Jumaat, 12 April 2024

Peniaga sayur rugi hampir RM1 juta angkara 'scammer'


Seorang peniaga sayur di Cameron Highlands kerugian hampir RM1 juta selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian atau scammer yang menyamar sebagai pegawai bank di Dubai, tahun lalu.


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 69 tahun itu terpedaya selepas dikatakan menerima panggilan melalui aplikasi Facebook daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Barclays Bank of Dubai pada 30 Mac tahun lalu.


Berdasarkan maklumat, katanya, suspek didakwa menawarkan mangsa untuk mengaku sebagai saudara kepada individu yang mendeposit AS$26,700,000 atau kira-kira RM126 juta yang telah meninggal dunia, dengan mangsa dijanjikan 50 peratus daripada tuntutan itu sekiranya bersetuju.


"Suspek telah memberi tawaran kepada mangsa dengan mengaku sebagai saudara kepada individu yang mendeposit AS$26,700,000 melalui bank tersebut yang telah meninggal dunia.


"Tertarik dengan bahagian yang dijanjikan, mangsa bersetuju dengan tawaran tersebut sebelum talian disambungkan kepada 'peguam' untuk urusan selanjutnya.


"Mangsa telah diminta membuat transaksi atas segala bayaran yang dikenakan termasuk cukai, levi, bayaran anti pengubahan wang haram dan sebagainya," katanya melalui kenyataan pada Rabu lalu.


Yahaya berkata, mangsa membuat 70 kali transaksi ke dalam 26 akaun bank yang berbeza bermula 9 Mei 2023 hingga 11 Mac 2024 dengan jumlah keseluruhan RM958,088.


"Mangsa menyedari ditipu apabila gagal menerima sebarang bayaran seperti mana dijanjikan manakala wang simpanan yang 'dilaburkan' turut lesap," katanya.


Beliau berkata, orang ramai yang menerima panggilan meragukan diminta segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.


"Sekiranya diminta untuk memberikan sebarang maklumat perbankan, jangan dedahkan," ujarnya.


EmoticonEmoticon