Khamis, 4 April 2024

Suspek tikam teman lelaki ketika lakukan hubungan seks ada rekod jenayah


Suspek wanita yang menikam teman lelakinya semasa melakukan hubungan seks sebelum mayat mangsa ditemui di Dataran Lemang, Maniek Urai, Kuala Krai, pada Isnin (1/4/2024) mempunyai rekod jenayah lampau.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semakan lanjut mendapati suspek yang berasal dari Terengganu itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.


"Suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula Rabu sehingga 9 April ini," katanya kepada pemberita, hari ini ketika dihubungi.


Semalam media melaporkan, seorang wanita ditahan selepas dipercayai menikam seorang lelaki menggunakan sebilah pisau pemotong sayur selepas dipaksa melakukan seks oleh mangsa.


Suspek yang berusia 28 tahun itu dikatakan telah menikam mangsa dipercayai kekasihnya sebanyak tiga kali di bahagian perut.


Datuk Muhamad Zaki Harun, semalam berkata pihaknya telah menerima maklumat berkenaan penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di hadapan tandas awam di Dataran Lemang Manek Urai, Kuala Krai kira-kira jam 6.30 petang Isnin lalu.


"Hasil siasatan awal terhadap mangsa yang berusia 45 tahun itu mendapati ada kesan tikaman pada bahagian perut, namun tiada sebarang kesan darah dijumpai di lokasi dia ditemui.


"Hasil semakan rekod mendapati mangsa merupakan suspek bagi kes kurungan salah terhadap seorang wanita di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan.


"Siasatan polis juga mendapati kejadian berlaku pada 28 Mac lalu yang mana mangsa telah membawa suspek dari Sungai Tong, Setiu, Terengganu ke beberapa kawasan di sekitar daerah Kuala Krai.


"Mangsa dipercayai telah melarikan diri dalam keadaan cedera setelah wanita berkenaan berjaya melepaskan diri daripada pengawasannya.


"Punca kematian mangsa disebabkan luka yang terdapat di bahagian perut kesan daripada tikaman yang menembusi abdomen serta terkena usus najis," katanya.


Muhamad Zaki memberitahu, mangsa juga tidak mendapatkan rawatan awal di pusat kesihatan sehingga menyebabkan luka dalam menjadi parah akibat jangkitan kuman.


"Mangsa turut mempunyai beberapa rekod lampau berkait kes jenayah dan narkotik," ujarnya. - Sumber Harian Metro.


Lokasi mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di hadapan tandas awam di Dataran Lemang Manek Urai, Kuala Krai. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon