Isnin, 13 September 2021

Lorong 'Kunyit' Kembali Beraksi, Enam Lelaki Berpakaian Wanita Ditahan


KUANTAN - Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan selepas berpakaian wanita di tempat awam dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral, di sekitar bandar raya ini, kelmarin.


Mereka yang berusia 30 hingga 35 tahun itu ditahan dalam 'Ops Pasar' yang dijalankan di sekitar lorong pasar dan Jalan Wong Ah Jang yang dikenali sebagai Lorong Kunyit, antara pukul 3.30 petang hingga 7 malam pada Sabtu lalu.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, operasi itu dilakukan hasil daripada maklumat awam membabitkan perlakuan lelaki berpakaian wanita di dua lokasi terbabit beberapa hari lalu.


Katanya, hasil operasi membabitkan seramai 30 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Jabatan Imigresen Malaysia Pahang dan Majlis Bandaraya Kuantan, berjaya menahan lima lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan walaupun mereka cuba melarikan diri.


"Hasil siasatan mendapati, lima warga asing yang ditahan itu bukan sahaja melakukan kesalahan berpakaian wanita malah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal melebihi tempoh di negara ini.


"Manakala lelaki tempatan itu pula mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan berpakaian wanita di tempat awam," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, kelmarin.


Menurut Muhammed Rizal, ketika serbuan dilakukan kesemua suspek berpakaian menyerupai wanita yang dipercayai sedang menunggu pelanggan bagi aktiviti tidak bermoral di sekitar kawasan terbabit.


Katanya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 manakala lima warga asing terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 61 (1) (c) Akta Imigresen kerana tiada pas perjalanan dan Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal melebihi tempoh.


Tambahnya, lima warga asing berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.


Sebahagian lelaki yang ditahan kerana berpakaian seperti wanita dalam operasi sekitar lorong pasar dan Jalan Wong Ah Jang di Kuantan, pada malam Sabtu lalu.


EmoticonEmoticon