Selasa, 17 November 2020

Parti liar, gadis bawah umur antara yang ditahan


Butterworth: Parti liar yang diadakan di sebuah bilik hotel diserbu polis. Dua remaja perempuan bawah umur antara 10 yang ditahan kerana menyertai parti itu di Jalan Raja Uda di sini awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan berusia antara 15 hingga 23 tahun.


Menurutnya, serbuan yang dibuat pada jam 2.53 pagi itu hasil daripada maklumat awam selepas mendapati kumpulan remaja terbabit berada dalam keadaan mencurigakan apabila berkumpul beramai-ramai di bilik hotel berkenaan.


"Ketika serbuan dilakukan mereka didapati sedang berhibur dengan memasang muzik yang kuat.


"Ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati lima daripada mereka positif dadah," katanya ketika dihubungi.


Noorzainy berkata, lima individu yang positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan direman.


Katanya lagi, kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


Kesemua mereka dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut.


Sumber: Sinar Harian


EmoticonEmoticon