Ahad, 31 Julai 2022

Serpihan roket China 'menerangi' ruang udara Sarawak, terhempas sekitar Laut Sulu


Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan serpihan roket Long March 5B milik negara China melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan sekitar Sarawak.


Menerusi kenyataan dikeluarkan, pemantauan secara berterusan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui MYSA serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China memaklumkan, kemasukan semula serpihan tersebut ke ruang udara bumi dikesan pukul 12.55 tengah malam tadi, waktu Malaysia.


"Serpihan roket itu telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar turut melintasi ruang udara Malaysia. Ia dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk melintasi ruang udara sekitar Sarawak," katanya hari ini.


Dalam pada itu, MYSA memaklumkan, sisa serpihan yang terbakar direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu iaitu kawasan antara latitud 9.10 utara dan longitud 119.0° timur.


Serpihan angkasa lepas itu berasal daripada roket Long March 5B yang dilancarkan pada 24 Julai lalu untuk menghantar modul Wentian ke Stesen Angkasa Lepas Tiangong milik China.



Memetik Info Sibu, yang turut melaporkan perkara tersebut secara 'live' di saluran Youtube meminta agar penduduk Sarawak yang terjumpa dengan sisa itu untuk menjauhinya demi kesihatan kerana dipercayai terdapat sisa radioaktif.


Menurut Info Sibu lagi, terdapat goresan panjang 'muncul' di udara dipercayai sisa wap air yang terbentuk daripada haba panas sisa serpihan tersebut yang dipercayai berkecai di situ.


Goresan daripada serpihan roket China berkenaan muncul kira-kira sejam selepas penduduk sekitar Sarawak dilapor terdengar bunyi letupan kuat di udara.


Terdahulu, tular di media sosial penduduk Sarawak gempar kewujudan objek di ruang udara dengan gambar dan video dikongsikan mereka yang menyaksikan kejadian itu.


Roket luar kawalan milik China melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan sekitar Sarawak. - Foto tangkap layar video tular.

Roket Long March 5B milik China. - Foto fail CNS/AFP) /China OUT.


EmoticonEmoticon