengalami kecederaan pada bahagian jari kelingking tangan kiri akibat kemalangan, dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta.


Mengesahkan kejadian itu, pengurus Puteri Aishah, Iman Tang memaklumkan jari kelingking artis jagaannya itu terkoyak selepas terkena hirisan pisau pada kejadian yang berlaku.


"Ketika kejadian, Puteri mahu memotong buah. Mungkin disebabkan buah terlalu keras dan pisau pula licin, lantas menghiris jari kelingking sebelah kiri hingga terkoyak dan mengalirkan banyak darah.


"Dengan dibantu seorang teman, Puteri kemudiannya di bawa ke sebuah hospital swasta di Ampang untuk mendapatkan rawatan. Mengikut laporan doktor, kecederaan di jarinya agak serius. Untuk mengelakkan kesan jangka panjang, Puteri perlu menjalani pembedahan segera," katanya.


Iman berkata, Puteri kini berada dalam keadaan stabil dan meminta peminat mendoakan kesejahteraannya agar segera sembuh.


"Saya masih belum berkesempatan bertemu dengannya kerana ada urusan ketika kejadian berlaku. Lagipun, waktu melawat sudah tamat. Keadaannya stabil mungkin disebabkan doktor memberi ubat tahan sakit ketika di bilik kecemasan.


"Insya-Allah, esok saya akan melawat Puteri Aishah dan akan maklumkan perkembangan terkini. Mujur, dia baru selesai menjalani penggambaran. Kalau tidak, susah juga. Kepada peminat Puteri, sama-samalah mendoakan supaya dia segera sembuh," katanya.

Isnin, 16 November 2020

Ebit Lew bantu beri makanan 700kg untuk haiwan di Zoo Negara

Ebit Lew bantu beri makanan 700kg untuk haiwan di Zoo Negara


Gombak: Pendakwah bebas, Ebit Lew menghulurkan sumbangan makanan kepada haiwan di Zoo Negara, di sini, kelmarin, selepas dimaklumkan masalah kekurangan dana yang dihadapi pihak zoo terjejas akibat pandemik Covid-19.


Rakyat Malaysia sedia maklum dengan sifat pendakwah terkenal, Ebit Lew yang gemar melakukan kerja amal. Dari masalah pelajar universiti memerlukan kenderaan untuk pulang sehinggalah masalah air, Ebit cuba sedaya upaya untuk membantu sehingga masalah itu selesai.


Terbaharu, Ebit berkongsi kepada umum di laman Instagramnya bahawa beliau mendapat permintaan dari Zoo Negara untuk menyelamatkan haiwan di sana. Menurut Ebit, selepas mendapat panggilan tersebut beliau terus bergegas ke sana pada sebelah petangnya untuk menyalurkan bantuan.


Bukan sahaja pantas menghulurkan bantuan pada orang yang memerlukan, pendakwah bebas ustaz Ebit Lew turut turun padang bagi membantu haiwan-haiwan yang berada di Zoo Negara. 


"Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari Zoo Negara untuk selamatkan haiwan di sana.


"Saya dapat tahu tengah hari tadi, petang ni terus bawa 200kg daging lembu dan 500kg buah-buahan dan sayuran," katanya. 


Pada masa sama, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berkata, RM1 juta sebulan diperlukan untuk menampung perbelanjaan termasuk makanan haiwan dan penyelenggaraan zoo.


Namun, Zoo Negara tidak dapat menjana pendapatan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekali gus, mengurangkan kehadiran pengunjung.


Tambahnya lagi, Zoo Negara turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin membantu sama ada dari segi wang atau pun makanan.


"Zoo Negara mengalu-alukan sesiapa ingin membantu dari segi duit atau makanan. Rupanya Zoo Negara dikendalikan oleh NGO (Badan bukan kerajaan) sahaja, jadi sesiapa ingin membantu boleh terus hubungi Zoo Negara," katanya.

Selasa, 10 November 2020

Jaga adab.. Fizo tegur peminat ajak bergambar ketika makan

Jaga adab.. Fizo tegur peminat ajak bergambar ketika makan


Kuala Lumpur: Pelakon popular Fizo Omar menasihatkan sesetengah peminat agar memahami situasi seorang artis pujaan mereka sekiranya bertemu di tempat awam, apatah lagi ketika selebriti berkenaan sedang menikmati makanan. 


Menerusi Instagramnya, Fizo atau nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar meluahkan perasaan, ketika sedang makan dia didatangi peminat yang 'mengarahkannya' ke meja mereka untuk bergambar.


Pelakon Fizo Omar, 35, mengakui tidak menyangka perkongsiannya berkaitan kerenah peminat yang mahu bergambar menimbulkan isu hangat.


"Niat saya bukan nak aibkan sesiapa, tapi lebih bermaksud mengingatkan mengenai adab sebagai orang Melayu, ia bukan kali pertama berlaku. 


"Saya tak salahkan peminat, bahkan saya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka, apabila ada orang nak bergambar, itu tandanya mereka minat saya. Sebagai artis, ia satu penghargaan," katanya bila dihubungi media berkaitan isu tersebut.


Fizo berkata, dia tidak pernah berasakan bergambar dengan peminat, satu perkara yang membebankannya.


"Saya suka melayan mereka (peminat) kerana itu tandanya kemunculan saya masih relevan dalam industri. 


"Cuma, perkara ini kenalah bergantung kepada situasi. Sebagai artis yang sentiasa sibuk, itulah satu-satunya masa yang ada untuk makan.


"Saya tengah suap makanan, tiba-tiba peminat datang dan suruh pergi ke meja mereka untuk bergambar. Pada saya, cara ini agak kurang beradap," katanya.


Menurutnya, dia boleh menerima jika peminat berkenaan meminta dia ke meja mereka untuk bergambar selepas selesai makan.


"Saya bukan sombong, tapi biarlah habis makan dulu. Sesiapa saja, termasuk orang biasa pun marah kalau diganggu ketika sedang makan.


"Apapun, saya tetap penuhi permintaan mereka. Saya pun tak beri teguran kepada mereka secara berdepan kerana tak nak kecilkan hati. 


"Saya tahu saya artis yang naik atas sokongan peminat, tapi janganlah keterlaluan sangat. Saya kata sedang makan, tapi di paksa juga," katanya yang memahami peminat terbabit mungkin teruja hingga sanggup bertindak demikian.

Jumaat, 6 November 2020

Tak masalah nak jumpa Abah tapi nak bermalam kemungkinan tidak - Cik B

Tak masalah nak jumpa Abah tapi nak bermalam kemungkinan tidak - Cik B

 

Datuk Seri Vida (DSV) memohon dirinya diberi ruang untuk mengulas lanjut berkaitan bekas suami menuntut hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) terhadap anak-anak.


Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen, 15, berkata, dia cuma berharap bapanya yang dipanggil 'abah' itu benar-benar sudah berubah.


Katanya, dia tidak ada masalah untuk berjumpa abahnya namun bermalam macam yang dinyatakan dalam tuntutan Hadhanah itu, kemungkinan tidak.


Menurutnya, dia okey sahaja jika abahnya mahu berjumpa tetapi sangat berharap ayah kandungnya itu benar-benar sudah berubah dan kalau dia dah berubah, dia mahu tunjukan bukti kepadanya dahulu.


"Tak mahulah macam dulu, jumpa saya tapi lepas tu suruh minta duit kat mama," katanya kepada sebuah portal tempatan.


DSV sebelum ini turut akui dirinya masih terkejut dan keliru. Beliau turut mengatakan apa yang dilakukan semua demi keselamatan anak-anak. Beliau turut akan maklumkan lebih lanjut tentang perkara itu selepas mendapat sedikit ketenangan.


Mohd Amin dan DSV berkahwin pada tahun 2000 dan perkahwinan itu tersebut bertahan selama lapan tahun.


Sepanjang tempoh tersebut mereka dikurniakan empat orang anak iaitu, Nur Edlynn Zamileen, Muhammad Eric Zecquan, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikri.


Namun, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikri terkorban dalam kebakaran yang berlaku di kediaman DSV di Ipoh, Perak pada tahun 2013.


Baca: Bekas suami Datuk Seri Vida dakwa dihalang bertemu anak

Khamis, 5 November 2020

Perkahwinan Erra Fazira di pejabat JAWI, menteri agama ucap tahniah

Perkahwinan Erra Fazira di pejabat JAWI, menteri agama ucap tahniah

 

Erra Fazira mengaku tidak menang tangan melayan panggilan dan mesej di telefon selepas menteri agama memaklumkan seorang wanita yang sama nama dengannya berkahwin hari ini.


Media melaporkan sebilangan besar kaum keluarga, sahabat karib dan wartawan menghubunginya mengucapkan tahniah atas 'pernikahan' itu.


"Ya Allah saya sibuk melayan panggilan ramai. Penat sebenarnya nak menjawab bukan saya yang menikah tapi Erra Fazira lain. Lucu juga bila kenangkan semula," katanya ketika dihubungi.


Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek berdepan keadaan itu selepas menteri agama Zulkifli Mohamad mengucapkan tahniah kepada Erra Fazira dan suami susulan perkahwinan di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pagi tadi.


"Nama kebetulan sama, namun bukan individu yang disangka. Saya pun mula-mula terkejut. Ingatkan pelakon filem Sembilu," kata Zulkifli.


Walaupun tidak mengenali wanita sama nama itu, pelakon Erra Fazira bagaimanapun mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka.


"Seperti orang lain saya juga sangat gembira bila mendengar berita pernikahan seperti ini. Nasihat saya, jalani kehidupan rumah tangga dengan penuh kegembiraan serta saling menghasihi antara satu sama lain.


"Semoga Erra Fazira dan suaminya menjalani alam rumah tangga dengan rahmat Allah SWT," ujar pelakon itu, yang juga ibu kepada seorang cahaya mata.

Selasa, 3 November 2020

Bekas suami Datuk Seri Vida dakwa dihalang bertemu anak

Bekas suami Datuk Seri Vida dakwa dihalang bertemu anak


Kota Bharu: Bekas suami jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida membuat tuntutan hadhanah di Mahkamah Syariah Kota Bharu, di sini, hari ini (03/11/2020).


Mohd Amin yang juga seorang peniaga diwakili peguamnya, Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) bersama anak-anak.


Bagaimanapun, Datuk Seri Vida,49, tidak hadir dalam prosiding tersebut. Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.


Menurutnya, mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan hari ini sehingga mendengar dan prosiding dihadiri kedua-dua belah pihak. Mohd Amin berkahwin dengan Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida pada tahun 2000 dan bercerai pada 2008.


Mereka dikurniakan empat cahaya mata, namun anak pertama dan kedua mereka meninggal dunia dalam kejadian kebakaran rumah pada 3 Ogos 2013. Ketika ditemui media, Mohd Amin berkata dia terlalu merindui anaknya Nur Edlynn Zamilleen, 15, dan Eric Zaquan, 13, sekaligus berharap hubungan antara mereka kembali terjalin dengan lebih baik.


Mohd Amin mendakwa, kali terakhir dia bertemu dua anaknya itu pada Mei 2018 di ibu pejabat Vida Beauty Sdn Bhd di Ipoh, Perak dan perjumpaan itu hanya 15 minit sahaja.


"Saya ada cuba menghubungi Cik B (Nur Edlynn) dan Kacak (Eric Zaquan) melalui panggilan telefon, tetapi orang lain yang jawab dengan pelbagai alasan dan sehingga membuatkan saya kecewa dan terasa hati.


"Saya merasakan anak-anak seperti dikawal supaya tidak berhubung dengan saya," katanya dengan nada sebak ketika ditemui media, hari ini.


Mohd Amin yang kini bekerja sebagai peniaga gerai makan di Kampung Pasir Senor, Machang sudah berkahwin dengan Wan Rahimah Wan Abd Rahman, 53, dua tahun lalu.