Selasa, 25 Ogos 2026

Mayat wanita 62 tahun ditemui mereput dalam tandas, tangan diikat dan kepala ditutup kain


Seorang wanita warga emas dipercayai dibunuh sebelum mayatnya yang sudah mereput ditemukan dalam tandas sebuah rumah kayu dua tingkat di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan pada Selasa lalu.


Kejadian itu terbongkar selepas bau busuk dari sebuah rumah kayu dua tingkat membawa kepada penemuan mayat mangsa berusia 62 tahun dalam keadaan mereput di dalam tandas.


Kedua-dua tangan mangsa ditemukan diikat ke belakang, manakala kepalanya ditutup menggunakan kain dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.


Susulan penemuan itu, polis menahan 10 individu termasuk dua suspek utama dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung bau busuk dari rumah berkenaan.


"Penemuan itu dibuat selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.10 malam berhubung bau busuk yang datang dari rumah berkenaan.


"Mayat mangsa ketika ditemukan sudah mereput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum itu," katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.


Katanya, 10 individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan berusia antara 10 hingga 39 tahun.


Daripada jumlah itu, tiga merupakan warga Filipina manakala tujuh lagi warga tempatan dan kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.


George berkata, hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah mangsa.


"Suspek juga dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami mereka.


"Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian serta beberapa barangan peribadi milik mangsa yang dilarikan suspek," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Lokasi kejadian wanita warga emas dibunuh dalam sebuah rumah di di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon