Sabtu, 6 Mei 2023

Jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat terhempas di Selatan Seoul


Sebuah jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat (AS) terhempas semasa latihan pada hari Sabtu berhampiran pangkalan tentera utama AS di Korea Selatan, lapor laman berita CNN.


Menurut tentera AS dalam satu kenyataan, kejadian berlaku awal pagi namun tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda.


"Sebuah pesawat pejuang F-16 Falcon yang ditugaskan kepada Sayap Pejuang Ke-8 terhempas di kawasan pertanian berhampiran Pangkalan Udara Osan pada kira-kira 9.45 pagi (waktu tempatan) di wilayah Gyeonggi. Nahas itu berlaku semasa latihan rutin.


"Juruterbang jet itu selamat dikeluarkan sebelum nahas dan sudah dibawa ke hospital berhampiran. Siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca nahas," jelas kenyataan itu.


Gabenor Gyeonggi, Kim Dong-yeon menerusi akaun Twitter miliknya memaklumkan, jabatan bomba tempatan dikerah ke lokasi nahas dan berjaya memadamkan kebakaran.


Media tempatan berkata, kemalangan itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kerosakan kerana ia berlaku di kawasan luar bandar.


"Tiada rumah orang awam berhampiran nahas itu, menyebabkan tiada lagi kerosakan selain jet," kata seorang pegawai polis yang dipetik oleh agensi berita Yonhap.


Washington merupakan sekutu keselamatan utama Seoul dan menempatkan kira-kira 28,500 tentera di Korea Selatan untuk membantu melindungi negara itu daripada ancaman Korea Utara.


Pangkalan Udara Osan ialah pangkalan Tentera Udara AS yang paling dekat dengan Korea Utara, hanya kira-kira 64 kilometer dari sempadannya. - Sumber CNN.


Jet pejuang F-16 milik Amerika Syarikat terhempas di kawasan pertanian di selatan Seoul. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon