Rabu, 30 Jun 2021

Punca 'Lembaga Hitam' Ceroboh Kampung, Gian Bau Durian Rupanya

Gambar Hiasan.

Pada awal bulan Jun lalu, penduduk Kampung Jimah Lama, Seremban, dikejutkan dengan kelibat seekor beruang matahari yang kelihatan di atas sebatang pokok di kampung tersebut.


Selepas kejadian itu, kebanyakan penduduk kampung mula risau untuk keluar dari rumah dan masing-masing berhati-hati kerana khuatir terserempak dengan haiwan berkenaan.


Susulan itu, perhilitan yang menerima aduan daripada penduduk kampung yang melihat haiwan itu bertindak memasang perangkap. Beruang matahari itu dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.


Selepas hampir dua minggu perangkap itu di pasang, seekor beruang matahari jantan seberat 40 kilogram akhirnya berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan selepas memasuki perangkap tersebut.


Pengarah Perhilitan negeri Wan Mat Wan Harun berkata, perangkap itu dipasang sejak 18 Jun lalu, susulan aduan penduduk kampung mengenai kelibat seekor beruang matahari di lokasi berkenaan pada 12 Jun.


"Haiwan itu memasuki perangkap pada jam 7.15 malam (kelmarin). Sebaik menerima maklumat itu, tujuh anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke kampung berkenaan untuk memeriksa perangkap itu.


"Beruang itu sesat terutama ketika musim durian ini. Berkemungkinan bau durian menarik perhatian beruang matahari itu keluar dari habitat asal," katanya.


Beliau berkata beruang itu berada dalam keadaan sihat dan dirawat oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke kawasan hutan simpan perlindungan hidupan liar di negeri ini pada pagi semalam bagi memastikan spesisnya terjaga.


Jelasnya, beruang matahari tidak akan bertindak agresif sekiranya tiada sebarang provokasi dikenakan ke atas haiwan berkenaan bagaimanapun ia tetap berbahaya kerana memiliki gigi dan kuku yang tajam.


Othman Shamsuddin pada 20 Jun lalu menunjukkan kawasan yang pernah dilihat kelibat beruang matahari di Kampung Jimah Lama. - Foto Utusan.


EmoticonEmoticon