Ahad, 13 September 2026

Langgar anggota URB, polis lepaskan tembakan ke arah tayar kereta pasangan kekasih


Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dinaiki pasangan kekasih selepas kenderaan berkenaan melanggar anggota polis dan motosikal Unit Ronda Bermotosikal (URB) di Jalan Kenari, Bandar Putra, Kulai, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu, anggota URB dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dikatakan sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah.


Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, anggota polis kemudian cuba menahan kereta Perodua Myvi berwarna hitam yang berada dalam keadaan mencurigakan.


"Pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu dinaiki seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan.


"Ketika pemeriksaan mahu dijalankan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri dengan merempuh motosikal URB serta sebuah kenderaan Mazda CX-5. Suspek turut cuba melanggar anggota polis di lokasi kejadian.


"Bagi mempertahankan diri, anggota polis bertugas terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar Perodua Myvi berkenaan. Bagaimanapun suspek berjaya memecut lari dari lokasi," katanya.


Menurut beliau, insiden itu menyebabkan seorang anggota URB cedera ringan di bahagian kaki akibat tersepit selepas motosikalnya dirempuh suspek.


Beliau berkata, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menjalankan siasatan di lokasi menemukan serpihan peluru serta kelongsong di tempat kejadian.


"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai melancarkan operasi khas dan berjaya memberkas pasangan terbabit masing-masing berusia 23 tahun dalam tempoh kurang 24 jam.


"Kedua-dua suspek ditahan berasingan di Bandar Putra dan Kluang antara jam 11.30 pagi hingga 8.30 malam. Polis turut merampas alat kawalan jauh serta Perodua Myvi hitam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya.


Seng Lee berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah, selain semakan mendapati tiada rekod jenayah lampau.


"Motif kejadian masih dalam siasatan dan kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi permohonan reman.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh; Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.


EmoticonEmoticon