Pelbagai helah lakonan digunakan segelintir pemandu lori termasuk berpura-pura kenderaan rosak dan melengah-lengahkan arahan pegawai penguat kuasa bagi mengelak daripada dikenakan tindakan pihak berkuasa.
Taktik itu dikesan ketika Operasi Perang Lebih Muatan yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi membanteras kesalahan membawa muatan berlebihan di sekitar ibu negara.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan perjalanan operasi, namun boleh disabitkan di bawah peruntukan Akta 234, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD 2010).
"Sepanjang operasi ini dilaksanakan, JPJ KL turut berdepan beberapa cabaran antaranya pemandu enggan memberi kerjasama dengan memberi alasan kenderaan rosak.
"Selain itu, terdapat pemandu lori yang enggan menimbang kenderaan dan melengah-lengahkan arahan diberikan oleh pegawai penguat kuasa, namun tindakan berkenaan berjaya ditangani dengan baik serta cekap oleh pegawai penguat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, operasi yang dijalankan sejak 14 Oktober hingga 31 Disember depan menumpukan perhatian di kawasan yang dikenal pasti sering digunakan kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan, khususnya dalam sektor kuari, pelabuhan dan perindustrian berat.
"Setakat ini, sebanyak 14 kenderaan ditahan dan disita atas pelbagai kesalahan seperti membawa muatan berlebihan, pelanggaran syarat tahap perkhidmatan, tiada lesen memandu sah serta perlindungan insurans tamat tempoh.
"Daripada jumlah itu, enam pemandu merupakan warga Indonesia dan India, manakala lapan lagi merupakan warga tempatan," jelasnya.
Hamidi berkata, sebanyak 150 kenderaan turut dikenakan kompaun di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sehingga kini, sebanyak 5,967 kenderaan diperiksa dan 2,398 notis saman dikeluarkan ke atas 939 kenderaan yang melanggar undang-undang," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga mengakibatkan kerosakkan jalan raya atau kemalangan.
"Pemantauan dan penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan JPJ KL bagi memastikan keselamatan semua pengguna dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara," jelasnya.


EmoticonEmoticon