Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Jumaat, 26 November 2021

Piranha Serang Dan Cederakan Berpuluh-Puluh Pengunjung Ketika Mandi Sungai

Piranha Serang Dan Cederakan Berpuluh-Puluh Pengunjung Ketika Mandi Sungai


Kawanan piranha menyerang dan mengigit berpuluh-puluh pengunjung yang sedang leka mandi-manda di sebatang sungai di Argentina, menyebabkan ramai antara mereka mengalami kecederaan, lapor akhbar The Sun pada 24 November 2021.


Dalam kejadian tersebut, seorang remaja berusia 13 tahun dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas jari kakinya dikunyah oleh ikan tersebut, manakala seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun hilang sebahagian daripada jarinya.


Kira-kira 30 pengunjung lain dilaporkan turut tercedera dalam serangan serentak dan secara tiba-tiba itu di Sungai Parana di Santa Fe, Argentina. Kebanyakan mangsa mengalami luka pada buku lali, jari dan tangan.


Sementara itu, wakil sebuah kesatuan bagi anggota penyelamat di kawasan tersebut, Sergio Berardi berkata, serangan itu disebabkan oleh suhu yang tinggi dan kadar air yang rendah.



"Kami sering menekankan mengenai kepentingan untuk mematuhi arahan penyelamat terutamanya dalam kalangan keluarga dengan kanak-kanak. Kini, kita telah melihat kemusnahan yang telah diakibatkan oleh piranha.


"Apabila anggota penyelamat melihat seorang atau dua pengunjung digigit piranha, mereka akan mengarahkan pengunjung lain untuk keluar dari air. Namun, tindakan itu tidak mencukupi kerana ramai pengunjung berada di situ pada waktu tersebut," katanya.


Tambahnya, anggota penyelamat bertugas ketika kejadian turut bergegas membantu pengunjung yang cedera, dan pada masa sama terdapat yang lain turut diserang.


"Ikan piranha sering berenang di bahagian beting sungai, jadi terdapat banyak serangan dilakukan serentak," katanya.


Pada tahun 2013 lalu, lebih 60 orang cedera dalam serangan piranha besar-besaran di sungai yang sama. Ketika itu, pengunjung yang cuba menyejukkan badan dalam sungai berlari keluar dari air dalam keadaan berdarah akibat kecederaan.


Ada yang menjerit meminta pertolongan, manakala ibu bapa kepada kanak-kanak yang berada di dalam air bergegas membantu mereka untuk mengheret ke tempat yang selamat.


Seorang remaja 13 tahun dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas jari kakinya dilapah oleh piranha. - Foto CEN.

Ahad, 21 November 2021

Lelaki Beli Seekor Burung Merpati 'Istimewa' Pada Harga RM586,000

Lelaki Beli Seekor Burung Merpati 'Istimewa' Pada Harga RM586,000


Sebelum ini, tular di media sosial seekor burung merpati dijual pada harga 1.5 bilion rupiah (RM439,771). Burung merpati dengan nama Jaguar itu menjadi burung termahal yang pernah dijual di kalangan penggemar merpati.


Tidak lama selepas itu, terdapat seekor lagi burung merpati yang dijual pada harga yang lebih tinggi. Burung merpati bernama Rampok itu dijual dengan harga 2 bilion rupiah (RM586,361).


Menerusi laporan laman berita Suara.com pada 20 November 2021, Yunius Martin, 41, dari wilayah Jawa Tengah, membeli burung merpati istimewa yang bernama Rampok itu daripada seorang lelaki dari Jawa Barat.


Menurut Yunius, pada awalnya, burung yang mempunyai bulu berwarna putih dan coklat itu mahu dibeli pada harga 1.7 bilion rupiah (RM498,407), namun pemiliknya hanya bersetuju untuk menjual burung itu pada harga 2 bilion rupiah (RM586,361).



Tambahnya, transaksi pembelian Rampok berlaku kira-kira dua minggu selepas berita mengenai penjualan seekor burung merpati bernama Jaguar menjadi tular di media sosial.


Rampok dijual pada harga yang sangat mahal kerana ia sering menjadi juara dalam acara pertandingan burung merpati di beberapa kota antaranya Jakarta, Pekalongan dan Semarang yang menawarkan hadiah sebuah kereta.


Malah, dalam pertandingan yang diadakan di Semarang bulan lalu, merpati berusia 2 tahun setengah itu berjaya menewaskan Jaguar. Sebagai burung merpati istimewa, Rampok kini dipelihara di dalam sangkar khas yang terletak di sangkar merpati Yunius di Desa Mejasem Timur.


"Rampok berada di sini selama dua minggu. Dia sedang dipersiapkan untuk acara pertandingan di Kabupaten Tegal pada Mac 2022," kata Yunius yang mempunyai pasukan bernama Baron.


Yunius Martin menunjukkan burung merpati (kanan) yang dibeli pada harga 2 miliar rupiah (RM586 juta).

Jumaat, 19 November 2021

Pencuri Licik Curi Sembilan Lembu Sudah Ditambat, Petani Kerugian RM30,000

Pencuri Licik Curi Sembilan Lembu Sudah Ditambat, Petani Kerugian RM30,000


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembu miliknya disyaki dicuri dalam kejadian di Kampung Tendong, Pasir Mas, lapor laman berita Harian Metro, hari ini.


Kejadian itu disedari penduduk kampung yang melihat sebuah lori dan sebuah pikap Toyota Hilux yang mencurigakan keluar dari lokasi berkenaan pada jam 3.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ketika mangsa berusia 62 tahun itu mahu melihat haiwan ternakannya, dia mendapati lembu ditambat telah hilang.


Beliau berkata, padang itu terletak kira-kira 300 meter dari rumah mangsa dan lelaki itu memaklumkan dia menambat lembu pada 7 malam tadi.


"Mangsa mendapati semua tali digunakan untuk menambat lembu dipotong orang yang tidak dikenali. Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis hari ini kerana mengesyaki sembilan lembu termasuk tujuh lembu betina miliknya bernilai RM30,000 dicuri.


"Hasil siasatan awal, mangsa memberitahu orang kampung sekitar itu melihat sebuah lori dan sebuah Toyota Hilux keluar dari kawasan jalan berkenaan pada 3.30 pagi, namun nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, tiada pagar keselamatan dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di tempat kejadian. Polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Seorang petani kerugian RM30,000 selepas sembilan lembunya disyaki dicuri di Kampung Tendong, awal pagi hari ini. - Foto hiasan.

Rabu, 17 November 2021

Kerbau Enggan Hasilkan Susu, Lelaki Bawa Ke Balai Polis Meminta Bantuan

Kerbau Enggan Hasilkan Susu, Lelaki Bawa Ke Balai Polis Meminta Bantuan


Seorang lelaki di Madhya Pradesh, India, membawa kerbau peliharaannya ke sebuah balai polis kerana haiwan itu enggan menghasilkan susu, lapor laman berita Free Press Journal pada 14 November 2021 lalu.


Babulal Jatav, membawa haiwan ternakan itu ke balai polis Nayagaon yang terletak di daerah Bhind. Dia merayu bantuan dari pihak polis kerana kerbau tersebut tidak menghasilkan susu sejak dibelinya.


"Babulal mengadu kepada pegawai bertugas bahawa kerbau peliharaannya tidak menghasilkan susu. Justeru, dia meminta bantuan polis untuk menyelesaikan masalah tersebut," jelas laporan itu.


Media tempatan melaporkan, Babulal yang berasal dari kampung Nayagaon pada mulanya mengemukakan aduan bertulis mengenai masalah dialaminya di balai polis tersebut.


Babulal kemudian kembali semula ke balai polis tersebut dengan membawa kerbau peliharaan bersamanya, dan meminta bantuan untuk memerah susu haiwan itu.


Rakaman video mengenai insiden itu menjadi tular dalam laman media sosial. Kisah itu menarik perhatian rata-rata warganet yang terhibur dengan video berkenaan.


Sementara itu, Timbalan Penguasa Polis, Arvind Shah berkata, lelaki itu berasa kecewa dengan kerbau peliharaan yang baharu dibelinya.


"Memandangkan haiwan itu tidak menghasilkan susu, seorang penduduk dari kampung itu menasihatinya untuk meminta bantuan polis. Kami akan membantu lelaki itu dalam apa jua cara kerana dia datang dengan mengharapkan bantuan," katanya.


Babulal Jatav bersama kerbaunya tiba di balai polis. Foto Tushar_kn.
Kala Jengking 'Mengganas' Di Mesir, 3 Maut Dan Ratusan Individu Cedera Diserang

Kala Jengking 'Mengganas' Di Mesir, 3 Maut Dan Ratusan Individu Cedera Diserang


KAHERAH - Tiga orang terbunuh dan ratusan lagi cedera di bandar selatan Aswan, Mesir, apabila kala jengking yang memenuhi jalan dan rumah akibat dibawa ribut kencang menyengat mereka, lapor BBC News, kelmarin.


Menurut seorang pegawai kementerian kesihatan, kira-kira 450 individu cedera akibat disengat kala jengking dalam kejadian itu. Serangan itu terjadi susulan hujan batu dan ribut petir di kawasan berhampiran Sungai Nil agak teruk pada 12 November 2021 lalu.


Ia menyebabkan kala jengking dihanyutkan ke jalanan oleh hujan lebat. Susulan itu, pegawai kesihatan agensi berita Al-Ahram memaklumkan dos tambahan antivenom dibekalkan di pusat perubatan dekat kampung berhampiran pergunungan dan padang pasir.


Sementara itu, doktor tidak lagi dibenarkan memberi vaksin untuk merawat sengatan kala jengking, tambah pegawai itu. Orang ramai digesa tinggal di rumah dan mengelakkan tempat yang mempunyai banyak pokok.


Mesir adalah habitat kepada kala jengking ekor gemuk iaitu antara spesies paling berbahaya di dunia. Racun daripada ekornya boleh membunuh manusia dalam masa kurang daripada satu jam.


Gejala yang berkaitan dengan kesan racun itu adalah kesukaran bernafas, otot berkedut dan pergerakan kepala yang luar biasa.


Antivenom digunakan sebagai langkah pencegahan sebelum gejala timbul, tetapi hanya berfungsi apabila gejala mula bertambah buruk.

Sabtu, 13 November 2021

Burung Kakaktua Bongkar Hubungan Sulit Suami Dengan Pembantu Rumah

Burung Kakaktua Bongkar Hubungan Sulit Suami Dengan Pembantu Rumah

Ilustrasi burung kakaktua jambul kuning. - Foto kidadl.

Seorang lelaki di Kuwait nyaris dipenjara selepas burung peliharaannya mendedahkan hubungan sulitnya dengan pembantu rumahnya. Ia berlaku selepas burung kakaktua yang dipeliharanya mengulangi ungkapan cinta antara dia dan pembantu rumah di hadapan isterinya.


Menurut laporan New York Post pada 10 November 2021, kejadian itu berlaku pada tahun 2016 ketika burung pembongkar rahsia itu kerap berkicau kata-kata manis dan lincah yang tidak pernah diungkap suami kepadanya.


Rupa-rupanya si suami mengungkapkan kata-kata tersebut kepada pembantu rumah mereka dan burung itu mengajuk kata-kata yang diucapkan sekali gus menimbulkan rasa curiga isterinya, lapor laman berita Arab Times Online.


Si isteri sebelum itu memang mengesyaki suaminya ada hubungan dengan pembantu rumah mereka. Apabila burung itu mula mengulangi ungkapan cinta yang dia percaya perbualan suaminya dengan pembantu rumah terbabit, si isteri membuat laporan polis.


Menjalinkan hubungan secara haram antara lelaki dan wanita dianggap perbuatan jenayah di Kuwait dan pesalah boleh dihukum penjara atau kerja keras.


Bagaimanapun, lelaki itu bernasib baik kerana pihak berkuasa enggan menerima kakaktua itu sebagai saksi kerana tidak ada bukti untuk menunjukkan burung itu tidak meniru perbualan dalam rancangan radio atau televisyen.


Kes itu ditolak walaupun si isteri berkata, dia memang mengesyaki suaminya curang kerana setiap kali pulang kerja secara mengejut, suaminya kelihatan cemas.


Ini bukan kali pertama burung kakaktua mengadukan pemiliknya kerana menjalin hubungan sulit. Pada tahun 2006, seekor burung bernama Ziggy mendedahkan kepada pemiliknya, Chris Taylor bahawa teman wanitanya, Suzy Collins tidak setia.


'Saya sayang awak Gary' kata burung itu yang mengajuk kata-kata Suzy mengenai kekasih gelapnya, demikian menurut laporan BBC.

Selasa, 9 November 2021

'Ikan Jerung Paling Lasak' Ditemui Dengan Kesan Parut Diseluruh Badan

'Ikan Jerung Paling Lasak' Ditemui Dengan Kesan Parut Diseluruh Badan


Seekor ikan jerung putih diumumkan sebagai jerung 'paling lasak' di dunia kerana mempunyai banyak kesan parut akibat gigitan diseluruh badannya selepas bertahun-tahun melawan makhluk laut yang lain, lapor akhbar Daily Star pada 7 November 2021.


Ikan jerung putih tersebut dirakam berenang berhampiran dengan Pulau Neptune di Australia Selatan yang dikatakan tempat tinggal kepada kira-kira 1000 ekor jerung putih.


Ahli sinematografi bawah air, Dean Spraakman yang mengendalikan rakaman luar biasa itu semasa pengembaraannya pada Januari lalu berkata, jerung putih jantan berukuran 3.35 meter itu 'sangat peramah'.


Dia turut mendakwa bahawa pasukannya tidak dapat mengenal pasti apa yang menyebabkan parut yang teruk pada badan jerung tersebut, kerana tiada sesiapa pun pernah terserempak dengan jerung yang cedera sebegitu teruk sebelum ini.


"Mereka pada mulanya menyangka parut itu terjadi mungkin disebabkan oleh kipas bot atau berkemungkinan jerung itu terperangkap dalam kandang tuna di kawasan itu, tetapi mereka segera menolak kedua-dua teori itu.



"Kadang-kadang kami melihat jerung putih menjejaki pari untuk memburu dan memakannya dan menyangka mereka mengejarnya ke kawasan terumbu cetek yang agak tajam dan mungkin tersangkut dan menyebabkan kesan teruk seperti itu," kata Dean.


Tambahnya, kita hanya boleh membuat spekulasi tentang apa yang berlaku di sana dan sejujurnya tiada siapa yang tahu apa yang menyebabkan kesan parut seperti itu pada jerung tetapi haiwan tersakiti itu tentu mengalami kesukaran.


Dalam pada itu, pengembara National Geografik, Profesor Yannis Papastamatiou berkata, beberapa kesan itu mungkin terjadi disebabkan pergaduhan dengan jerung lain.


"Jerung betina sering mempunyai parut kerana mengawan, tetapi jerung jantan juga boleh digigit semasa interaksi dengan jerung yang lebih besar yang mahu mendominasi jerung yang lebih kecil," katanya kepada akhbar The Sun.


Menurut Daily Star, jerung putih ini merupakan ikan pemangsa paling besar di dunia. Mereka juga dikatakan tidak mengunyah dan hanya menelan makanan mereka walaupun mempunyai 300 gigi.


Kesan parut berkemungkinan terjadi hasil pergaduhan dengan haiwan laut lain. - Foto Daily Star.
hai