Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harta. Papar semua catatan

Khamis, 23 Disember 2021

Sah Bukan Muntah Ikan Paus, Cuma Bahan Organik Yang Membentuk Ketulan

Sah Bukan Muntah Ikan Paus, Cuma Bahan Organik Yang Membentuk Ketulan


KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Terengganu mengesahkan ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus atau ambergris yang dijumpai seorang wanita ketika memancing di Kemaman, dekat sini disahkan tidak tulen.


Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pengesahan itu hasil uji kaji dijalankan pihak penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) setelah mengambil semple itu 15 Disember lalu.


Katanya, ketulan yang didakwa ambergris itu tidak mengandungi tiga bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone, bahkan fizikalnya turut berbeza dengan struktur muntah ikan paus tulen yang seperti batu kapur.


"Kandungan terbanyak dalam ketulan itu ialah Pyrazole dengan sejumlah 94.56 peratus dan Pyrrole (3.34 peratus). Analisis mendapati ketulan itu terhasil daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak hingga membentuk ketulan sedikit berserat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Ruzaidi berkata, analisis termal turut dilakukan dan titik cair yang ditemukan adalah 76.04 darjah celcius berbanding muntah tulen, 82.32 darjah celcius. Malah, katanya, dakwaan kononnya ketulan itu beraroma adalah kerana kandungan 1H-Pyrazole (asid lemak) yang mengeluarkan bau apabila dibakar.


Menurutnya, berkaitan isu perdagangan antarabangsa bagi muntah ikan paus tertakluk kepada Akta 686, iaitu perdagangan antarabangsa mengenai spesies terancam dan memerlukan permit CITES daripada Jabatan Perikanan Malaysia.


"Muntah ikan paus termasuk hasil bahan terbitan ikan paus sperma (Physeter catodon/microcephaly). Tanpa permit CITES , boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-dua sekali," katanya.


Sebelum ini media melaporkan Aida Zurina Long, 41, mendakwa menemui muntah ikan paus seberat lebih lima kilogram ketika memancing bersama keluarganya di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Marang, pada November lalu.


Berkaitan: Jabatan Perikanan ambil sampel dipercayai muntah ikan paus.


Ketulan objek pada awalnya dipercayai muntah ikan paus yang ditemukan seorang peniaga di Kemaman, Terengganu, pada bulan November lalu.

Jumaat, 17 Disember 2021

Batu nilam terbesar dunia seberat 310 kilogram ditemui

Batu nilam terbesar dunia seberat 310 kilogram ditemui


Pihak berkuasa Sri Lanka pada Ahad lalu melaporkan penemuan batu nilam biru semula jadi antara terbesar di dunia seberat 310 kilogram. Ia ditemui dari dalam sebuah lubang batu pertama kira-kira tiga bulan lalu, lapor stesen penyiaran CNN pada 13 Disember 2021.


Pakar-pakar permata tempatan yang memeriksa batu nilam itu berkata, permata nilam dengan berat melebihi 300 kilogram sangat jarang ditemui di dunia. Pun begitu, beberapa organisasi antarabangsa dikatakan masih belum mengesahkan keaslian batu permata itu.


Batu nilam itu dipamerkan di rumah salah seorang pemilik lubang batu permata di Horana, iaitu 65 kilometer ke selatan Colombo. Sekumpulan sami Buddha dikatakan melaungkan kalimah berkat pada batu permata itu sebelum ia didedahkan kepada orang ramai.


Ratnapura dikenali sebagai ibu kota permata negara rantau Asia Selatan tersebut. Sri Lanka juga merupakan pengeksport utama baru nilam dan permata berharga lain.


Negara itu memperoleh pendapatan kira-kira AS$500 juta (RM2.1 bilion) melalui eksport batu permata, berlian dan barang kemas lain pada tahun lepas, demikian menurut badan industri permata dan barang kemas tempatan.


Pada tahun lalu, penduduk tempatan menemui gugusan batu nilam terbesar dunia di sebuah laman secara tidak sengaja di kawasan Ratnapura. Ia memiliki berat sekitar 510 kilogram atau 2.5 juta karat dan dinamakan Serendipity Sapphire.


Pakar kemudian memberitahu batu berwarna biru pucat itu, nilainya dianggarkan boleh mencecah hingga AS$100 juta (kira-kira RM422.4 juta) di pasaran antarabangsa.


Baca juga: Batu Nilam Terbesar Dunia Bernilai RM422 Juta Ditemui Ketika Mengali Perigi.


Batu nilam itu dipamerkan di Horana, Colombo. - Foto Ishara S. Kodikara/AFP.

Rabu, 15 Disember 2021

Jabatan Perikanan ambil sampel dipercayai muntah ikan paus

Jabatan Perikanan ambil sampel dipercayai muntah ikan paus


KEMAMAN - Objek dipercayai muntah ikan paus yang ditemukan seorang wanita ketika memancing berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, perlu dibuat kajian bagi mengesahkan ketulenannya.


Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kajian itu penting bagi memastikan objek seberat sekitar lima kilogram itu adalah asli atau gumpalan sisa-sisa lain yang dibawa ombak.


Susulan itu, pegawai jabatan itu telah mengambil sampel ketulan batu itu yang berkunjung di kedai makan Aida Zurina Long, 41, di Kemasik di sini hari ini. Ia akan dihantar untuk dianalisa bagi memastikan ketulenannya sama ada benar-benar muntah ikan paus atau sebaliknya.


"Kita risau jika ia sebenarnya sisa gumpalan bahan lain yang dikhuatiri berbahaya dan mengancam nyawa. Pihak kami hanya mengetahui penemuan objek didakwa muntah ikan paus itu setelah disiarkan media semalam," kata Ruzaidi ketika dihubungi di sini hari ini.


Ujar beliau, penemuan itu sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan negeri memandangkan ikan paus merupakan antara spesies terancam yang dilindungi.


Semalam, media tempatan melaporkan Aida Zurina menemui objek menyerupai ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus sewaktu memancing bersama keluarganya di Marang pada akhir bulan lalu. Sekiranya ketulenan objek itu disahkan, nilai pasarannya mencecah RM211,000 sekilogram.


Berkaitan: Bertuah, wanita temui objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarga.


Pegawai Perikanan Terengganu sedang menemubual Aida Zurina (dua dari kanan) berhubung penemuan objek dikatakan muntah ikan paus di kedai makan wanita itu di Kemasik, Kemaman hari ini.

Selasa, 14 Disember 2021

Bertuah, wanita temui objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarga

Bertuah, wanita temui objek dipercayai muntah ikan paus ketika memancing bersama keluarga


Seorang wanita menemui satu objek dipercayai muntah ikan paus seberat lebih 5 kilogram ketika sedang memancing bersama keluarganya berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Marang, baru-baru ini.


Aida Zurina Long, 41, berkata, objek yang pada awalnya disangka sampah itu ditemukan terapung kira-kira pukul 11 malam, pada akhir bulan lalu.


"Saya menemui ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus yang terapung kira-kira jam 11 malam itu ketika sedang memancing bersama keluarga pada akhir bulan lalu.


"Saya ingat sampah dan menarik objek itu menggunakan kayu ke tepi tebing. Keesokan harinya saya pergi semula ke kawasan itu dan mendapati benda itu masih ada sebelum mengambil keputusan untuk membawanya pulang ke rumah," katanya.


Aida Zurina berkata, sebaik menunjukkan objek itu kepada bapanya yang juga nelayan, dia terkejut apabila diberitahu ia adalah muntah ikan paus, dan mempunyai nilai yang tinggi.


"Apabila ayah cakap ini adalah muntah paus, memang saya tergamam dan terkejut. Saya segera membuat carian di internet mengenai ciri-ciri muntah ikan paus atau ambergris.


"Ayah cuba bakar objek itu dan memang benar ia cair seperti lilin, malah turut mengeluarkan bau yang sangat harum," katanya yang juga pengusaha sebuah kedai makan di Kemasik.


Tambahnya, dia bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak untuk melakukan ujian bagi menentukan kesahihan dan kualiti terhadap objek yang ditemuinya itu.


"Saya juga tidak tahu muntah ikan paus ini adalah 'bahan' yang dicari dalam perusahaan minyak wangi, dan difahamkan ia amat jarang ditemui di negara kita," katanya.


Muntah ikan paus atau nama saintifiknya ambergris ditemui kali terakhir oleh seorang nelayan berusia 20 tahun di Pantai Niyom Surat Thani, Thailand, Februari lalu. Difahamkan ambergris tersebut dijual dengan harga 210,000 Pound (RM1.16 juta).


Aida Zurina Long menunjukkan ketulan yang dipercayai muntah ikan paus ketika ditemui pemberita di Kemasik, Kemaman, Terengganu, hari ini. - Foto Utusan Malaysia.
Pendaki gunung jumpa 'harta karun' bernilai RM716,800 diserah ke balai polis tempatan

Pendaki gunung jumpa 'harta karun' bernilai RM716,800 diserah ke balai polis tempatan


Sekumpulan pendaki menemui 'harta karun' berbentuk zamrud, delima dan nilam di glasier Mont Blanc, Perancis, milik pesawat India yang terhempas secara misteri pada tahun 1966, dan hanya ditemui secara kebetulan beberapa dekad kemudian, lapor akhbar Daily Star 10 Disember 2021.


Satu bungkusan akhbar India bertarikh tahun 1966 ditemui pada 2008 dalam keadaan boleh dibaca, dan empat tahun kemudian satu karung mengandungi kertas diplomatik sulit ditemui dan diserahkan kepada polis Perancis.


Pada tahun berikutnya, 2013, sekumpulan pendaki gunung tersebut terjumpa batu permata tersembunyi dalam kotak logam, di atas pesawat India yang terhempas di pergunungan terpencil itu kira-kira 50 tahun lalu.


Mereka menyerahkan kotak berkenaan ke balai polis tempatan. Pihak polis telah cuba mengesan pemilik asal tetapi carian tidak membuahkan hasil. Kumpulan pendaki itu dipuji kerana berintegriti apabila menyerahkannya kepada polis, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.


Selepas beberapa tahun pemiliknya masih tidak dapat dikesan, mahkamah akhirnya memutuskan permata berharga itu dibahagikan sama rata antara kerajaan tempatan Chamonix dan pendaki yang menemuinya.


"Penemuan batu-batu itu dikongsi sama rata minggu ini yang dianggarkan bernilai kira-kira 150,000 euro (RM716,800) atau 75,000 euro setiap satu," kata Datuk Bandar Chamonix Eric Fournier.


Menurut Eric, pihaknya merancangan meletakkan batu-batu tersebut di Muzium Kristal Chamonix untuk dipamerkan. Muzium itu sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan dijangka dibuka semula pada 19 Disember ini.


Pada September 2012, India mengutus surat diplomatik sebagai pemilik pesawat Boeing 707 yang terbang dari Mumbai dan terhempas di barat daya Mont Blanc pada 24 Januari 1966. Nahas itu mengorbankan 117 orang termasuk perintis program nuklear India, Homi Jehangir Bhabha.


Selama bertahun-tahun, pendaki secara rutin menemui serpihan, bagasi dan mayat. Pihak berkuasa percaya batu berharga itu berkemungkinan berasal dari penerbangan itu yang dalam perjalanan dari Mumbai ke New York.


Batu permata berharga itu dibahagikan sama rata antara pendaki dan kerajaan tempatan. - Foto Mairie de Chamonix-Mont-Blanc.

Sabtu, 20 November 2021

Ketulan Emas Terbesar Ditemui Di Alaska Dilelong RM4.17 Juta

Ketulan Emas Terbesar Ditemui Di Alaska Dilelong RM4.17 Juta


Selepas 23 tahun ditemui, sebutir ketulan emas terbesar ditemui di Hemisfera Barat, mahu dijual kepada para pembeli dalam satu lelongan di Dallas, Amerika Syarikat, pada bulan depan pada harga AS$1 juta (RM4.17 juta).


Menerusi laporan Metro.co.uk pada 15 November 2021, ketulan yang beratnya lebih sembilan kilogram (kg) itu ditemukan oleh pelombong emas Barry Clay di Swift Creek di Alaska pada 1998.


Dia menemui logam berharga itu, ketika menolak tanah dengan menggunakan jentolaknya di sepanjang lombong Swift Creek.


Lebih 90 peratus dalam ketulan batu yang ditemui itu adalah emas serta mempunyai saiz sebesar kepala kanak-kanak. Beratnya ringan sedikit berbanding ketulan emas 'Boot of Cortez' yang ditemui di Mexico yang hampir 10kg.


Clay dilaporkan telah menanam ketulan emas itu dekat sebatang pokok dan kemudian memikirkan apa yang perlu dilakukan terhadap penemuan batu berharga itu.


Akhirnya, dia menjual ketulan emas itu kepada seorang pemilik tetapi kini mahu dilelong menerusi Firma Heritage Auction. Penjual itu memperoleh ketulan emas tersebut daripada Clay lebih 20 tahun lalu.


Jurucakap lelongan berkata, ketulan emas itu adalah terbesar yang pernah ditemukan di Alaska. Ia mencipta sejarah dan dijual kepada pengumpul persendirian di mana ia kekal dalam koleksinya sehingga sekarang.


Tetapi ketulan emas yang terkenal itu hanyalah sebahagian daripada barisan besar kristal berharga dan artifak di lelongan berkenaan. Lelongan itu difahamkan akan berlangsung pada 8 Disember ini.


Ketulan emas terbesar di Alaska akan dilelong di Dallas pada bulan depan. - Foto Heritage Auctions.

Sabtu, 30 Oktober 2021

Wanita Nyaris Buang Berlian 'Terbesar' Disangka Batu Biasa Rupa-Rupanya Bernilai RM11 Juta

Wanita Nyaris Buang Berlian 'Terbesar' Disangka Batu Biasa Rupa-Rupanya Bernilai RM11 Juta


Seorang pesara wanita terkejut selepas mendapati barang kemas yang cuba dibuangnya, ketika membersihkan rumah di Northumberland sebenarnya berlian bernilai 2 juta pound (RM11 juta).


Menerusi laporan BBC News pada 28 Oktober 2021, batu berlian itu dibeli pada jualan but kereta bertahun-tahun lalu oleh wanita berusia lingkungan 70-an itu yang menganggapnya sebagai tidak bernilai.


Tetapi dia diberitahu jiran bahawa berlian itu adalah luar biasa nilainya, kerana saiz batu itu yang agak besar, lebih besar daripada syiling pound.


Jurulelong, Mark Lane, dari Featonby’s Auctioneers di North Shields, memberitahu BBC bahawa wanita itu datang ke kedainya. Katanya, wanita itu mengatakan berlian tersebut berada di dalam kotak bersama barang kemas yang rendah nilainya.


"Ia telah berada di dalam kotak bersama beberapa barang kemas pakaian bernilai rendah. Ia terletak di atas meja saya selama dua atau tiga hari sehingga saya menggunakan mesin penguji berlian.



"Kami kemudian menghantarnya kepada rakan kongsi di London sebelum ia disahkan oleh pakar di Antwerp, Belgium, yang mengesahkan ia adalah 34 karat." jelas Lane.


Lane berkata, pemilik batu itu memberitahu bahawa dia tidak dapat mengingati di mana atau bila dia memperolehnya. Dia selalu melawat jualan but kereta dan membeli barang-barang lama, tetapi tidak pernah sekalipun dia menyangka ia adalah berlian sebenar.


"Saya telah menjalankan perniagaan ini selama lima tahun selepas membelinya daripada pemilik terdahulu, berlian ini merupakan barangan bernilai terbesar yang pernah saya ditangani setakat ini.


"Berlian itu disimpan di tempat selamat dan di kunci bersama barang kemas Hatton Garden di London sehingga ia dilelong pada 30 November ini," kata Mark Lane yang masih terkejut dengan penemuan itu.


Jurulelong Mark Lane berkata dia terkejut dengan penemuan itu. - Foto BBC News.

Berlian 34 karat yang hampir dibuang oleh seorang wanita. - Foto BBC News.