Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Ahad, 7 November 2021

Dua Jam Tangkap Ular Sawa Seberat 80kg Kerana Bertindak Agresif

Dua Jam Tangkap Ular Sawa Seberat 80kg Kerana Bertindak Agresif


IPOH - Seekor ular sawa batik seberat 80 kilogram ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sebuah padang golf di Meru Raya di sini pada Jumaat lalu.


Kehadiran reptilia sepanjang 5.4 meter itu disedari oleh orang awam yang melalui lokasi itu dan melihat seekor ular sedang berlingkar dalam semak di tepi padang golf.


Ketua Shift APM Daerah Kinta, Leftenan Muda (PA) Mohd Nazri Sulaiman berkata, reptilia itu berjaya ditangkap selepas menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 12 tengah hari.


Menurutnya, dia bersama empat anggota mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap ular berkenaan kerana reptilia itu bertindak agresif dipercayai kelaparan.


"Ketika kami sampai, ular itu melingkar dalam semak di tepi padang golf yang dibimbangi membahayakan pengunjung dan penduduk berhampiran.


"Reptilia itu mula bertindak agresif ketika ditangkap selain menyerang anggota dipercayai kerana lapar. Kami menggunakan alat khas untuk menangkapnya," katanya ketika dihubungi di sini.


Kata Mohd Nazri, reptilia berkenaan dibawa ke Pejabat APM Daerah Kinta dan akan dilepaskan ke habitat asal.


Ular sawa batik melingkar dalam semak di tepi padang golf di Meru Raya. - Foto APM Daerah Kinta.

Khamis, 4 November 2021

'Pelanggan sendiri mahu siakap itu, tidak mahu ikan lain' - Pemilik restoran

'Pelanggan sendiri mahu siakap itu, tidak mahu ikan lain' - Pemilik restoran


Pemilik restoran terapung yang tular kerana menjual hidangan siakap bernilai lebih RM1,000 di Taman Geoforest Karst Kilim di Langkawi, menyatakan pelanggan tersebut yang memilih ikan tersebut walaupun telah diberitahu saiz ikan adalah sangat besar.


"Saya sudah mencadangkan kepada pelanggan itu supaya ambil ikan lain seperti siakap merah atau kerapu dengan saiz antara satu hingga 1.5 kilogram (kg), ia lebih sesuai untuk dijadikan hidangan," kata pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa.


Menurutnya, dia sendiri yang mengambil pesanan pelanggan terbabit dan memintanya untuk melihat ikan yang dipesan sebelum dimasak tetapi mereka tidak mahu berbuat demikian.


"Saya sudah menerangkan kepada pelanggan bahawa ikan tersebut biasanya tidak dijual, tetapi dibela dalam sangkar untuk dijadikan tontonan pengunjung restoran.


"Harga bagi ikan siakap terbabit juga sudah dinyatakan di dalam menu restorannya iaitu RM16 bagi setiap 100 gram, dan ikan yang dipesan itu seberat lebih 7 kg," katanya.


Dia turut menafikan dia ada mengenakan caj tambahan bagi pembayaran menggunakan kad kredit seperti yang didakwa pelanggan tersebut. Dia berkata demikian ketika dihubungi hari ini untuk menjawab dakwaan pelanggan berkenaan.


Katanya, pesanan pelanggan tersebut mempunyai dua helai resit masing-masing berjumlah sebanyak RM1759.50 dan RM93, namun pelanggan tersebut hanya memuat naik resit yang lebih tinggi nilainya.


Semalam, satu resit dimuat naik individu sebelum ia tular di media sosial yang mengatakan harga ikan siakap dipesan terlalu mahal, yang tertera ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang berharga RM1,196.80.


Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain adalah RM1,852.50 untuk tujuh orang makan. - Sumber Kosmo Online.


Resit ditunjukkan lelaki itu apabila mendakwa terpaksa membayar RM1196 bagi seekor ikan siakap di Langkawi.

Isnin, 1 November 2021

Biawak 'Berusaha' Cuba Masuk Bank, Dipercayai Sesat Dan Kelaparan

Biawak 'Berusaha' Cuba Masuk Bank, Dipercayai Sesat Dan Kelaparan


KUALA SELANGOR - Pelanggan yang berurusan di sebuah bank di Sungai Buloh, Jeram, gempar dengan kehadiran seekor biawak tersesat dan mahu memasuki premis itu, semalam.


Kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu disedari beberapa orang awam yang terkejut melihat reptilia sepanjang tiga meter tersebut berada di depan pintu cuba masuki premis berkenaan.


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman berkata, sepasukan lima pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati biawak seberat 20 kilogram itu masih berada di hadapan bank berkenaan.



"Pada waktu itu, reptilia terbabit dilihat cuba memasuki premis tersebut dengan cuba menolak pintu cermin.


"Operasi penangkapan kemudian dilakukan dengan menggunakan alat penjerut untuk mengelakkan biawak itu bertindak agresif," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Suzaini berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lima minit untuk menangkap reptilia berkenaan dan ia dilepaskan ke kawasan parit berhampiran.


"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan termasuk melibatkan orang awam yang berurusan di bank berkenaan.


"Kami percaya biawak itu tersesat dari kawasan berdekatan dan mahu memasuki bank kerana faktor sejuk atau kelaparan," katanya.


Anggota APM Kuala Selangor menangkap biawak sepanjang tiga meter di Sungai Buloh, Jeram, semalam.

Ahad, 31 Oktober 2021

Aligator Baham Aligator Gemparkan Warganet

Aligator Baham Aligator Gemparkan Warganet


Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan satu kejadian 'rare' apabila seekor aligator yang bersaiz besar membaham seekor lagi aligator di Mukim Horry, Carolina Selatan, Amerika Syarikat (AS), lapor Mirror UK pada 5 Oktober 2021.


Kejadian itu dirakamkan menerusi video oleh seorang lelaki, kemudian dimuat naik ke Twitter pada 1 Oktober 2021 dan memperoleh jutaan tontonan yang turut mendapat perhatian netizen di laman Facebook.


"Ini berlaku di halaman rumah ibu bapa saya hari ini, aligator besar membaham aligator berukuran enam kaki," tulis Taylor Soper.


Soper memberitahu kepada USA Today bahawa bapanya merakam kejadian itu. Beberapa hari sebelum kejadian, bapanya melihat buaya yang lebih kecil muncul di belakang rumah dan akhirnya menjadi 'makanan' kepada aligator yang lebih besar.


"Bapa saya menangkap beberapa perkara yang baik, semua kredit untuknya tetapi dia tidak mempunyai media sosial," ujar Soper.


Seorang penangkap ular, Russell Cavender menganggap sudah menjadi kebiasaan aligator bersaiz besar membaham haiwan sejenisnya tetapi mempunyai saiz yang lebih kecil.


Menurut Cavender, aligator yang bersaiz kira-kira lebih tiga meter itu tidak mempunyai masalah untuk membaham aligator bersaiz hanya kira-kira 1.82 meter. Aligator ialah haiwan mirip buaya yang banyak terdapat di AS terutamanya di Florida.


Seekor aligator membaham haiwan sejenisnya yang lebih kecil di Mukim Horry, Carolina Selatan, baru-baru ini. - Foto Taylor Soper.

Jumaat, 29 Oktober 2021

Pasangan Suami Isteri Terkejut, Harimau Muncul Depan Mata Menunggu Di tepi Jalan

Pasangan Suami Isteri Terkejut, Harimau Muncul Depan Mata Menunggu Di tepi Jalan


Pasangan suami isteri yang baru sahaja terlepas cakap, tidak menyangka 'Pak Belang' betul-betul muncul depan mata tak lama kemudian, lapor laman berita Harian Metro, kelmarin.


Mohd Shahrum, 36, berkata, dia dan isterinya, Nurhidayahlaily Su'alman, 32, melalui Jalan Jemaluang menuju ke Tenggaroh kira-kira 8 pagi pada 27 Oktober lalu bagi melakukan perkhidmatan sanitasi.


"Waktu itu hujan gerimis, memang kami tergamam apabila melihat seekor harimau menunggu di tepi jalan, dan saya terus memberhentikan kereta, apabila saya cuba jalan (pandu kereta), harimau itu bangun.


"Kemudian harimau itu melintas, memang berderau darah melihat fizikalnya yang besar dan badannya yang melayut menjejak jalan.


"Dalam masa kira-kira dua minit itu, kami memang cemas, isteri yang sempat merakam gambar pun terketar-ketar dan selepas hilang dari pandangan, saya segera bergerak meninggalkan kawasan itu," katanya ketika dihubungi pada hari tersebut.


Menurutnya, dia kerap menggunakan laluan itu untuk bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu dan itu adalah kali pertama mereka mengalami pengalaman itu seumur hidup.


"Biasanya memang kami suka memberi monyet liar makan roti atau pisang di tepi Jalan Jemaluang itu, kalau nak kata gajah itu biasa kami nampak. Patutlah sejak empat hari lalu tidak kelihatan monyet di tepi jalan itu, rupa-rupanya ada Pak Belang di situ," katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor Aminudin Jamin ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu.


Kelibat harimau yang sempat dirakam Nurhidayahlaily ketika terserempak dengan haiwan itu di Jalan Jemaluang menuju ke Tenggaroh di Mersing. - Foto Ihsan Mohd Shahrum Salleh.

Khamis, 28 Oktober 2021

Kucing Baka Scottish Tak Dapat, Duit Hampir RM70,000 Melayang

Kucing Baka Scottish Tak Dapat, Duit Hampir RM70,000 Melayang

Kucing baka Scottish Fold - Gambar hiasan.

Hasrat seorang guru memiliki seekor kucing baka Scottish Fold terbantut selepas ditipu penjual melalui atas talian. Mangsa juga terpaksa menanggung kerugian sehingga RM69,030, lapor Harian Metro pada 27 Oktober 2021 lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 25 tahun dikatakan melihat iklan di Facebook pada 23 Oktober lalu mengenai kucing berkenaan yang difahamkan berada di Indonesia.


"Mangsa berminat membeli kucing terbabit dan menghubungi penjualnya. Dia bersetuju untuk membeli kucing itu pada harga RM900. Bagaimanapun, ketika dalam proses penghantaran dari Indonesia, mangsa diminta untuk membayar wang bagi pelbagai prosedur," katanya.


Aibee berkata, mangsa diminta supaya membayar separuh daripada harga kucing berkenaan dan bakinya dibayar selepas mendapat haiwan terbabit itu.


"Wanita berkenaan membuat pemindahan wang berjumlah RM450 ke akaun bank atas nama Tansiaupenga Siagian sebelum dimaklumkan kucing yang dibeli sudah dihantar ke alamatnya.


"Sepanjang proses penghantaran, mangsa dikehendaki membayar sejumlah wang kononnya sebagai prosedur dan sehingga kini membuat 14 transaksi berjumlah RM69,030 pada 23 dan 24 Oktober lalu," katanya.


Menurutnya, sehingga kini mangsa tidak mendapat kucing yang dibeli malah bimbang identitinya disalahguna kerana menyerahkan salinan kad pengenalan serta alamat kepada suspek.


Katanya, mangsa membuat laporan polis kerana rasa tertipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Sumber Harian Metro.

Ahad, 24 Oktober 2021

Anjing Terbiar Membawa Mangkuk Kosong Dan Berjalan Dari Rumah Ke Rumah Cari Makanan

Anjing Terbiar Membawa Mangkuk Kosong Dan Berjalan Dari Rumah Ke Rumah Cari Makanan


Sebuah rakaman yang memperlihatkan seekor anjing terbuang mengalami nasib yang menyedihkan selepas dilihat berjalan sambil membawa mangkuk kosong dan berkunjung dari satu rumah ke rumah lain.


Video berdurasi 1 minit 34 saat itu dirakam oleh pasukan sukarelawan World Animal Awareness Society, yang melancarkan Projek Haiwan Jalanan Amerika Syarikat (AS).


Dalam video yang dirakam di sebuah kawasan kejiranan di Detroit, AS itu menunjukkan kesungguhan seekor anjing berjalan di dalam kawasan yang dipenuhi semak samun untuk mencari individu yang sudi berkongsi makanan dengannya.


Anjing yang kelaparan itu mengunjungi lima buah rumah dengan meletakkan mangkuk di hadapan rumah terbabit, kemudian menyalak meminta makanan. Namun ia tidak sedar kesemua rumah terbabit telah ditinggalkan penghuninya.



Anjing itu bersama seekor lagi berteduh di salah sebuah rumah kosong di kawasan itu. Pasukan sukarelawan menemui kedua-dua anjing itu, kemudian mengisi mangkuk makanan anjing tersebut dengan makanan dan minuman.


Memetik laman berita Lolitopia, dilaporkan bahawa anjing liar di kawasan itu kini telah diselamatkan. Haiwan itu dibawa ke kemudahan penjagaan yang dikendalikan oleh sukarelawan berkenaan.


Video terbabit dirakam bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai nasib haiwan yang ditinggalkan serta memperbetulkan pandangan bahawa haiwan ini berupaya untuk menjaga diri serta mencari makanan sendiri.


Seekor anjing mengunjungi lima buat rumah dengan mangkuk makanannya namun hampa kerana tiada siapa yang tinggal di kawasan terbabit.