Ahad, 26 September 2021

Bengang Tidak Dibayar Upah, Kontraktor Robohkan Semula Dinding Dan Lantai Rumah Pelanggan


Dipercayai tidak berpuas hati kerana pelanggan gagal melangsaikan upah pada masa yang ditetapkan, seorang kontraktor di Colorado bertindak memecahkan semula tandas yang baru dibinanya.


Menurut laporan Daily Mail pada 21 September lalu, Terry Gregory 'merobohkan' binaan sebuah bilik air di kediaman (apartment) pelanggannya menggunakan tukul kerana bengang belum mendapat bayaran penuh.


Sebuah rakaman video memaparkan Gregory menghancurkan dinding dan jubin yang sudah dipasang. Kejadian itu dirakam oleh jiran kediaman itu yang turut meminta Gregory menghentikan tindakan itu, namun tidak dihiraukannya.


Pemilik rumah Amber Trucke, mendakwa telah membayar sebanyak AS$3,330 ( RM13,961) dan masih berhutang AS$7,555 (sekitar RM31,674). Tuan rumah itu diberi masa sehingga petang Jumaat lalu untuk membayar baki berkenaan.



Bagaimanapun, selepas melihat keadaan pintu tandas yang belum dipasang, Trucke telah meminta kontraktor berkenaan untuk kembali menyelesaikan kerjanya, dan memastikan bahawa air akan mengalir dengan betul melalui paip yang baru dipasang.


Pada pagi Sabtu, Trucke membiarkan kontraktor itu masuk ke rumahnya ketika dia keluar bekerja, dan menyangka Gregory datang untuk menyelesaikan kerja yang masih belum siap dan mengambil barangnya.


Bagaimanapun, selepas 23 jam menuntut bayaran sejak Jumaat, kontraktor tersebut didakwa kembali pada 9.30 pagi Sabtu dengan membawa alatan untuk memecahkan lantai dan dinding tandas itu semasa tuan rumah keluar bekerja.


Selain tandas, Gregory juga ada melakukan pemasangan lain dalam rumah Trucke, antaranya, dua kipas siling, pintu depan dan meja rias. Kedua-dua pihak mengatakan bahawa mereka mahu membawa kes berkenaan ke mahkamah tuntutan kecil.



EmoticonEmoticon