Ahad, 23 Januari 2022

Tengkorak manusia berusia 10,000 tahun ditemui di Perlis


Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis pada Oktober 2021 lalu. Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah ribuan tahun dahulu.


Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong.


Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.



"Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah. Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia.


"Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi, berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu.


"Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul pula digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik berdasarkan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.


"Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu," katanya selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong pada 14 Oktober tahun lalu.


Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah. Dia juga berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan tersebut supaya mereka dapat membuat kajian lanjut.


"Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab," katanya.


Sehubungan itu, beliau memohon agar orang ramai mematuhi perundangan Akta Warisan Kebangsaan 2005 (AWK 2005) (Akta 645) dengan melaporkan segera sebarang jumpaan bersejarah kepada Pegawai Daerah atau Pesuruhjaya Warisan seperti yang termaktub dalam Seksyen 47 AWK 2005.





EmoticonEmoticon