Ahad, 7 Mei 2023

Penduduk kampung berpesta kutip wang tunai ditemui dalam longkang


Penduduk sebuah kampung di daerah Rohtas, dalam negeri Bihar, India terkejut apabila mereka menemui bungkusan berisi wang tunai, lapor portal berita Bussiness Today pada 7 Mei 2023.


Bungkusan itu ditemui di dalam sebuah longkang di Kampung Moradabad pada pagi hari Sabtu, 6 Mei 2023.


Video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan sebilangan penduduk mengambil wang kertas pelbagai denominasi termasuk 2,000 rupee (RM108.58), 500 rupee (RM27.14), 100 rupee (RM5.43) dan 10 rupee (RM0.54).


Tidak lama kemudian, orang ramai berpusu-pusu ke tempat itu untuk mengambil wang kertas tersebut, kata beberapa penduduk kampung kepada agensi berita IANS.


Pihak berkuasa kini menyiasat kejadian itu bagi menentukan ketulenan wang kertas itu dan untuk mengetahui siapa yang membuangnya ke dalam longkang. Pentadbiran daerah telah melancarkan siasatan berhubung perkara itu.


Insiden itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan wang kertas palsu membanjiri pasaran. Wang palsu telah menjadi masalah utama di India, dengan Reserve Bank of India (RBI) melaporkan peningkatan dalam edaran mata wang palsu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.


RBI telah berulang kali memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati semasa mengendalikan mata wang dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa. - Sumber Business Today.


Sejumlah penduduk mengambil wang kertas di dalam sebuah longkang di kampung Moradabad pada Sabtu lalu. - Foto Pagan / Twitter.


EmoticonEmoticon