Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aneh. Papar semua catatan

Khamis, 30 September 2021

Banjir Berwarna Merah Seakan 'Darah' Gemparkan Penduduk Kampung Seri Jaya Baru

Banjir Berwarna Merah Seakan 'Darah' Gemparkan Penduduk Kampung Seri Jaya Baru


Kejadian banjir kilat yang melanda Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di Johor Bahru, pagi ini bukan sahaja mengejutkan penduduk kerana air memasuki rumah mereka dengan cepat, namun turut digemparkan dengan aliran air berwarna merah.


Penduduk kampung Azmi Misri berusia 54 tahun berkata, fenomena banjir merah yang melanda di situ, selepas hujan lebat lebih tiga jam awal pagi tadi adalah kejadian pertama yang berlaku.


Beliau yang juga mantan Ketua Kampung Pasir berkata, ia menimbulkan kebimbangan penduduk apabila banjir kilat itu berbau seperti minyak, selain menyebabkan anggota badan menjadi gatal.


"Banjir kilat memang sering melanda kawasan ini apabila hujan lebat bertembung dengan air pasang, namun banjir merah pagi tadi tidak pernah berlaku. Saya dan penduduk di sini, percaya banjir merah ini berpunca dari kilang tekstil berhampiran yang sudah setahun tidak beroperasi.



"Ia berikutan bau minyak yang kuat dipercayai dari mesin dan bahan yang ditinggalkan di situ. Penduduk berharap perkara ini disiasat pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini kepada kesihatan penduduk," katanya.


Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas , Mohd Yazid Abdul Rahman, berkata air banjir kilat awal pagi tadi naik hingga ke paras satu meter, surut dalam kira-kira jam 8.30 pagi tadi.


Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan di perkampungan berkenaan berikutan risau air banjir berwarna merah itu boleh menjejaskan kesihatan penduduk.


"Namun, air merah itu surut dalam tempoh beberapa jam dan tiada masalah lain yang timbul. Penduduk juga tidak dipindahkan ke kawasan lain dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.


Keadaan 'banjir merah' yang menggemparkan penduduk di Kampung Seri Jaya Baru, Tampoi di Johor Bahru.

Jumaat, 24 September 2021

Tular Pokok Kelapa Bercabang Lapan, Ada Yang Mahu Beli Tawar Harga RM4,406

Tular Pokok Kelapa Bercabang Lapan, Ada Yang Mahu Beli Tawar Harga RM4,406


Sebatang pokok kelapa setinggi lapan meter yang tumbuh di Kabupaten Pacitan, Jawa Timur telah menarik perhatian orang ramai kerana keunikannya yang bercabang lapan, lapor Times Indonesia pada 23 September 2021.


Pokok berusia 40 tahun milik Kateno, 56, dari Desa Ploso itu dianggap istimewa kerana kebiasaannya pokok kelapa hanya tumbuh lurus tanpa dahan bercabang. Menurut Kateno, pokok kelapa itu pernah mahu dibeli orang pada harga 15 juta rupiah (RM4,406).


"Seingat saya, benihnya adalah benih biasa seperti kebanyakan pokok kelapa yang selalu saya tanam. Saya tidak sangka apabila tumbuh, ia akan bercabang lapan seperti ini hingga ada yang sanggup membelinya," katanya.


Namun begitu, Kateno menolak tawaran itu dengan baik. Dia menjelaskan bahawa pokok kelapa itu ditanam pada tahun 1980, kerana keunikannya, bapanya berpesan agar pokok tersebut tidak diserahkan kepada orang lain.


Sementara itu, Ketua Kampung Desa Ploso, Agus Cahyono mengakui kisah tular pokok kelapa ini menjadikan desa itu sebagai salah satu lokasi pelancongan popular di Jawa Timur.


Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pemerintah tempatan untuk membuat jalan yang lebih baik untuk ke kampung mereka. Pembinaan jalan raya diharapkan dapat memudahkan orang ramai atau pelancong yang ingin melihat pokok kelapa ini secara langsung.


Agus juga bersyukur kerana Kampung Desa Ploso mempunyai banyak potensi baik dalam sektor pelancongan dan perniagaan yang diuruskan sendiri oleh penduduknya.


Pokok kelapa bercabang lapan milik seorang penduduk Desa Ploso, Jawa Timur yang kini tular. - Foto Times Indonesia.

Ahad, 22 Ogos 2021

Satu Panahan Petir Menyebabkan 550 Kambing Biri-Biri mati Di Georgia

Satu Panahan Petir Menyebabkan 550 Kambing Biri-Biri mati Di Georgia


Media Georgia, Amerika Syarikat baru-baru ini menyiarkan rakaman video menunjukkan lebih 500 ekor kambing biri-biri mati akibat dipanah petir ketika meragut rumput di kawasan pergunungan di Ninotsminda, selatan Georgia.


Memetik laporan Oddity Central pada 20 Ogos 2021, insiden itu berlaku ketika kumpulan kambing berkenaan meragut rumput di padang Gunung Abul, Ninotsminda dekat selatan Georgia pada 9 Ogos lalu.


Pada hari kejadian, pemilik kambing biri-biri Nikolay Levanov, menerima panggilan telefon kecemasan dari pekerjanya memaklumkan ratusan kambing ternakannya maut akibat dipanah petir.


Lebih memeranjatkan Levanov, lebih 400 kambing biri-biri miliknya mati dipanah petir yang sama. Pada 12 Ogos, pihak berkuasa memaklumkan jumlah kambing biri-biri yang mati dalam insiden tersebut berjumlah 550 ekor, termasuk kambing milik penternak lain.


Rakaman video yang tular di tempat kejadian menunjukkan ratusan bangkai kambing biri-biri bergelimpangan atas padang rumput di kawasan pergunungan Abul.


Timbalan Datuk Bandar Ninotsminda, Alexander Mikeladze menyifatkan insiden tersebut sebagai perkara luar biasa, selain tidak menyangka satu panahan petir boleh menyebabkan ratusan haiwan ternakan maut.


"Ini merupakan kes pertama berlaku melibatkan insiden panahan petir menyebabkan ratusan haiwan mati," katanya.


Sementara itu, Levanov dan beberapa penternak lain memohon bantuan kewangan daripada pihak berkuasa Georgia atas kerugian yang mereka alami berhubung insiden berkenaan. Bagaimanapun, pihak berkuasa harus menentukan punca sebenar kematian kambing biri-biri itu.


"Sejujurnya, ini kes pertama. Kami belum mendengar bahawa ribut petir boleh membunuh begitu banyak kambing biri-biri," kata wakil datuk bandar Ninotsminda, Alexander Mikeladze.


Tambahnya, sudah tentu pejabat datuk bandar memberikan sokongan, tetapi pemilik haiwan itu mesti menyampaikan pendapat pakar untuk menentukan secara tepat penyebab kematian ternakan mereka.


Lebih 500 kambing biri-biri mati di padang Gunung Abul, Ninotsminda dekat selatan Georgia.

Khamis, 12 Ogos 2021

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik

Remaja berjaya rakam imej awan berwajah 'syaitan' seakan bertongkatkan pelangi cantik


Seorang remaja berusia 14 tahun dari Australia berjaya merakam imej gumpalan awan yang kelihatan sangat misteri seperti wajah yang menakutkan, lapor Daily Mail pada 10 Ogos 2021.


Kata Jarvis Smallman, imej tersebut di rakam ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Menerusi gambar yang dikongsikan, kelihatan pelangi pada bahagian bawah gumpalan awan dalam corak berpusing itu.


"Gambar itu diambil ketika matahari terbenam selepas tamat waktu persekolahan. Saya gembira melihatnya. Ia adalah satu gambar yang cantik," katanya.


Jarvis memuat naik gambar tersebut pada Instagram miliknya beserta kapsyen 'Awan paling cantik yang pernah saya lihat setakat ini walaupun kelihatan agak menakutkan'.


Gambar itu kemudiannya dikongsi oleh stesen radio ABC South West dan menerima banyak komen positif daripada netizen yang mengagumi kecantikannya.


"Wah, gambar semula jadi yang hebat kerana merangkumi kombinasi wajah 'pelawak', pelangi, yang cantik dan buruk," tulis seorang pengguna.


"Ini membuatkan bulu roma saya berdiri. Menakutkan. Gambar yang hebat," komen seorang lagi netizen.


Gambar tersebut mempunyai imej seperti wajah yang menakutkan serta pelangi yang cantik. - Foto Jarvis Smallman.

Isnin, 2 Ogos 2021

Misteri Cahaya Hijau Muncul Di Ruang Udara Turki Dikaitkan Kemunculan UFO

Misteri Cahaya Hijau Muncul Di Ruang Udara Turki Dikaitkan Kemunculan UFO

Tangkap layar video tular di media sosial.

Tular di internet beberapa klip video memaparkan sebuah objek dipercayai meteor berwarna hijau jatuh di bandar Izmir, Turki, mencetuskan spekulasi mengenai satelit terhempas atau objek terbang tidak dikenali (UFO).


Menurut lapor akhbar The Sun 3 Ogos 2021, insiden yang berlaku di bandar Izimir di Aegean itu berjaya dirakamkan melalui video pada pukul 2 pagi (waktu tenpatan), kelmarin.


Menerusi beberapa klip video, objek berwarna hijau itu dilihat menghilang di belakang bukit, tetapi rakaman lain menunjukkan objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit sebelum mengeluarkan kilauan cahaya hijau yang terang kemudian seolah-olah kelihatan terhempas ke bumi.


Kejadian luar biasa itu dikongsi pengguna media sosial yang membawa kepada pelbagai spekulasi bahawa objek tersebut berkemungkinan adalah sampah angkasa lepas, serpihan satelit dan ada yang mempercayai ia adalah kemunculan UFO.



Menurut saksi, kedengaran bunyi letupan kuat ketika objek tersebut terhempas ke Bumi yang berkemungkinan disebabkan rosak atau pelanggaran dengan atmosfera. "UFO telah dilihat di langit 'PrayforTurkey'," tulis seorang netizen di sosial media.


Spekulasi itu bagaimanapun ditepis seorang profesor astrofizik, Dr. Hasan Ali Dal, yang menjelaskan bahawa insiden tersebut dikenali sebagai 'bebola api' dan berlaku apabila meteor mula terbakar dalam udara.


"Kebiasaannya, ia terbakar di bahagian atas atmosfera, menyebabkan batu angkasa akan hancur sebelum sampai ke tanah dan proses itu boleh kedengaran seperti bunyi letupan.


"Ia boleh dianggap sebagai fenomena yang lebih dikenali ramai sebagai tahi bintang dan kebiasaannya berlaku ketika tempoh masa hujan meteorit," jelasnya.


Ketika ini, Bumi sedang mengalami kejadian hujan meteor Perseid yang kebiasannya berlaku sepanjang bulan Julai dan Ogos setiap tahun.


BACA: Gambar meteor memancarkan cahaya hijau dirakam secara tidak sengaja muncul di langit India.


Objek tersebut dilihat meluncur dengan laju di langit Izmir, Turki sebelum mengeluarkan kilauan cahaya berwarna hijau yang terang. - Foto The Sun.

Sabtu, 17 Julai 2021

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang


Sebuah vila misteri ditemui terdampar secara tiba-tiba di tepi pantai di Costa de Sol, El Salvador, menyebabkan ramai pengunjung berteka teki asal usul bangunan tersebut, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Julai 2021 lalu.


Penduduk tempatan dan pe­lancong keliru berhubung pene­muan tersebut di Pantai La Puntilla baru-baru ini. Bagaima­napun, terdapat teori popular mengatakan bahawa vila itu hanyut dan terus 'menghilang' dalam bencana taufan yang membadai El Salvador lebih 20 tahun lalu.


Akhbar tempatan, La Prensa Grafica melaporkan bahawa beberapa penduduk memberitahu, vila misteri yang tiba-tiba muncul itu merupakan sebuah hotel dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.


Hotel tersebut dibina hanya beberapa meter dari laut sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ia dihanyutkan oleh air laut.


"Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya (hotel) dan itulah akibatnya," kata seorang penduduk tempatan.



Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana hotel tersebut musnah dalam kejadian Taufan Mitch yang telah membadai El Salvador pada tahun 1998 dan mengakibatkan lebih 9,000 kematian.


Kini, bangunan dua tingkat tersebut menjadi tarikan pelancong yang datang ke situ untuk bergambar. Ada antara pengunjung memanjat tingkat atas vila tersebut bagi mendapatkan gambar pemandangan yang lebih cantik.


Bagaimanapun, penduduk setempat, Coralia Sotelo berkata, beberapa kanak-kanak pernah melihat seorang lelaki kulit hitam yang sangat tinggi berkeliaran di sekitar vila tersebut pada waktu malam, menyebabkannya takut untuk menghampiri kawasan itu.


"Saya takut untuk pergi ke situ dan tidak pernah menghampirinya. Beberapa kanak-kanak yang pergi ke pantai itu untuk menangkap penyu pada waktu malam memberitahu mereka ada terlihat lelaki itu," ujarnya.



Khamis, 17 Jun 2021

Penduduk Gempar Bandar Gippsland Diselimuti Sarang Labah-Labah Selepas Banjir

Penduduk Gempar Bandar Gippsland Diselimuti Sarang Labah-Labah Selepas Banjir


Penduduk dikejutkan dengan penemuan jaringan sarang labah-labar besar menyelimuti pokok-pokok dan padang rumput di bandar wilayah Gippsland, wilayah Vistoria, Australia selepas berlaku banjir besar.


Jaringan sarang raksasa yang lebar itu terbentuk setelah kota-kota di negara itu dilanda banjir beberapa waktu lalu. Sebaik sahaja banjir tamat, jutaan labah-labah turut memindahkan sarang mereka dari kawasan yang tergenang air ke pokok-pokok di kawasan kering.


Maka terhasillah satu jaringan hamparan sarang labah-labah ibarat selimut sutera yang menyelimuti pokok-pokok termasuk tanaman penduduk. Fenomena tersebut menciptakan hamparan besar yang halus yang menutupi kawasan antara kota Sale dan Longford.



Pakar serangga di Muzium Victoria, Dr Walker berkata, labah-labah itu menggunakan jalinan tali temali sutera itu untuk menyelamatkan diri dari kawasan yang berair.


"Bagi sesetengah orang, ini adalah mimpi buruk. Bagi saya, itu benar-benar indah. Selimut sutera yang bergelombang di seluruh kawasan tanaman," katanya.


Menurut Walker, untuk menyelamatkan diri, labah-labah yang duduk di tanah perlu segera keluar dengan cara membawa jaringan sarang dan menjaringkan sarang mereka pada tumbuh-tumbuhan.


"Ini juga menunjukkan secara harfiah bahawa puluhan ribu, kalau tidak pun jutaan labah-labah ada di permukaan tanah," ujar Dr Walker.


Seorang penduduk Marco Brunel, wanita berusia 45 tahun yang sudah tinggal selama 10 tahun di kawasan itu, mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat perkara seperti itu.


"Saya tidak tahu apa yang harus saya fikirkan ketika pertama kali melihatnya. Ia seperti alam semula jadi yang aneh," katanya. Sumber: The Age (15/6/2021).


Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.

Labah-labah yang tak terhitung jumlahnya di Longford telah membuat sarang jaringan sutera menyelimuti tumbuh-tumbuhan.