Isnin, 26 Februari 2024

Dua mahasiswa maut dipanah petir ketika berkhemah


Dua mahasiswa lelaki Fakulti Kejuruteraan Geologi, Universiti Padjajaran (Unpad) maut selepas disambar petir ketika sedang berkhemah di Tapak Perkhemahan Batu Kuda, di Bandung, Indonesia pada Jumaat lalu.


Dalam kejadian itu, Mitzelion Rayi Adimastya Putra, 20 dan Bangkit Alyuda Prasetyo, 19 tahun meninggal dunia ketika dirawat di hospital.


Menurut Detik.com melaporkan, ketika kejadian mahasiswa berkenaan sedang berkhemah bersama dua ahli baharu kumpulan pencinta alam sebagai satu daripada tugasan yang perlu dilaksanakan.


Ketua Pesuruhjaya Polis Bandung, Kusworo Wibowo berkata, kumpulan itu tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang (WIB) dan mendirikan khemah.


"Ketika kejadian, hujan lebat disertai petir. Mereka cuba keluar dari khemah, namun disambar petir menyebabkan tiga daripada mereka terbaring dan menjerit kesakitan.


"Mereka kemudian dibawa ke Hospital AMC, bagaimanapun Mitzelion dan Bangkit disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi penuntut Adinda Difa masih dirawat," katanya kepada detikJabar pada Sabtu (24/02/2024).


Ketua Polis Cileunyi, Pesuruhjaya Suharto berkata, kedua-dua jenazah itu telah disembahyangkan di masjid Unpad. Kemudian kedua-dua mayat itu dibawa oleh keluarga mereka untuk dikebumikan.


"Ya, kini kedua-duanya telah disolatkan. Kemudian keluarga membawa mereka untuk dikebumikan di kampung halaman," jelasnya. - Sumber Detik.com


Dua pelajar jurusan Kejuruteraan Geologi, Universitas Padjadjaran meninggal dunia selepas dipanah petir ketika berkhemah. - Ilustrasi petir (Foto: Getty Images/bgfoto).


EmoticonEmoticon