Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fenomena. Papar semua catatan

Selasa, 25 Januari 2022

Pancaran cahaya emas bersinar selama 3 jam di Turki gemparkan penduduk tempatan

Pancaran cahaya emas bersinar selama 3 jam di Turki gemparkan penduduk tempatan

Gambar Hiasan.

Penduduk sebuah perkampungan di Turki terkejut apabila menyaksikan satu kejadian pancaran cahaya terang yang luar biasa berterusan selama tiga jam, lapor akhbar Daily Star UK pada 23 Januari 2022.


Pancaran cahaya berwarna emas berkilauan itu dilihat bersinar di laluan Genting Zigana iaitu kawasan pergunungan di wilayah Gumushane, berhampiran sempadan dengan Wilayah Trabzon di timur laut Turki.


Fenomena yang jarang ditemui itu dirakam dari pusat ski Zigana Gumuskayak pada ketinggian 2,100 meter dari paras laut. Mereka yang merakamnya mendakwa bahawa cahaya keemasan itu bersinar selama kira-kira tiga jam.


Jurucakap pusat ski berkenaan, Abdullah Eroglu berkata, dia tidak pernah menyaksikan mana-mana kejadian serupa di kawasan itu sebelum ini.


"Pengunjung hari ini disifatkan bertuah kerana berpeluang melihat pemandangan paling menakjubkan. Pancaran cahaya itu memancar ke arah lereng Zigana untuk satu tempoh yang lama.


"Pekerja di sini juga merakam adegan itu dengan telefon bimbit masing-masing. Ia seperti babak dalam filem sains fiksyen," katanya.


Pancaran cahaya adalah konsep biasa dalam filem sains fiksyen terutama dalam babak-babak melibatkan UFO. Ia sering dilihat turun dari kapal angkasa asing untuk mengangkat orang di atas tanah masuk ke dalam UFO.


Bagaimanapun, saintis-saintis mengatakan bahawa pancaran cahaya tersebut dikenali sebagai sinar Crepuscular yang berasal dari perkataan Latin 'crepusculum' dan bermaksud senja.


Fenomena seumpama ini biasanya hanya kelihatan pada waktu matahari terbit dan terbenam, kerana pada masa inilah perbezaan antara terang dan gelap paling ketara.


Fenomena cahaya memancar dari langit yang sempat dirakam oleh penduduk di Turki. - Foto CEN.

Khamis, 20 Januari 2022

'Muncul' pasir biru bercahaya yang kelihatan seperti lagun di Gurun Sahara

'Muncul' pasir biru bercahaya yang kelihatan seperti lagun di Gurun Sahara


Laman sosial Reddit memaparkan satu penemuan menakjubkan di Gurun Sahara, iaitu sebuah kawasan yang berkilauan dengan warna biru kelihatan seperti air, namun ada pembentukan pasir tepat di atasnya, lapor akhbar Daily Star pada 17 Januari 2022.


Seperti yang kita tahu bahawa sekitar 65 peratus daripada planet ini belum diterokai, sama ada kawasan landskap bawah air yang luas, atau bahagian hutan hujan Amazon. Banyak perkara yang hanya boleh kita lihat menggunakan teknologi Google Maps.


Dalam penemuan misteri terbaharu, pengguna aplikasi pemetaan Google Maps telah menemui bahagian aneh di Gurun Sahara, yang dipercayai belum pernah diteroka oleh manusia secara fizikal.


Kawasan tersebut diberi nama Blue Upside Nike kerana berbentuk muncung terbalik dan menampilkan warna biru berkilauan.



Kawasan pelik itu sebenarnya boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang menaiki penerbangan ke rantau itu menggunakan laluan Aeroport Regional De Reggane, yang terletak kira-kira satu kilometer(km) dari tapak penemuan tersebut.


Pengguna Reddit yang menemui kawasan itu, OutOfBounds_Matrix, menyifatkannya sebagai hamparan nilam bercahaya biru yang indah.


"Kawasan yang menarik di Sahara. Kelihatan pasir terapung. Kawasan biru kelihatan seperti nilam bercahaya atau sejenis pasir bercahaya biru.


"Grid di sekelilingnya kelihatan seperti buatan manusia, terbentang lebih daripada 75km dari utara ke selatan dan 200 meter di antara setiap garisan grid," jelasnya.


Kawasan yang lebih asing boleh dilihat hanya beberapa ratus meter di utara pembentukan hamparan pasir biru. - Foto Google Maps.

Rabu, 22 Disember 2021

Pakar terkejut bongkah ais 'gergasi' seluas 3,250km pecah dan mencair lebih pantas

Pakar terkejut bongkah ais 'gergasi' seluas 3,250km pecah dan mencair lebih pantas


Sekumpulan pakar glasier terkejut setelah mendapati bongkah ais Larsen B seluas 3,250 kilometer persegi, dan setebal 200 meter di kawasan glasier Thwaites di Benua Antartika mengambil masa hanya sebulan untuk cair sepenuhnya, lapor laman berita The Guardian pada 18 Disember 2021.


Pakar-pakar tersebut memberi amaran berkenaan pencairan glasier Thwaites yang dilihat berlaku lebih pantas daripada yang dijangkakan, dikhuatiri menenggelamkan bandar-bandar di pesisir pantai apabila paras air laut meningkat.


"Ia mengejutkan kerana bongkah ais gergasi itu cair begitu sahaja. Ia roboh seperti tembok dan pecah seperti ratusan ribu batu bata," kata salah seorang daripada mereka.


Minggu ini, beberapa saintis mengadakan pertemuan di New Orleans dan memberi amaran bahawa sesuatu yang lebih membimbangkan sedang berlaku di lembangan ais Antartika Barat.


Penyelidikan selama bertahun-tahun oleh pasukan penyelidik Britain dan Amerika Syarikat, menunjukkan bahawa retakan dan rekahan besar telah berlaku diatas dan dibawah glasier Thwaites, salah satu glasier terbesar di dunia.


Sebahagian daripada keretakan itu dikhuatiri runtuh dalam tempoh lima tahun akan datang atau kurang. Saiz Thwaites yang amat luas menjadikan Larsen B yang seluas 3,250 kilometer persegi, dan setebal 200 meter kelihatan seperti bongkah kecil.


Glasier bersaiz kira-kira 100 kali ganda lebih besar dari negara Britain itu mengandungi isipadu air yang cukup untuk menyebabkan paras air laut dunia meningkat lebih setengah meter.


Ia menyumbang kira-kira 4 peratus kenaikan paras laut tahunan di seluruh dunia dan telah dipanggil glasier paling penting dunia, termasuk 'glasier kiamat.' Kajian satelit menunjukkan glasier itu mencair jauh lebih cepat daripada yang berlaku pada tahun 1990-an.


Glasier atau sungai air batu ialah bongkahan endapan air batu padat yang bergerak perlahan dan bersaiz besar. Asalnya terbentuk dari salji yang turun di kawasan pergunungan menimbun padat dalam suatu tempoh yang lama, lalu menurun ke kaki gunung hasil tarikan graviti melalui lurah sungai.


Gambar menunjukkan pemandangan satelit di Antartika dengan glasier Thwaites bertanda merah. - Foto UniversalImagesGroup/UIG/Getty.

Sabtu, 18 Disember 2021

Matahari kini tidak stabil disebabkan letusan bintang lain berjarak 110 tahun cahaya dari Bumi

Matahari kini tidak stabil disebabkan letusan bintang lain berjarak 110 tahun cahaya dari Bumi


Ahli astronomi mengeluarkan amaran mengenai keadaan Matahari yang dikatakan kini tidak stabil. Suar suria atau ledakan besar dalam atmosfera Matahari kini semakin kerap berlaku, lapor laman berita Wion News 16 Disember 2021.


Mereka berkata, keadaan itu berlaku selepas letusan sebutir bintang yang dikenali sebagai Bintang Naga atau EK Draconis. Bintang kerdil itu terletak pada jarak 110.71 tahun cahaya dari Bumi.


Cahaya bergerak pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat. Saintis-saintis sebelum ini menyatakan bahawa suar suria menghamburkan jisim yang mempengaruhi alam sekitar di Bumi.


"Penghamburan jisim ini secara teori boleh juga berlaku pada Matahari kita. Pemerhatian ini dapat membantu kami untuk lebih memahami bagaimana peristiwa serupa mempengaruhi Bumi, malah Planet Marikh sejak berbilion-bilion tahun lalu," kata pengarang bersama kajian itu, Yuta Notsu dari Makmal Fizik Atmosfera dan Angkasa Lepas (LASP).


Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Nature, menunjukkan bahawa bintang merah kerdil jenis M adalah tidak stabil seperti yang disangkakan sebelum ini. Bintang-M merujuk kepada bintang yang banyak terdapat di cakerawala dan bintang paling kecil yang mempunyai bahan bakar hidrogen.


Bintang jenis ini biasanya mempunyai jisim sekitar 0.6 kali ganda berbanding jisim Matahari. Bagaimanapun, Matahari kelihatan kurang aktif daripada bintang serupa dari segi variasi kecerahan yang disebabkan oleh tompok Matahari dan fenomena lain.


Penyelidik-penyelidik berkenaan berkata, bahawa mereka melakukan kajian terhadap 369 bintang yang serupa dengan Matahari untuk melihat suhu permukaan, saiz, dan tempoh putarannya.


Kajian itu menunjukkan bintang-bintang tersebut secara purata memaparkan perbezaan kecerahan lima kali ganda lebih banyak daripada Matahari. Matahari mengambil masa kira-kira 24 hari setengah untuk melengkapkan putaran pada paksinya.


"Perubahan kecerahan ini disebabkan oleh bintik-bintik gelap pada permukaan bintang yang berputar," kata ahli astronomi, Timo Reinhold dari Institut Penyelidikan Sistem Suria Max Planck di Jerman.


Matahari secara ringkasnya adalah sebiji bola panas terdiri daripada gas hidrogen dan helium. Ia adalah bintang bersaiz biasa yang terbentuk lebih 4.5 bilion lalu dan kini dikatakan mencapai separuh usianya.


Matahari mempunyai diameter sekitar 1.4 juta kilometer, manakala suhu permukaannya adalah kira-kira 5,500 darjah Celsius.


Dua gambar yang diambil berturut-turut merakam fenomena suar suria yang kembang di Matahari. - Foto Wikipedia.

Khamis, 25 November 2021

Hujan Batu Dan Salji Turun Lagi Di Arab Saudi

Hujan Batu Dan Salji Turun Lagi Di Arab Saudi


Bahagian utara Arab Saudi dilitupi lapisan hujan batu dan salji halus sejak Ahad lalu ketika suhu menjunam kepada kira-kira 7 Celcius. Beberapa imej yang tersebar di media sosial menunjukkan salji meliputi bandar Quraiyat yang terletak di Wilayah Al Jawf, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Jordan.


Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi berkata, ribut petir disertai angin kencang dan hujan batu akan turun merentasi Al-Jawf, sempadan utara dan Tabuk serta kawasan pantai di wilayah Madinah, lapor Arab News pada 22 November 2021.


Memetik laporan The National News pada 9 November 2021 pula, Al Shafa, sebuah kawasan di bahagian barat turut dilanda salji dan hujan batu yang lebat sehingga menutupi pergunungan Dhaka dan jalan raya di situ.


Pun begitu, cuaca sejuk, hujan renyai dan hujan ais dengan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi itu bagaimanapun memberi kegembiraan untuk mereka yang jarang melihatnya.


Orang ramai mengambil kesempatan memuat naik gambar dan video hujan ais di padang pasir, di laman sosial, bagi berkongsi kegembiraan serta mengalukan cuaca musim sejuk.



Mereka juga sanggup memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk mandi hujan selain menadah hujan dan hujan ais di tangan mereka.


"Ia adalah satu kejutan yang menyenangkan. Kami memandu ke wilayah timur dari Riyadh untuk hujung minggu dan dalam perjalanan pulang, hujan tiba-tiba turun.


"Kami mengalami tempoh musim panas yang panjang dan kini akhirnya diberi nikmat musim sejuk. Saya merancang untuk pergi ke London, tetapi tidak perlu lagi. Kami mempunyai cuaca hebat di sini," kata Tala Hamdan, rakyat Arab Saudi.


Pusat Meteorologi Negara melaporkan suhu dijangka menurun di seluruh negara pada minggu akan datang berikutan cuaca buruk dan hujan berpanjangan. Pusat itu juga meramalkan hujan untuk semua kawasan di seluruh negara.


"Berikutan hujan yang melanda kawasan pesisir minggu lalu, angin sejuk dan hujan akan merebak ke kawasan utara dan timur negara, serta Riyadh dan Qassim," kata pusat berkenaan.


Walaupun Arab Saudi, dikenali sebagai negara berpadang pasir yang sentiasa berada dalam keadaan cuaca panas, beberapa kawasan di negara ini sememangnya tidak terkecuali dari dilanda cuaca sejuk dan salji setiap tahun.


Tangkap Layar video menunjukkan salji di beberapa kawasan di Arab Saudi.
Angkasawan rakam imej menakjubkan letusan suria ketika ia mengeluarkan ledakan terbesar

Angkasawan rakam imej menakjubkan letusan suria ketika ia mengeluarkan ledakan terbesar


Seorang angkasawan dari Agensi Angkasa Lepas Eropah berjaya merakam imej letusan suria yang menerangi bahagian utara Bumi, lapor akhbar Daily Star pada 9 November 2021.


Thomas Pesquet yang berkongsikan imej itu di akaun Twitter miliknya berkata, letusan suria tersebut sedang mengeluarkan ledakan terbesarnya ketika rakaman diambil.


"Kami 'dipersembahkan' dengan ledakan terkuat yang ditemui sepanjang melakukan misi di Amerika Utara dan Kanada.


"Ledakan yang menakjubkan itu lebih tinggi dari orbit kami. Kami terbang tepat di atas pusat jajaran, dengan gelombang pantas dan kuat berlaku di sekitarnya," tulis Pesquet di Twitternya.



Penemuan itu dirakam hanya beberapa minggu selepas kejadian letusan suria besar meletus dari Matahari dalam salah satu ribut suria paling kuat pernah direkodkan.


Matahari melepaskan letusan yang paling berkuasa, iaitu suar suria kelas X1 yang memuncak pada 11.35 malam (waktu tempatan), 28 Oktober lepas. Suar suria ialah letusan sinaran besar-besaran dari matahari yang menghantar zarah bercas mengalir keluar dari bintang.


Pakar mengklasifikasikannya dalam sistem huruf, dengan ribut kelas C agak lemah, kelas M lebih sederhana dan suar kelas X antara yang paling kuat. Kelas X menandakan suar paling sengit, manakala nombor itu memberikan lebih banyak maklumat tentang kekuatannya.


"X2 adalah dua kali lebih sengit daripada X1, X3 adalah tiga kali lebih sengit dan seterusnya. Suar yang dikelaskan X10 atau lebih kuat dianggap luar biasa sengit," kata NASA dalam satu kenyataan.


Suar solar terbesar pernah dirakamkan NASA. - Foto Thomas Pesquet/NASA.

Khamis, 11 November 2021

Gerhana Bulan Paling Lama Abad Ini Dijangka Berlaku 19 November

Gerhana Bulan Paling Lama Abad Ini Dijangka Berlaku 19 November


Gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada 19 November ini bakal menjadi gerhana bulan paling lama dalam abad ini. Orang ramai berpeluang menyaksikan fenomena ini yang dijangka berlaku pada petang Jumaat minggu depan.


Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), gerhana bulan itu akan berlaku selama 3 jam dan 28 minit. Pada 2018, gerhana bulan penuh berlaku selama satu jam 42 minit dan 57 saat.


Kebiasaannya, gerhana akan berlangsung kurang dari dua jam, maka fenomena alam yang bakal berlaku pada tengah November ini disifatkan gerhana bulan paling lama.


Gerhana bulan ini juga dikenali dengan nama 'frost moon atau beaver moon'. Ini bermaksud, gerhana bulan kali ini akan menjadi 'blood moon' separa dengan warna kemerahan dapat dilihat pada permukaan bulan.


Blood moon adalah gelaran diberikan untuk fenomena gerhana bulan penuh yang berlaku ketika posisi Bumi terletak tepat antara matahari dan bulan sehingga bayang Bumi menutupi bulan.


"Fenomena gerhana bulan ini boleh dilihat dengan jelas tanpa binokular atau teleskop di beberapa kawasan di seluruh dunia namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar di Malaysia," kata Planetarium Negara menerusi laman Twitter rasmi mereka.


NASA turut menjangkakan sebanyak 179 fenomena gerhana akan terjadi dalam tempoh lapan dekad ini dan secara purata, gerhana mungkin terjadi dua kali dalam setahun.


Pada 19 November ini, dianggarkan hampir 97 peratus bulan akan terlindung dari Bumi. Peristiwa gerhana seterusnya dijangka akan berlaku pada 16 Mei tahun hadapan.