Rabu, 10 Mac 2021

Ratusan lubang misteri muncul, ribuan penduduk risau 'ditelan bumi'


Ribuan penduduk di Croatia hidup dalam ketakutan 'ditelan bumi' apabila semakin banyak lubang besar muncul akibat mendapan tanah. Kini, sudah beratus-ratus lubang dikesan tebentuk dipercayai akibat dari gempa bumi yang pernah melanda kawasan itu penghujung tahun lalu.


Lapor Oddity Central, pada 29 Disember 2020 tahun lalu, satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Ritcher melanda Croatia sehingga menjejaskan 116,000 orang terutamanya di Petrinja, Sisak dan Glina dan beberapa kawasan luar bandar. 


Lebih 35,000 tempat tinggal dan 4,550 premis perniagaan rosak akibat gegaran kuat serta gempa susulan, dan lima kematian dilaporkan disebabkan fenomena semula jadi tersebut.


Kini, penduduk yang tinggal di kawasan terjejas amat bimbang dengan ratusan lubang besar yang terus muncul. Menurut penduduk kampung Mecencani, kira-kira 25 kilometer (km) dari pusat gempa, lubang besar pertama terbentuk dua hari sebelum bencana alam itu berlaku.


Namun, jelas penduduk berkenaan, 10 hari selepas kejadian gempa bumi, terdapat 15 lubang besar terbentuk di kampung mereka, manakala 15 lagi muncul di kawasan sekitarnya.


Ketua pasukan petugas yang mengendalikan pengurusan krisis bencana, Tomo Medved memberitahu Croatia Radio bahawa jumlah lubang besar terbentuk di majlis perbandaran Kukuruzari, di sekitar kawasan di Petrinja meningkat daripada 40 yang dilaporkan minggu lalu kepada 70.



"Jumlahnya amat besar sehingga ia terus meningkat. Kami kini berdepan cabaran untuk mencari penyelesaian agar penduduk yang tinggal di kawasan ini tidak berada dalam bahaya. Malah, kebanyakan lubang besar itu berada di sekitar kawasan kejiranan," katanya.


Buat masa ini, pihak berkuasa sedang memindahkan penduduk paling terjejas ke perumahan sementara yang dibina. Pasukan petugas yang dikerahkan ke kawasan terjejas memberitahu beberapa lubang besar yang diteliti selebar beberapa meter dengan saiz paling besar berukuran hingga 30 meter.


Lubang besar paling dalam berukuran kira-kira 15 meter namun disebabkan kebanyakannya dipenuhi air, ia menyukarkan untuk menganggarkan ukuran sebenar kedalamannya.


Antara ratusan lubang besar yang terbentuk kesan daripada gempa bumi kuat yang melanda di Croatia penghujung Disember tahun lalu.

Antara ratusan lubang besar yang terbentuk kesan daripada gempa bumi kuat yang melanda di Croatia penghujung Disember tahun lalu.

Antara ratusan lubang besar yang terbentuk kesan daripada gempa bumi kuat yang melanda di Croatia penghujung Disember tahun lalu.


EmoticonEmoticon