Isnin, 13 September 2021

5 Lelaki Ditahan, Dua Senjata Buatan Sendiri Jenis 'Bakakuk' Bersama 35 Peluru Dirampas


KOTA KINABALU - Lima lelaki dipercayai menjalankan kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan Jalan Kalabakan-Sapulut, ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Bersepadu Khazanah (OBK), semalam.


Dalam operasi 10.11 malam itu, pihak berkuasa turut merampas dua senjata api buatan sendiri jenis 'bakakuk', 35 butir peluru hidup, tiga kelongsong dan beberapa alat lain.


Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mereka ditahan ketika sepasukan anggota Tiger Platoon Batalion 14 PGA bersama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) menjalankan rondaan di laluan berkenaan.


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux diparkir di bahu jalan berkenaan, dan mendapati lima lelaki berada di dalamnya dalam keadaan mencurigakan.


"Hasil pemeriksaan menemui dua laras senapang buatan sendiri jenis bakakuk, 35 butir peluru hidup, tiga kelongsong dan beberapa alat lain," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Mohd Abduh, turut dirampas Toyota Hilux, 'vest' penguatkuasa Perhilitan, dan semua tangkapan berusia 24 hingga 43 tahun itu serta kenderaan dinaiki dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.


Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM143,575 dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.


Lima lelaki ditahan bersama senapang jenis bakakuk dalam OBK di Jalan Kalabakan-Sepulut, malam tadi. - Foto PGA Sabah.


EmoticonEmoticon