Isnin, 29 November 2021

Dah Tegur, Lelaki Tetap Curi Tiang Besi Dan Kabel Telefon Akhirnya Ditahan Polis


Seorang lelaki diberkas polis hari ini selepas dipercayai terbabit dalam kes curi tiang besi dan kabel telefon milik Telekom Malaysia (TM) di Manjoi, Ipoh. Perbuatan lelaki itu tular di media sosial sejak semalam menerusi satu rakaman video.


Berdasarkan video itu, individu yang merakam aksi lelaki tersebut menegur tindakannya menurunkan kabel telefon menggunakan galah.


Namun lelaki berkenaan tidak mengendahkan teguran sebaliknya terus cuba menurunkan kabel tersebut dan membalas dengan berkata dia tidak menganggu individu yang menegurnya.


"Aku tidak kacau hang pun, pergi. Aku pergi ambil tempat lain pun dorang tidak kacau dan sudah 10 aku ambil," katanya.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 41 tahun yang mempunyai 11 rekod jenayah lampau itu ditahan pada pukul 12.15 tengah malam tadi di sebuah bangunan kosong di Manjoi.


Katanya, suspek ditahan susulan laporan dibuat seorang lelaki pada pukul 9.16 malam tadi. Bertindak atas laporan tersebut, polis mengesan dan menangkap suspek serta merampas beberapa barang kes.


"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai 11 rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah. Hasil siasatan awal mendapati suspek melakukan perbuatan itu disekitar kawasan Manjoi dan Jelapang," katanya di sini hari ini.


Menurut beliau, suspek direman tiga hari mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


Terdahulu, dua video berdurasi 34 saat dan satu minit lima saat tular di aplikasi TikTok memaparkan gelagat seorang lelaki mencuri tiang besi dan kabel sambil ditegur seorang lelaki.


Tangkap layar rakaman video tular seorang lelaki mencuri tiang besi dan kabel di Manjoi, Ipoh, Perak.


EmoticonEmoticon