Khamis, 11 Mac 2021

Lelaki tunjuk kemaluan kepada tiga wanita rupanya murung

Suspek berjaya ditahan kira-kira 10 minit
selepas menunjukkan kemaluannya.


Polis
menahan seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental selepas bertindak di luar kawalan dengan menunjukkan kemaluannya kepada tiga orang jurujual wanita di sebuah premis menjual alat telekomunikasi di Jalan Pintu Pong di Kota Bharu, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, suspek berusia 26 tahun ditahan selepas polis menerima laporan daripada salah seorang mangsa berusia 31 tahun.


Katanya, siasatan mendapati, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika mangsa sedang bekerja bersama dua rakannya di kaunter premis tersebut.


"Mangsa secara tiba-tiba didatangi oleh lelaki terbabit dalam keadaan separuh bogel sambil memegang kemaluannya.


"Lelaki terbabit kemudian melompat di atas kaunter dan masuk ke dalam kawasan kedai. Terkejut melihat tindakan itu, ketiga-tiga jurujual itu terus keluar dari kedai dan menghubungi pihak polis," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Wan Khairuddin berkata, selepas menerima maklumat, polis segera menjalankan gerakan mengesan lelaki terbabit sebelum berjaya menahannya kira-kira 10 minit kemudian berhampiran lokasi kejadian.


Katanya, suspek terus dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Siasatan awal, mendapati suspek tinggal bersama keluarga di rumahnya yang terletak berhampiran kedai berkenaan.


Menurut beliau, sebelum ini, lelaki itu pernah dirawat di HRPZ II kerana mengalami masalah kemurungan dan mental, malah dia juga baru seminggu keluar dari wad hospital tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan.


Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi lebih 2 minit yang memaparkan perbuatan aneh seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya kepada tiga orang jurujual wanita di sebuah premis menjual alat telekomunikasi.


Tangkap layar video tular tiga wanita melarikan diri selepas cuba diserang seorang lelaki di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu semalam.

Tangkap layar video seorang lelaki cuba mengejar tiga jurujual wanita di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu semalam.


EmoticonEmoticon