Khamis, 3 Februari 2022

NASA Mahu 'Tenggelamkan' Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa Di Lautan Pasifik


NASA mendedahkan rancangan untuk menenggelamkan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) di kawasan lautan paling terpencil yang juga dikenali sebagai 'perkuburan kapal angkasa', lapor akhbar Mirror UK pada 1 Februari 2022.


Rancangan itu dijangka dilaksanakan pada Januari 2031 bermula dengan mengeluarkan pusat kemudahan seberat 465 tan itu daripada orbit secara berperingkat, sebelum menenggelamkannya di selatan Lautan Pasifik yang dinamakan Point Nemo, bahasa Latin untuk 'tiada sesiapa'.


Kawasan itu jauh daripada pusat penempatan manusia yang sesuai untuk menenggelamkan satelit, stesen angkasa dan roket yang telah dinyah tauliah kerana ia merupakan titik paling jauh dari daratan di Bumi.


Berdasarkan keadaan semasa, NASA memaklumkan, ISS mampu bertahan sehingga 2030. Kira-kira 244 angkasawan telah melangkah ke makmal terapung itu sejak dilancarkan pada 1998 yang direka untuk beroperasi selama 15 tahun, dan bakal berkhidmat selama lebih 30 tahun apabila ia ditenggelamkan kelak.


Rancangan untuk 'menamatkan riwayat ISS' bermula selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bersetuju menyokong operasi stesen itu sehingga 2030 dan menjelang itu, satu stesen angkasa lepas baharu perlu dibangunkan.


"ISS sudah banyak berjasa kepada manusia dan industri angkasa lepas, selain membolehkan kita meneroka alam semesta dengan lebih jauh. Berdasarkan pemeriksaan keselamatan, NASA yakin bahawa ISS mampu bertahan sehingga 2030," jelas agensi itu.


Ketika proses penamatan operasinya, sejumlah kapal angkasa tanpa penumpang akan dihantar ke ISS untuk membantunya 'bergerak ke Bumi'. Semasa memasuki atmosfera Bumi, sebahagian daripada struktur ISS akan terbakar sehingga jatuh ke lautan.


Kata agensi itu lagi, mereka berharap syarikat swasta seperti Jeff Bezos' Blue Origin dan Elon Musk's SpaceX akan mengambil alih kerja itu pada masa hadapan.


"Sektor swasta secara teknikal dan kewangan mampu membangun dan mengendalikan destinasi orbit Bumi rendah komersial, dengan bantuan NASA.


"Kami berharap untuk berkongsi pengajaran dan pengalaman operasi kami dengan sektor swasta untuk membantu mereka membangunkan destinasi yang selamat, boleh dipercayai dan kos efektif di angkasa," kata pengarah ruang komersial Phil McAlister.


Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto AFP.


EmoticonEmoticon