Jumaat, 19 Ogos 2022

Curi dan pakai seluar dalam wanita, lelaki dipenjara 24 bulan


KOTA KINABALU - Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis (18 Ogos 2022) menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencuri pakaian dalam wanita minggu lalu.


Majistret, Jessica Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman berkenaan ke atas Muhammad Rizal Richard Abdullah, 39, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Mengikut kertas pertuduhan, duda berkenaan dituduh mencuri pakaian dalam wanita di Taman Puncak, Menggatal, pada 11 Ogos lalu sekitar pukul 1.39 pagi.


Berdasarkan fakta kes, kejadian berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tertuduh mencuri pakaian dalam wanita menggunakan sebatang kayu di beranda belakang rumah mangsa.


Tertuduh kemudian ditahan di rumahnya pada 13 Ogos lalu dan pemeriksaan menemui 10 jenis pakaian dalam wanita berada dalam simpanan tertuduh.


Dalam pada itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nabila Norsahar yang mewakili tertuduh meminta hukuman ringan memandangkan anak guamnya telah mengaku bersalah dan menyesal atas perbuatannya.


Nabila memaklumkan tertuduh sudah bercerai dan mempunyai dua anak selain tidak bekerja. Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Inspektor Albert Basiri memohon hukuman setimpal kerana lelaki itu melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap wanita.


"Kes ini melibatkan kepentingan awam khususnya wanita. Semasa ditahan tertuduh didapati memakai seluar dalam wanita itu.


"Tertuduh juga mengaku bahawa dia berada dalam keadaan sedar dan waras ketika melakukan jenayah itu untuk memuaskan nafsunya," katanya.


Tertuduh ketika hadir di Majistret Kota Kinabalu pada Khamis. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon