Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Isnin, 18 Oktober 2021

Lelaki Tidak Berbaju Bersenjata Parang Mengamuk Tengah Jalan Sebabkan Kesesakan Lalu Lintas

Lelaki Tidak Berbaju Bersenjata Parang Mengamuk Tengah Jalan Sebabkan Kesesakan Lalu Lintas


Tindakan seorang lelaki bersenjatakan parang yang mengamuk dengan mengacukan senjata itu kepada kenderaan di jalan Temerloh-Maran, mengemparkan pengguna jalan raya berkenaan pada pagi Ahad lalu.


Dalam kejadian jam 11 pagi berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) itu, suspek yang tidak berbaju menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas kira-kira 3 kilometer, apabila ramai pengguna jalan raya tidak berani melalui kawasan itu kerana bimbangkan keselamatan masing-masing.


Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Khaidir Ahmad, 59, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang menghala ke Batu 4 di sini atas urusan kerja. Sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang berhenti hingga menyebabkan kesesakan jalan.


"Seorang lelaki yang tidak berpakaian mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu-lalang namun saya memberanikan diri, namun ada juga yang berpatah balik, syukur tidak berlaku apa-apa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.


Ujarnya, kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.


"Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan termasuk melakukan ujian urin terhadap suspek," katanya.


Insiden lelaki mengamuk bersenjatakan parang di jalan lama Temerloh-Maran turut menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga kira-kira 3 kilometer.

Ahad, 17 Oktober 2021

Arahan Mengosongkan Kebun Durian Musang King Muktamad, Tak Ditarik Balik

Arahan Mengosongkan Kebun Durian Musang King Muktamad, Tak Ditarik Balik


Pada 14 Oktober lalu, sebahagian pengusaha 'Musang King' berkumpul di kebun mereka yang dikatakan termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Galas, di Kampung Pulai, Gua Musang, Kelantan, mahu kerajaan negeri memberi ruang rundingan kepada mereka.


Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah berkata, arahan mengosongkan kebun durian Musang King dan Getah yang diteroka dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Galas adalah muktamad dan tidak akan ditarik balik.


Tegas beliau, peneroka diharap mematuhi arahan itu kerana tempoh masa 14 hari daripada tarikh notis dikeluarkan pada 30 September lalu sudah tamat.


"Alasan tidak tahu kawasan itu merupakan hutan simpan bukan isunya kerana kalau pun tanah itu bukan hutan simpan, ia sudah semestinya tanah kerajaan dan tidak boleh diterokai sewenang-wenang.



"Mereka telah meneroka selama 25 tahun tanpa sebarang bayaran kepada kerajaan negeri. Sepatutnya tidak ada masalah untuk keluar dari kawasan tersebut," katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.


Terdahulu, lebih 30 pengusaha kebun durian Musang King dan getah seluas 90 hektar di Kampung Pulai terkedu diarah pihak berkuasa supaya mengosongkan kawasan itu setelah 25 tahun mengusahakannya.


Menurut kumpulan pekebun terbabit, perkara itu disifatkan amat mengejutkan kerana ha­nya selepas 25 tahun ini, barulah mereka diberitahu kawasan diusahakan merupakan sebahagian daripada hutan simpan.


Abdul Khalim dalam pada itu berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut berkaitan pencerobohan tanah Hutan Simpan Ulu Galas dan sekadar memberitahu, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat.


"Buat masa ini saya harap arahan pengosongan dipatuhi kerana ia tidak akan ditarik balik," tegas beliau, seperti yang dilaporkan laman berita Utusan Malaysia, hari ini. Artikel Berkaitan: Pekebun 'Musang King' Di Hutan Simpan Ulu Galas, Mahu Kerajaan Negeri Memberi Ruang Rundingan.

Jumaat, 15 Oktober 2021

Pekebun 'Musang King' Di Hutan Simpan Ulu Galas, Mahu Kerajaan Negeri Memberi Ruang Rundingan

Pekebun 'Musang King' Di Hutan Simpan Ulu Galas, Mahu Kerajaan Negeri Memberi Ruang Rundingan


GUA MUSANG - Pada 30 September lalu, Jabatan Perhutanan negeri telah memberikan notis kepada lebih 30 pekebun yang mengusahakan tanaman durian musang king dan getah di Hutan Simpan Ulu Galas di Kampung Pulai, yang memerintahkan mereka mengosongkan tapak tanaman.


Semalam, sebahagian pekebun tersebut berkumpul di kebun mereka yang mahu kerajaan negeri memberi ruang rundingan kepada pekebun-pekebun di kawasan itu. Mereka mengatakan sebelum ini tidak mengetahui kawasan yang diteroka termasuk dalam hutan simpan.


Pengerusi Jawatankuasa Tin­dakan Pekebun Kecil Hutan Simpan Ulu Galas, Leow Chin Meng, 53, berkata, mereka telah mengusahakan kebun seluas 90 hektar itu dengan menanam durian dan getah sejak kira-kira 20 tahun lalu.


"Sehubungan itu, kami berharap dapat mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri bagi memastikan pihak pekebun mendapat keputusan yang adil dalam isu penerokaan tanah di kawasan itu.


"Kami difahamkan seba­nyak 90 hektar kawasan kebun durian dan getah yang telah mengeluarkan hasil akan diambil sebelum diberikan kepada pihak syarikat lain," katanya di sini semalam.


Sementara itu, seorang lagi pekebun, Tina Chong berkata, kesemua pekebun berharap satu penyelesaian yang adil dapat diputuskan kerana te­lah banyak melabur wang bagi mengusahakan tanaman di kawasan itu.


"Pekebun mahu berunding dengan kerajaan untuk mendapat kebenaran sama ada tanah yang diusahakan itu dapat diberi secara pajakan atau sewa tanah.


"Banyak duit telah dilaburkan malah tanaman diusahakan antaranya musang king dan duri hitam kini sudah mula mengeluarkan hasil," katanya. - Sumber Kosmo Online.

Khamis, 14 Oktober 2021

Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan

Banglo Mewah Dijadikan Pusat Hiburan, 16 Pelacur Warga Asing Ditahan


KUALA LUMPUR - Polis menggempur sebuah unit banglo di Taman Yari, Jalan Klang Lama, yang dijadikan pusat hiburan serta pelacuran dan menahan 16 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dalam satu serbuan pada malam 12 Oktober 2021.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap aktiviti sindiket berkenaan selama beberapa hari sebelum melakukan serbuan.


Katanya, serbuan pada 8.45 malam itu turut menahan juruwang di premis itu serta enam lelaki tempatan yang bertindak sebagai pengangkut wanita-wanita itu ke banglo berkenaan atau dikenali sebagai 'transporter'.


"Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi noda itu berumur lingkungan 21 hingga 31 tahun dengan sindiket didapati menawarkan khidmat penghantaran GRO untuk berhibur serta menyediakan kediaman mewah untuk menawarkan perkhidmatan seks," katanya.


Seorang lelaki yang juga transporter berusia 20-an memaklumkan dia dibayar RM100 bagi menghantar wanita berkenaan ke banglo terbabit. Katanya, dia dimaklumkan mengenai kerja itu oleh rakannya dan dia diminta membawa enam wanita dari lokasi mereka di Cheras ke rumah banglo itu.


"Bagi setiap trip (perjalanan pergi dan balik), saya membawa tiga wanita dengan bayaran RM100. Kenderaan yang digunakan bagi membawa mereka adalah kereta saya sendiri," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi semalam.


Mohamad Noor berkata, hasil siasatan mendapati aktiviti mempromosikan kegiatan pelacuran itu turut dibuat secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Telegram.


Beliau berkata, premis banglo yang diserbu itu dilengkapi dengan peralatan-peralatan hiburan seperti lampu disko, meja pool dan lain-lain kelengkapan, juga terletak di dalam kawasan taman perumahan mewah serta disewa dengan harga RM3,600 sehari.


"GRO yang bertindak menjadi peneman pelanggan minum dan berhibur serta menawarkan perkhidmaan seks dengan bayaran RM1,300 hingga RM2,500 kepada pelanggan.


"Pemeriksaan dilakukan mendapati hanya seorang daripada 16 wanita warga Vietnam yang ditahan tidak mempunyai pasport. Pada masa sama, kami turut menyiasat sekiranya ada berlaku kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan ini," katanya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.


Antara wanita yang ditahan dalam serbuan berkenaan. - Foto Nurul Hidayah Bahaudin.

Sabtu, 9 Oktober 2021

Kutip Sewa Tertunggak, Seorang Lelaki Maut Bergelut Minta Sewa Rumah

Kutip Sewa Tertunggak, Seorang Lelaki Maut Bergelut Minta Sewa Rumah


Gara-gara pertengkaran dikatakan membabitkan wang sewa rumah, seorang lelaki maut dengan kesan luka di dahi akibat pergelutan menggunakan parang dengan seorang individu yang menghuni kediaman berkenaan di Jalan Batu Pahat, Kampung Guar Sabun, Kangar, semalam.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam selepas mangsa, Kamarul Izahar Mat Nanyan, 49, yang berasal dari Kampung Abi Batas Paip Abi, terbabit dalam pergaduhan dengan seorang lelaki yang tinggal di rumah tersebut.


"Siasatan awal polis, mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian tunggakan sewa rumah di mana mangsa sebelum itu pergi ke rumah suspek sambil membawa sebilah parang.


"Mangsa bertindak mengarahkan suspek yang menganggur itu segera membayar sewa rumah yang diduduki bersama isterinya namun suspek tidak mahu melayan tuntutan mangsa sambil mendakwa sewa itu sudah dibayar kepada seorang jiran di kampung itu dikenali sebagai Nana," katanya dalam kenyataan hari ini.



Wari berkata, jawapan suspek itu membuatkan mangsa berang, kemudian mengamuk dengan menetak cermin kereta kepunyaan lelaki tersebut yang diletakkan di hadapan rumah.


"Melihatkan tindakan mangsa itu, suspek kemudian menghampirinya menyebabkan mangsa terus menetak sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.


"Isteri suspek yang melihat kejadian itu kemudian menghubungi jiran yang bernama Nana, dan apabila Nana tiba di tempat kejadian, mangsa dan suspek masih bergelut di tepi rumah, sebelum meminta bantuan empat jiran lain yang berada berhampiran.


"Ketika keempat-empatnya sampai, mereka terus membantu suspek menangkap dan mengikat mangsa sebelum mendapati mangsa sudah tidak bergerak. Susulan itu, mereka menghubungi polis dan paramedik," katanya.


Wari berkata, polis yang tiba di lokasi menemui mangsa dalam keadaan terlentang di luar rumah dalam keadaan tangan terikat di bahagian belakang menggunakan tali berwarna kuning.


"Pemeriksaan daripada badan luaran mangsa terdapat luka kecil di atas dahi. Pegawai perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.


"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah bagi tujuan bedah siasat dan akan dilakukan selepas menerima keputusan ujian Covid-19,” katanya.


Tambah Wari, lelaki yang diserang oleh mangsa itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan masih menerima rawatan HTF. Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki termasuk seorang pesara tentera bagi membantu siasatan pembunuhan itu.


"Empat orang lelaki yang berusia antara 39 hingga 55 tahun direman selama tujuh hari sehingga 15 Oktober bagi membantu siasatan. Kita masih menyiasat punca kejadian, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. - Sumber Utusan Malaysia


Lokasi di mana seorang lelaki maut dalam pergelutan di sebuah rumah di Jalan Batu Pahat, Kampung Guar Sabun, Kangar, Perlis. - Foto Utusan Malaysia.

Ahad, 26 September 2021

Bengang Tidak Dibayar Upah, Kontraktor Robohkan Semula Dinding Dan Lantai Rumah Pelanggan

Bengang Tidak Dibayar Upah, Kontraktor Robohkan Semula Dinding Dan Lantai Rumah Pelanggan


Dipercayai tidak berpuas hati kerana pelanggan gagal melangsaikan upah pada masa yang ditetapkan, seorang kontraktor di Colorado bertindak memecahkan semula tandas yang baru dibinanya.


Menurut laporan Daily Mail pada 21 September lalu, Terry Gregory 'merobohkan' binaan sebuah bilik air di kediaman (apartment) pelanggannya menggunakan tukul kerana bengang belum mendapat bayaran penuh.


Sebuah rakaman video memaparkan Gregory menghancurkan dinding dan jubin yang sudah dipasang. Kejadian itu dirakam oleh jiran kediaman itu yang turut meminta Gregory menghentikan tindakan itu, namun tidak dihiraukannya.


Pemilik rumah Amber Trucke, mendakwa telah membayar sebanyak AS$3,330 ( RM13,961) dan masih berhutang AS$7,555 (sekitar RM31,674). Tuan rumah itu diberi masa sehingga petang Jumaat lalu untuk membayar baki berkenaan.



Bagaimanapun, selepas melihat keadaan pintu tandas yang belum dipasang, Trucke telah meminta kontraktor berkenaan untuk kembali menyelesaikan kerjanya, dan memastikan bahawa air akan mengalir dengan betul melalui paip yang baru dipasang.


Pada pagi Sabtu, Trucke membiarkan kontraktor itu masuk ke rumahnya ketika dia keluar bekerja, dan menyangka Gregory datang untuk menyelesaikan kerja yang masih belum siap dan mengambil barangnya.


Bagaimanapun, selepas 23 jam menuntut bayaran sejak Jumaat, kontraktor tersebut didakwa kembali pada 9.30 pagi Sabtu dengan membawa alatan untuk memecahkan lantai dan dinding tandas itu semasa tuan rumah keluar bekerja.


Selain tandas, Gregory juga ada melakukan pemasangan lain dalam rumah Trucke, antaranya, dua kipas siling, pintu depan dan meja rias. Kedua-dua pihak mengatakan bahawa mereka mahu membawa kes berkenaan ke mahkamah tuntutan kecil.


Isnin, 13 September 2021

Lorong 'Kunyit' Kembali Beraksi, Enam Lelaki Berpakaian Wanita Ditahan

Lorong 'Kunyit' Kembali Beraksi, Enam Lelaki Berpakaian Wanita Ditahan


KUANTAN - Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan selepas berpakaian wanita di tempat awam dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral, di sekitar bandar raya ini, kelmarin.


Mereka yang berusia 30 hingga 35 tahun itu ditahan dalam 'Ops Pasar' yang dijalankan di sekitar lorong pasar dan Jalan Wong Ah Jang yang dikenali sebagai Lorong Kunyit, antara pukul 3.30 petang hingga 7 malam pada Sabtu lalu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, operasi itu dilakukan hasil daripada maklumat awam membabitkan perlakuan lelaki berpakaian wanita di dua lokasi terbabit beberapa hari lalu.


Katanya, hasil operasi membabitkan seramai 30 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Jabatan Imigresen Malaysia Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan, berjaya menahan lima lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan walaupun mereka cuba melarikan diri.


"Hasil siasatan mendapati, lima warga asing yang ditahan itu bukan sahaja melakukan kesalahan berpakaian wanita malah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal melebihi tempoh di negara ini.


"Manakala lelaki tempatan itu pula mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan berpakaian wanita di tempat awam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, kelmarin.


Menurut Muhammed Rizal, ketika serbuan dilakukan kesemua suspek berpakaian menyerupai wanita yang dipercayai sedang menunggu pelanggan bagi aktiviti tidak bermoral di sekitar kawasan terbabit.


Katanya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 manakala lima warga asing terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 61 (1) (c) Akta Imigresen kerana tiada pas perjalanan dan Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh.


Tambahnya, lima warga asing berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.


Sebahagian lelaki yang ditahan kerana berpakaian seperti wanita dalam operasi sekitar lorong pasar dan Jalan Wong Ah Jang di Kuantan, pada malam Sabtu lalu.