Rabu, 15 Mac 2023

Suami saman isteri sembunyi wang kemenangan loteri lebih RM1.5 juta


Seorang lelaki di Thailand meminta tolong daripada seorang peguam popular untuk memfailkan saman terhadap isterinya selepas dia menuduh isterinya menyembunyikan wang kemenangan loteri 12 juta baht (RM1,556,653) daripada pengetahuannya, lapor portal berita Thaiger pada 14 Mac 2023.


Wanita itu bertegas bahawa dia telah berpisah dengan suaminya beberapa tahun sebelum memenangi wang loteri tersebut dan berkahwin semula. Pengadu bagaimanapun mendakwa bahawa dia tidak tahu menahu tentang perpisahan yang dimaksudkan.


Lelaki berumur 47 tahun dinamakan Narin itu berjumpa peguam Narong Kaewphet pada Sabtu, 11 Mac lalu untuk memfailkan saman terhadap isterinya.


Menurut Narin, dia mengahwini isterinya, Chaweewan, 43, 20 tahun lalu di wilayah Chaiyaphum, rantau Isaan dan mereka mempunyai tiga anak perempuan.


Katanya, keluarga berkenaan mempunyai hutang lebih 2 juta baht (RM259,442) justeru, mereka memilih berpindah ke Korea Selatan dalam tahun 2014 untuk bekerja mendapatkan wang bagi membayar balik hutang tersebut.


Narin terus bekerja di korea Selatan dan menghantar antara 27,000 (RM3,502) hingga 30,000 baht (RM4,151) setiap bulan kepada keluarganya selepas Chaweewan pulang ke Thailand untuk menjaga anak-anak perempuan mereka.


Lelaki itu kemudian mengetahui daripada anak perempuannya bahawa Chaweewan memperoleh wang loteri 12 juta baht tetapi menyembunyikan kemenangan itu daripadanya. Narin cuba menghubungi isterinya tetapi tidak diendahkan. 


Narin kemudian pulang ke Thailand pada 3 Mac lalu untuk berdepan dengan Chaweewan tetapi mendapati dia telah berkahwin dengan kekasih baharu, kata seorang pegawai polis.


"Saya terkejut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya kecewa. Saya tidak menyangka isteri saya selama 20 tahun akan melakukan ini kepada saya. Saya hanya mempunyai 60,000 baht (RM7,783) dalam akaun bank saya kerana saya memberi wang kepadanya setiap bulan. Saya mahu menuntut keadilan dan wang yang saya layak," kata Narin.


Lelaki itu mengaku tidak menandatangani sijil perkahwinan rasmi dengan isterinya. Peguamnya bagaimanapun menegaskan bahawa Narin mempunyai hak terhadap wang itu walaupun mereka tidak mempunyai sijil perkahwinan rasmi.


Saudara-mara dan orang lain tahu tentang hubungan mereka dan itu sudah cukup untuk menjadikannya rasmi, katanya.


Chaweewan pula memfailkan aduan terhadap Narin kerana memfitnah. Dia menegaskan bahawa dia tidak menyembunyikan hadiah daripada Narin. Dia menyatakan bahawa Narin membuat panggilan telefon untuk berpisah dengannya beberapa tahun lalu dan jirannya mengetahuinya.


Dia juga mendakwa bahawa Narin tidak pernah menghantar wang sebanyak itu kepadanya, hanya 3,000 (RM389) hingga 4,000 baht (RM519) ke akaun bank anak perempuan mereka.


Peguam, Ronnarong menjelaskan, walaupun tanpa sijil perkahwinan rasmi, Narin berhak mendapat wang itu sekiranya hubungan mereka jelas dan diakui saudara dan rakan. Mana-mana aset yang mereka perolehi semasa hubungan mereka mesti dikongsi apabila mereka berpisah atau bercerai. - Sumber The Thaiger.


Pengadu bersama peguam yang mahu membantunya. - Foto THAIGER.


EmoticonEmoticon