Rabu, 24 April 2024

Letak kenderaan sembarangan, wanita ludah petugas mengamuk tayar kereta dikunci


Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita mengamuk selepas mendapati keretanya dikunci petugas bandaraya tempatan, lapor akhbar Tribunnews pada 23 April 2024.


Kejadian berlaku di bahu jalan di Jl AP Pettarani, Makassar, wilayah Sulawsi Selatan pada Selasa, 23 April.


Wanita yang memandu kereta jenis Honda HR-V berwarna hitam itu dikatakan meletakkan kenderaannya di kawasan larangan sehingga menghalang laluan, sekali gus menyebabkan kesesakan.


Menerusi rakaman yang dimuat naik di Instagram, wanita berkenaan dilihat menghalang petugas dengan cuba mengambil alat pengunci tayar yang akan dipasang di tayar belakang kereta.


Lebih memburukkan keadaan apabila wanita tersebut meludah ke arah petugas yang merakam video itu dan enggan memohon maaf.


Ketua Bahagian Terminal, Tempat Letak Kereta, Audit dan Pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Makassar, Irwan Sampeang, mengesahkan kejadian itu.


Menurut Irwan, pengunci tayar yang dipasang boleh dibuka selepas membuat pembayaran dan menandatangani surat, serta memohon maaf.


"Ia boleh dibuka apabila dia sudah membayar denda dan memohon maaf kepada anggota saya," kata Irwan.


Video yang berdurasi 3.59 saat itu tular di laman sosial, semalam. - Sumber Tribun News.


Gelagat wanita yang mengamuk selepas keretanya dikunci oleh petugas Dinas Perhubungan Kota Makassar selepas meletakkan kenderaannya di kawasan larangan. - Foto Detik Sulsel.


EmoticonEmoticon