Jumaat, 5 April 2024

Cendawan termahal di dunia mencecah RM5,000 sekilogram


Cendawan matsutake Jepun adalah cendawan termahal di dunia, bernilai sehingga mencecah AS$500 (kira-kira RM2,373) setiap paun (kira-kira 0.4 kilogram), lapor laman berita Oddity Central pada 2 April 2024.


Ia menyaingi harga trufel dan dianggap sebagai satu daripada bahan masakan Jepun yang paling berharga.


Matsutake, atau cendawan mattake turut tumbuh di Semenanjung Korea, di China, dan juga di Amerika Syarikat, tetapi hanya di Jepun, ia banyak dicari untuk dikutip terutamanya di sekitar kawasan Kyoto, kerana harganya yang tinggi.


Walaupun matsutake yang diimport boleh berharga sekitar AS$50 (kira-kira RM237) setiap paun (kira-kira 0.4 kilogram), cendawan Jepun boleh berharga sehingga 10 kali ganda.


Untuk membantu pembeli Jepun membezakan antara matsutake yang diimport dan yang ditanam sendiri, Jepun mempunyai undang-undang yang mewajibkan cendawan yang diimport dicuci daripada kotoran sebelum dikomersialkan, manakala varieti domestik mempunyai rupa yang kasar dan kotor.


Cendawan matsutake Jepun sangat dihargai kerana mempunyai aroma yang kuat, bertekstur daging dan memberikan rasa yang enak.


Matsutake Jepun dihidangkan di restoran mewah di seluruh Jepun, dalam sup, dengan nasi, atau hanya dibakar di atas arang dan dihidangkan dengan garam.


Harganya yang tinggi dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Pertama disebabkan ia sudah semakin berkurangan. Sepanjang 70 tahun yang lalu, hasil tuaian tahunan menurun sebanyak 95 peratus, menjadikan ia makanan istimewa yang jarang ditemukan.


Selain itu, cendawan ini hanya dituai sekali setahun iaitu pada bulan September atau Oktober, ditambah pula ancaman cacing invasif yang memusnahkan habitat cendawan, menyumbang kepada harganya yang tinggi di pasaran.


Kurang daripada 1,000 tan matsutake ditemukan setiap tahun. Cendawan Matsutake tumbuh di atas pokok-pokok pain merah dan perlu dikutip dengan tangan.


Penanaman matsutake secara buatan setakat ini terbukti tidak berdaya maju, kerana ia mempunyai hubungan yang benar-benar simbiotik dengan pokok pain merah. - Sumber Oddity Central.


Tangkap layar daripada video Business Insider menunjukkan cendawan matsutake yang baru dikutip. - Foto Business Insider.


EmoticonEmoticon