Jumaat, 24 September 2021

Niat Mahu Pinjam RM10,000, Lesap RM12,930 Ditipu Tawaran Pinjaman Tidak Wujud


Kelicikan penipuan kewangan atau scammer dalam talian semakin menjadi-jadi di negara ini. Walaupun banyak tangkapan dibuat, kes penipuan begini masih lagi berlaku dengan yang ditanggung mangsa ada kalanya mencecah jumlah simpanan sepanjang hayat mereka untuk persaraan.


Terbaru, seorang peniaga dari bandar Jengka di Maran, menjadi mangsa penipuan dalam talian menyebabkan mengalami kerugian RM12,930 selepas diperdaya dengan tawaran pinjaman tidak wujud yang diiklankan di media sosial.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 19 September 2021 lalu selepas mangsa terlihat iklan pinjaman wang tidak berlesen di internet.


"Kemudian mangsa telah berurusan dengan wakil syarikat terbabit yang memperkenalkan diri sebagai Puan Annie dan pengadu bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM10,000.


"Mangsa turut menyerahkan maklumat diri kepada suspek sebelum diminta untuk membuat beberapa bayaran dengan pelbagai alasan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Mohd. Wazir, mangsa telah membuat sebanyak 13 kali bayaran ke enam akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek. Bagaimanapun sehingga kini mangsa tidak menerima wang pinjaman terbabit dan tampil membuat laporan polis kerana mengesyaki telah ditipu.


EmoticonEmoticon