Khamis, 7 Mac 2024

Lelaki 'skodeng' bini orang mandi dicekup polis


Tindakan seorang lelaki mengintai wanita mandi di kediamannya di Kampung Jawa, Klang mengundang padah selepas dicekup, pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu diketahui suami wanita terbabit selepas menerima panggilan daripada jirannya kira-kira jam 9.30 malam apabila melihat suspek menghendap di tingkap tandas rumah teres itu.


Menurutnya, suami wanita terbabit yang tidak berada di rumah segera menghubungi isterinya berusia 28 tahun itu sebelum dimaklumkan baru selesai mandi.


"Suspek yang dihampiri oleh jiran mangsa kemudian terus melarikan diri.


"Suami mangsa segera pulang ke rumah sebelum berusaha mengesan suspek terbabit berdasarkan butiran yang diterima daripada jirannya hingga berjaya menangkapnya di belakang sebuah restoran di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Beliau berkata, polis yang menerima maklumat telah ke lokasi terbabit untuk membuat tangkapan bagi tindakan lanjut.


Katanya, suspek warga tempatan berusia 20 tahun direman tiga hari untuk siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.


"Pegawai penyiasat kes dalam usaha untuk melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut," ujarnya.


Tegasnya, polis mengingatkan orang ramai agar menjaga tingkah laku dan keharmonian hidup bermasyarakat supaya ketenteraman awam terpelihara.


Tindakan seorang lelaki mengintai wanita mandi di kediamannya di Kampung Jawa, Klang mengundang padah selepas dicekup, pada Isnin. (Gambar kecil: Hoong Fong). - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon