Khamis, 3 Jun 2021

Pesan ayam goreng, yang sampai tuala celup tepung


Seorang wanita di Filipina mendakwa menu ayam goreng yang dipesan dari sebuah restoran makanan segera rupanya mengandungi tuala goreng ranggup. Alique Perez memuat naik berhubung insiden itu dalam akaun media sosialnya, semalam.


Perez memberitahu, dia memesan ayam goreng itu dari restoran makanan segera Jollibee di Taguig, melalui perkhidmatan penghantaran makanan Grab. Menurutnya, dia sukar memotong makanan yang disangka ayam goreng itu untuk anaknya.


Apabila dia merobek lapisan tepung goreng yang menyaluti permukaan makanan itu, dia sangat terkejut kerana mendapati ia bukanlah isi ayam sebaliknya sehelai tuala pengelap berwarna biru yang disalut tepung dan digoreng. 


"Perbuatan ini sangat menjijikkan. Bagaimana anda boleh memasukkan tuala pengelap dalam adunan tepung dan menggorengnya seperti ayam," tulis Perez di laman Facebook bersama gambar dan video.


"Sebelum ini, saya merasakan semua kejadian kotor yang dilihat di media sosial adalah lakonan semata-mata namun sekarang saya sedar, ia sememangnya boleh berlaku," katanya.



Tambah Perez, dia tidak dapat membayangkan minyak tuala goreng itu digunakan berulang kali untuk pesanan pelanggan lain dan mungkin mencemari hidangan mereka.


Sementara itu, dalam satu kenyataan, Jollibee memberitahu bahawa kedai dari mana Perez memesan makanannya akan ditutup selama tiga hari sementara pihaknya menyiasat perkara itu.


 "Kami sangat prihatin dengan masalah ini dan telah melakukan siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu. Sayang sekali berlaku kesilapan dari prosedur penyediaan makanan standard Jollibee disebabkan kecuaian pihak kakitangan kedai.


"Oleh kerana kejadian ini, kami telah mengarahkan cawangan Jollibee Bonifacio ditutup selama tiga hari bermula esok, 3 Jun, untuk mengkaji secara menyeluruh pematuhan prosedur untuk memastikan bahawa ini tidak akan berulang.


"Kami akan juga mengirimkan peringatan ke semua kedai untuk memastikan kepatuhan ketat terhadap makanan Jollibee terutamanya sistem penyediaan.


"Kami di Jollibee berkomitmen untuk mengambil langkah yang diperlukan untuk menjaga kepercayaan dan kesetiaan yang telah diberikan oleh pelanggan kami selama ini," kata seorang jurucakap. Sumber: Newsweek


EmoticonEmoticon