Selasa, 10 Februari 2026

Pemandu Toyota Vellfire didenda RM5,500 selepas cederakan warga emas

Pemandu Toyota Vellfire didenda RM5,500 selepas cederakan warga emas


Seorang peniaga didenda RM5,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini, atas kesalahan mencederakan dan mengugut bunuh seorang lelaki warga emas di Jalan Cheras-Hulu Langat, Ahad lalu.


Tertuduh, Saiful Adli Yusof, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Fatin Dayana Jalil.


Mengikut pertuduhan pertama, Saiful Adli didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Liew Khoon Foo, 70, dengan menumbuk dan menendang bahagian muka serta badan.


Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan ugutan jenayah yang mahu menyebabkan kematian terhadap pengadu sama.


Pengadu mengambil keputusan meneruskan perjalanan menghala ke Taman Suntex kerana takut. Kenderaan pengadu diekori Toyota Vellfire berkenaan yang menahan Proton Wira itu di persimpangan lampu isyarat Taman Suntex.


Tertuduh kemudian terus menendang kereta pengadu menyebabkan dia keluar dari kenderaan kerana takut.


Tertuduh menumbuk serta menendang pengadu menyebabkannya cedera di muka, mata lebam, dagu bengkak dan lidah berdarah.


Timbalan Pendakwa Raya, Aida Afiqah Shaari memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.


Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Syakir Haznal memohon supaya hukuman berbentuk denda dengan jumlah minimum dikenakan terhadap anak guamnya.


"Anak guam adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga dan perlu menanggung isteri bersama empat anak berusia antara 16 tahun hingga enam hari serta ibu mentua yang menghidap penyakit kronik.


"Ketika kejadian, anak guam bersama isteri dan anaknya yang baru berusia tiga hari. Anak guam serta isterinya rasa terkejut dan terkilan apabila kejadian itu berlaku.


"Anak guam sudah insaf atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi," katanya.


Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM5,500 bagi kedua-dua pertuduhan dan jika gagal bayar, hukuman penjara selama lapan bulan dikenakan.


Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang terbabit memukul dan menendang warga emas selepas mereka terbabit dalam kemalangan kecil berhampiran lampu isyarat di Batu 9 Cheras kelmarin.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan kemalangan itu jam 4.49 petang daripada mangsa lelaki yang juga pesara yang cedera dipukul dan diugut suspek di lokasi kejadian.


Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 20 saat memaparkan suspek memarahi dan menendang mangsa yang sedang duduk di kerusi pemandu keretanya tular di media sosial sejak kelmarin.

Isnin, 9 Februari 2026

Kerajaan tak larang ternak babi, namun wajib ambil kira sensitiviti penduduk

Kerajaan tak larang ternak babi, namun wajib ambil kira sensitiviti penduduk


Kerajaan tidak pernah menentang penternakan babi namun menegaskan aktiviti itu tidak wajar diteruskan sekiranya dibangunkan di kawasan yang mencetuskan kegelisahan penduduk setempat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, kerajaan bersikap jelas dari segi dasar dengan tidak melarang penternakan babi atau amalan pemakanan orang bukan Islam, namun aspek lokasi perlu mengambil kira sensitiviti dan ketenteraman masyarakat.


"Begitu juga mengenai ternakan babi. Saya setuju dengan pandangan tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan.


"Kalau mahu, cari pilihan tempat yang jauh, boleh teruskan. Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi atau tidak melarang orang bukan Islam makan babi," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya hari ini.


Anwar berkata, isu penternakan babi tidak seharusnya dijadikan sentimen perkauman atau agama, sebaliknya perlu dilihat dari sudut kesihatan awam, alam sekitar dan keselesaan penduduk setempat.


Beliau berkata, kerajaan tidak pernah menghalang hak orang bukan Islam untuk memakan babi, namun tidak bersetuju jika penternakan itu ditempatkan di kawasan kediaman yang dihuni masyarakat yang tidak mengamalkannya.


"Ternakan babi bukan soal Cina atau Melayu. Kalau orang bukan Islam mahu makan, itu hak mereka dan tidak wajar dihalang.


"Tetapi kalau di kawasan penduduk yang majoritinya tidak makan babi, termasuk orang Islam, itu tidak kita galakkan," katanya.


Perdana Menteri berkata, bantahan terhadap pembinaan ladang babi di kawasan perumahan bukan berpunca daripada sentimen perkauman, sebaliknya berasaskan isu sebenar yang dihadapi penduduk.


"Jadi cari tempat yang ada konsensus. Kalau di Kuala Lumpur tak ada, tak adalah. Kalau di Selangor susah, sukarlah. Janganlah cari masalah," katanya.


Katanya, walaupun terdapat teknologi moden di negara maju yang mampu mengurangkan impak kebersihan, ia tidak bermakna penternakan sedemikian wajar ditempatkan di kawasan berpenduduk.


"Apa jawapannya, apakah harus diteruskan di kawasan yang mungkin menimbulkan kontroversi? Jawapan saya, jangan. Cari tempat yang tidak menimbulkan kontroversi, yang ada konsensus.


"Saya (pun) tidak setuju kalau di sekitar rumah saya dekat Sungai Long ada ternakan babi. Bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, sebab saya tak tahan baunya," katanya.


Anwar berkata, kerajaan juga tidak mahu memaksa komuniti yang menolak penternakan terbabit untuk menerimanya, khususnya jika berpotensi menjejaskan persekitaran dan kesihatan.


Beliau turut mengingatkan supaya sebarang cadangan diteliti secara berunding dan berhemah, bukannya ditolak atau disokong secara melulu sehingga mencetuskan ketegangan kaum.


"Kita kena dengar dulu, bincang dari segi kesihatan, alam sekitar dan kesan bau. Kalau ditolak tanpa dengar, nanti dikata kita anti Cina atau anti babi. Itu tidak benar," katanya.


Sehubungan itu, Anwar menegaskan pendekatan kerajaan adalah berasaskan rundingan dan saling menghormati hak semua pihak, demi memastikan keharmonian dan perpaduan masyarakat terus terpelihara.

Kerajaan beri kuasa kepada PBT bertindak ke atas rumah ibadat tidak sah

Kerajaan beri kuasa kepada PBT bertindak ke atas rumah ibadat tidak sah

 

Kerajaan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.


Walaupun keputusan itu bakal mengundang kontroversi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia mempunyai undang- undang yang perlu dihormati oleh semua.


"Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan (pencerobohan) dan majlis perbandaran (PBT) diberi keizinan untuk 'membersihkan' kuil bukan hak.


"Saya tahu boleh mengundang kontroversi. Negara ini negara hukum," katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya hari ini.


Menurutnya, suatu ketetapan masa perlu diberikan kepada pihak pengurusan rumah ibadat bagi mengelakkan percambahan yang tidak sah.


"Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan, naik di mana-mana, di bawah pohon, di mana-mana. Ini mesti dibendung.


"Kalau betul haram, janganlah pergi ambil kapak. Kena bagi masa, tapi kalau dibiar setahun pun tak selesai, itu pun masalah. Jadi mesti ada ketetapan dan peraturan dan hukum," jelas beliau.


Anwar berkata, prinsip asas yang perlu difahami ialah semua rumah ibadat sama ada masjid, gereja atau kuil tertakluk kepada undang-undang dan peraturan sama, khususnya berkaitan pemilikan serta kelulusan tanah.


"Masjid dan gereja yang dibangunkan ikut peraturan. Begitu semua yang lain, jadi harus cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.


"Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita ikut undang-undang, bawa bincang dengan cara yang sah dan beraturan," ujarnya.


Perdana Menteri menegaskan, isu pembinaan rumah ibadat haram bukan perkara baharu, sebaliknya dasar kerajaan berkaitan perkara itu telah berterusan sejak pentadbiran terdahulu.


"Ia seolah-olah baru timbul semalam, hanya kerana kes di bawah PMX jadi kacau-bilau.


"Hakikatnya, semua kerajaan sebelum ini, dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) hingga sekarang, dasar kerajaan itu berterusan," jelas Anwar.


Katanya, kerajaan komited mencari penyelesaian yang adil dan menghormati semua agama, namun tidak boleh berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang.


"Islam ialah agama Persekutuan, agama lain diberi hak masing-masing tetapi apakah kita boleh beri kebenaran kepada rumah ibadat yang tidak ikut peraturan? Tak boleh, kerana kita ikut jalan hukum.


"Kalau di atas tanah orang, mana boleh kita buat ibadat dengan merampas tanah orang lain. Tanah yang tidak sah, dipaksa, dirampas atau diambil tanpa kebenaran, tidak boleh dijadikan sah," katanya.


Dalam ucapan itu, Anwar memberi contoh Batu Caves sebagai rumah ibadat yang sah dan mendapat kelulusan, termasuk cadangan pembinaan eskalator bagi kemudahan penganut Hindu.


"Batu Caves itu mendapat kelulusan... Ia tidak mengganggu tanah orang, tak paksa, tak rampas hak orang lain. Dia nak teruskan (pembinaan eskalator) supaya masyarakat Hindu dapat teruskan amal mereka.


"Pandangan saya, cadangan itu boleh diteruskan dan telah saya sampaikan kepada Menteri Besar Selangor," jelas beliau.


Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan membenarkan percambahan rumah ibadat yang dibina sewenang-wenangnya tanpa kelulusan, termasuk di kawasan awam.


"Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan di bawah pokok, di mana-mana sahaja. Ini mesti dibendung.


"Di negara lain pun, termasuk India dan China, pembinaan rumah ibadat hanya dibenarkan di tempat yang sah," katanya.


Anwar turut menjelaskan, terdapat kes tertentu yang akan dipertimbangkan secara berasingan, termasuk rumah ibadat yang telah lama wujud tetapi tidak mungkin akan mempertahankan jika semua rumah ibadat dibina tanpa kelulusan sah.


"Kalau ada kes yang sudah wujud 200 tahun dan minta pertimbangan, itu kita nilai sebagai kes lain tetapi jangan guna alasan sudah lama wujud untuk wajib diluluskan.


"Takkan kalau ada 1,000 kuil yang tidak ikut kebenaran dan kelulusan tanah, semua mahu dipertahankan? Tak boleh. Sebab itu penjelasan ini mesti jadi dasar kefahaman semua pihak," katanya.

Ahad, 8 Februari 2026

Berang anak saudara ditampar individu tidak dikenali punca dua kumpulan bergaduh di kafe

Berang anak saudara ditampar individu tidak dikenali punca dua kumpulan bergaduh di kafe


Berang anak saudara ditampar individu tidak dikenali dipercayai punca pergaduhan antara dua kumpulan di Kafe Beringin, Taman Beringin, Kuala Lumpur kelmarin.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, 10 lelaki tempatan ditahan semalam dan awal pagi hari ini di sekitar Jinjang berhubung kejadian itu.


Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang pekerja katering iaitu lelaki tempatan berusia 33 tahun mendakwa dipukul secara tiba-tiba oleh sekumpulan individu.


"Kira-kira 11.10 malam kelmarin semasa mangsa sedang makan di Kafe Beringin terlihat keadaan jalan sesak teruk dan terlihat seorang kanak-kanak lelaki sedang memegang muka.


"Mangsa dan rakannya menghampiri kanak-kanak itu dan bertanya apa yang berlaku dan kanak-kanak itu memberitahu ditampar seseorang tidak dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya susulan itu sekumpulan lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk menghampiri mangsa dan menyoalnya berhubung kanak-kanak yang ditampar terbabit.


Menurutnya, kerana tidak tahu apa yang terjadi mangsa dan rakannya tidak menjawab lalu masuk semula ke dalam kafe namun salah seorang suspek mengekorinya lalu menumbuk mangsa di dalam kafe terbabit.


"Seorang lagi suspek menghayun topi keledar ke arah mangsa yang terkena sedikit pada bahagian kiri kepala mangsa kemudian suspek menarik kolar baju mangsa.


"Bagaimanapun rakan mangsa berjaya menyelamatkannya dan mereka melarikan diri daripada kafe berkenaan.


"Kejadian berpunca daripada anak saudara salah seorang suspek ditampar oleh seorang lelaki yang tidak dikenali," katanya.


Ahmad Sukarno berkata 10 individu ditahan daripada kedua-dua kumpulan kesemuanya lelaki tempatan berusia lingkungan 28 hingga 41 tahun.


Katanya, kesemua suspek direman antara satu ke tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.


Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan pertembungan antara dua kumpulan berbeza kaum di sebuah kafe, Kuala Lumpur kelmarin.

Pintu kereta dibuka budak 2 tahun secara tiba-tiba punca nahas enam kenderaan

Pintu kereta dibuka budak 2 tahun secara tiba-tiba punca nahas enam kenderaan


Kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Jumaat dipercayai berpunca daripada tindakan seorang kanak-kanak membuka pintu kereta secara tiba-tiba ketika kenderaan itu sedang bergerak.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 9.46 malam.


Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 6.15 petang di Jalan Tun Razak dari arah Bulatan Kampung Pandan menghala ke KLCC.


"Lokasi kejadian merupakan jalan bandaran tiga lorong sehala dengan keadaan permukaan jalan rata dan kering.


"Kes melibatkan empat buah kereta dan dua motosikal iaitu Toyota Corolla Cross, Honda City, Volkswagen Polo, Perodua Bezza selain motosikal Suzuki V-Strom SX serta CFMOTO 675 NK," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penumpang belakang sebuah kenderaan terlibat iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipangku saudaranya telah membuka pintu belakang kiri secara tidak sengaja.


Menurutnya, ketika kejadian sebuah motosikal Suzuki V-Strom SX yang ditunggang lelaki tempatan berusia 25 tahun sedang bergerak di antara lorong sebelum terlanggar pintu kenderaan berkenaan.


"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal tersebut hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.


"Sebuah lagi motosikal jenis CFMOTO 675 NK yang ditunggang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang berada di belakang juga tidak sempat mengelak dan turut terlibat dalam kemalangan tersebut," katanya.


Ujarnya, akibat kejadian itu, penunggang motosikal Suzuki V-Strom SX mengalami patah tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.


"Manakala penunggang motosikal CFMOTO 675 NK mengalami kecederaan ringan.


"Pemandu kenderaan lain iaitu lelaki warga Indonesia berusia 20 tahun yang memandu Toyota Corolla Cross, wanita tempatan berusia 50 tahun yang memandu Honda City, lelaki tempatan berusia 32 tahun yang memandu Volkswagen Polo serta lelaki tempatan berusia 28 tahun yang memandu Perodua Bezza dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan penumpang kanak-kanak membuka pintu kenderaan secara mengejut sehingga menghalang laluan penunggang motosikal.


"Dipercayai ciri kunci keselamatan kanak-kanak (child lock) tidak diaktifkan, sekali gus membolehkan pintu dibuka dari bahagian dalam.


"Pihak polis kini sedang meneliti rakaman video tular kejadian bagi melengkapkan siasatan," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah motosikal melanggar pintu kereta yang dipercayai dibuka secara tiba-tiba di sebuah lokasi di ibu kota.


Kejadian itu turut mengakibatkan perakam video berkenaan yang menunggang di belakang turut terbabas sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.

Rogol berkumpulan, dua lelaki dijel 15 tahun dan sebat

Rogol berkumpulan, dua lelaki dijel 15 tahun dan sebat


Dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuching pada Jumaat, atas kesalahan melakukan rogol secara berkumpulan terhadap remaja perempuan di sebuah hotel bajet pada bulan lalu.


Tertuduh, Azrin Dollah, 21, dan rakannya, Tajudin Mohd Kamri, 35, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan bersama terhadap mereka di Hadapan Hakim Jason Juga.


Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan rogol berkumpulan terhadap remaja berusia 14 tahun sekitar jam 4.30 pagi pada 30 Januari lalu di sebuah hotel bajet di Jalan Sekama, Kuching.


Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Azrin yang juga pekerja kilang turut mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol seorang lagi remaja iaitu rakan mangsa yang pertama dalam kejadian sama.


Hakim Iris Awen Jon menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan empat sebatan terhadap tertuduh selain memerintahkan bayaran pampasan sebanyak RM3,000 dan jika gagal membayarnya, dipenjara selama enam bulan.


Tajudin pula yang bekerja sebagai tukang kebun sekolah didakwa di bawah Seksyen 376(2)(c) Kanun Keseksaan kerana merogol remaja berusia 14 tahun tersebut.


Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan terhadap tertuduh.


Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bagi kesemua pertuduhan secara serentak berkuatkuasa serta-merta.


Sebelum itu, menurut fakta kes, pengadu yang merupakan bapa mangsa berusia 14 tahun telah membuat laporan polis bahawa anaknya telah dirogol oleh sekumpulan lelaki.


Kejadian bermula menerusi perkenalan mangsa berusia 16 tahun dengan Azrin ketika melepak di stadium lalu bertukar nombor telefon dan pernah keluar beberapa kali.


Pada 30 Januari lalu, kedua-dua mangsa yang tinggal berjiran telah keluar dan bertemu dengan Azrin bersama seorang lagi tertuduh.


Dua remaja berkenaan kemudian dibawa ke hotel bajet dan semasa tidur, Tajudin telah merogol anak pengadu manakala Azrin turut melakukan perkara sama terhadap seorang lagi mangsa.


Kemudian, kedua-duanya merogol mangsa berusia 14 tahun itu secara bergilir-gilir sambil disaksikan rakannya.


Susulan kejadian itu, pengadu telah membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh pada 3 Februari lalu.


Pendakwaan dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian, Chuah Kai Sheng dan Adriana Maisarah Mohd Farid.

Sabtu, 7 Februari 2026

Anak sulung bunuh ibu dan dua adiknya guna racun tikus

Anak sulung bunuh ibu dan dua adiknya guna racun tikus


Polis Indonesia mengesahkan kematian tiga sekeluarga di Warakas, Tanjung Priok, Jakarta Utara, berpunca daripada keracunan racun tikus jenis zink fosfat, dengan anak sulung keluarga tersebut dikenal pasti sebagai suspek utama dalam kes berkenaan.


Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Jakarta Utara memaklumkan, suspek berusia 27 tahun didakwa memberi racun secara sengaja kepada ibunya serta dua adiknya, berdasarkan hasil siasatan menyeluruh melibatkan bedah siasat, ujian toksikologi dan analisis bukti di lokasi kejadian.


Ketua Siasatan Jenayah Metro Jakarta Utara, AKBP Onkoeseno Gradiarso berkata, pihaknya menetapkan keterlibatan suspek selepas mendapati bukti kukuh yang menunjukkan tindakan meracuni mangsa dilakukan dengan niat.


"Hasil siasatan, termasuk pemeriksaan forensik dan bukti lain, membawa kepada penetapan suspek yang dengan sengaja meracuni ketiga-tiga mangsa," katanya ketika sidang media pada Jumaat.


Mangsa yang maut masing-masing ialah ibu suspek berusia 50 tahun, serta dua adiknya berusia 24 dan 14 tahun. Kesemua mereka ditemukan meninggal dunia di kediaman keluarga tersebut.



Ujian makmal yang dijalankan Pusat Makmal Forensik Polis Republik Indonesia (Puslabfor) mendapati kandungan zink fosfat dalam perut dan beberapa organ penting mangsa rosak yang dikenal pasti sebagai punca kematian.


Pakar toksikologi Universiti Indonesia, Profesor Dr Budiawan, menjelaskan zink fosfat merupakan bahan kimia berbahaya yang biasa digunakan sebagai racun tikus.


"Apabila masuk ke dalam sistem pencernaan manusia, bahan itu akan bertindak balas menghasilkan gas fosfin, yang menyebar dengan pantas ke seluruh organ badan.



"Gas ini merosakkan fungsi sel secara menyeluruh dan menyebabkan mangsa mati akibat lemas dalam tempoh yang singkat," katanya.


Sementara itu, doktor forensik Hospital Polis Sukanto, Dr Mardika, mengesahkan tiada kesan kekerasan fizikal pada tubuh mangsa.


Sebaliknya, punca kematian adalah akibat pendedahan kepada bahan kimia beracun melebihi tahap munasabah pada tubuh manusia.


Polis turut mendedahkan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan dendam suspek terhadap keluarganya, apabila dia berasa sering diperlakukan secara tidak adil dan kerap dimarahi oleh ibunya.


Kes berkenaan kini disiasat mengikut peruntukan undang-undang jenayah Indonesia, dengan suspek berdepan hukuman berat sekiranya disabitkan kesalahan.

MUDA Kluang berkubur, ketua dan 100 ahli keluar parti sertai UMNO

MUDA Kluang berkubur, ketua dan 100 ahli keluar parti sertai UMNO


Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kluang secara rasmi berkubur apabila kesemua kira-kira 100 ahli diketuai Ketuanya, Shikh Mohd Farkhann meninggalkan parti dan menyertai UMNO.


Shikh Mohd berkata, keputusan diambil kerana beliau melihat UMNO sebagai parti sangat inklusif, berlapang dada menerima muka baharu serta ikhlas dalam perjuangan.


Katanya, UMNO juga memberi peluang untuk membimbing mereka berpotensi serta berhasrat untuk berkhidmat dalam menghadapi pilihan raya akan datang.


"Dengan penyertaan kami ke dalam UMNO, maka MUDA di Kluang berkubur secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan.


Keputusan itu sekali gus menoktahkan status MUDA terutama di Kluang yang menjadi tanda tanya selepas hampir setahun mendiamkan diri.


"Jika MUDA bertanding secara solo dalam keadaan semasa akan menghadapi kesukaran kerana ramai pengundi muda melabelkan parti ini sebagai tiada pendirian serta hala tuju yang jelas.


"Malah, sesetengah dasar dilihat terlalu banyak berkompromi. Oleh itu, walaupun MUDA bertanding secara bebas, amat sukar untuk segera membalikkan persepsi negatif yang terbentuk ini.


"Jalan untuk berdikari adalah panjang dan penuh cabaran, mungkin memerlukan masa sepuluh tahun atau lebih dengan perlu melalui fasa kekurangan sumber dan pembinaan semula akar umbi.


"Ia bukan sahaja sukar, malah memerlukan sokongan akar umbi yang sangat kuat," katanya yang mengambil pendirian menyertai Pemuda UMNO yang turut dilihat sebagai berani bersuara dan berjuang ikhlas demi masa depan anak bangsa dan negara.


Pada masa sama, beliau yakin Pemuda UMNO akan terus berpegang kepada semangat keterbukaan dan inklusif, bersedia menerima bakat daripada golongan muda dan pelbagai latar belakang serta sektor.


Shikh Mohd juga menasihatkan MUDA sekiranya berhasrat bergerak secara bebas agar mempertimbangkan untuk menjenamakan semula parti dengan misi dan visi yang jelas.


"Walaupun risiko memulakan semula adalah tinggi, ia tetap lebih baik daripada kekal dalam keadaan serba salah seperti sekarang dengan satu kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, seolah-olah sebuah badan organisasi (NGO) dan bukan sebuah parti politik," katanya.

Jumaat, 6 Februari 2026

Lebihan makanan dibasuh untuk diberi kepada haiwan, bukan pelanggan - Pemilik restoran nasi kandar

Lebihan makanan dibasuh untuk diberi kepada haiwan, bukan pelanggan - Pemilik restoran nasi kandar


Pemilik Restoran RB Nasi Kandar menafikan dakwaan bahawa premisnya di Kemayan Square, Seremban membasuh lebihan makanan untuk dijual semula kepada pelanggan, sebaliknya ia bertujuan diberikan kepada pencinta haiwan.


Datuk Fadzil A Bakar berkata, adalah mustahil pihaknya menjual makanan lebihan kepada pelanggan kerana ia mudah rosak dan berbau.


"Kalau buat macam mana sekalipun, makanan itu akan cepat rosak dan pelanggan boleh mengesannya.


"Kita bukan baharu dalam bidang ini. Mungkin ada pemilik restoran lain yang mengitar semula makanan, tetapi kita tidak pernah buat macam itu," katanya hari ini.


Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, pencinta haiwan terbabit sering datang ke restoran berkenaan untuk mengambil lebihan makanan bagi diberikan kepada haiwan liar seperti kucing, burung dan tikus.


Jelasnya, makanan itu perlu dibasuh terlebih dahulu supaya tidak berminyak sekaligus bagi mengelakkan haiwan terkena penyakit.


"Kita tak nampak betul-betul apa yang berlaku dan pelbagai cerita yang timbul.


"Saya rasa pekerja kami warga Pakistan itu pun mungkin kurang faham apa yang dipersoalkan oleh perakam video dan telah memberi penerangan yang salah dengan mengatakan ia dibasuh untuk digunakan semula sedangkan ia sebenarnya untuk diberikan kepada haiwan," katanya.


Jelasnya, pihak pengurusan restoran juga berdepan masalah untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pekerja berkenaan kerana selepas insiden itu, dia terus menghilangkan diri.


"Dia pun baru lagi kerja di restoran itu dan tak faham sangat Bahasa Melayu. Kita nak tanya lanjut pun tak dapat kerana dia sudah melarikan diri," katanya.


Beliau memberitahu, aspek kebersihan premis dan penyediaan makanan merupakan perkara paling penting yang sentiasa diberi perhatian.


Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada sesetengah pekerja warga asing yang kurang menitikberatkan perkara itu.


"Kita memang pandang serius soal kebersihan dan jika premis dikenakan kompaun disebabkan ada pekerja tak pakai apron atau pakai selipar, kita akan menolak gaji pekerja tersebut kerana tak ikut peraturan.


"Saya ada 14 restoran dan ini kali pertama berdepan isu sebegini," katanya.


Mengulas mengenai video yang tular, Fadzil berkata, tindakan individu merakam dan menyebarkan tanpa berbincang terlebih dahulu telah menjejaskan reputasi perniagaannya.


Bagaimanapun ujarnya, pihaknya akur dengan siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah telah pun membuat laporan polis terhadap penyebar video.


Pada masa sama beliau tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap perakam video.


"Kalau tak puas hati atau ada tengok sesuatu tak kena, sepatutnya jumpa dulu dengan pengurusan restoran, bukannya terus tularkan.


"Saya tak nafikan imej saya terjejas dengan apa yang terjadi. Tapi tindakan perakam video itu memang salah dan dia masuk dapur kami tanpa kebenaran pun sudah jadi satu kesalahan.


Media sebelum ini melaporkan, kejadian meloyakan itu dikongsi seorang pengguna media sosial yang mendakwa menyaksikan sendiri perbuatan berkenaan di belakang premis terbabit pada jam 12.18 tengah malam pada Selasa.


"Saya melihat seorang pekerja sedang mencuci baki makanan seperti daging ayam, daging kambing, tauhu yang jelas merupakan lebihan masakan, kemudian diasingkan ke dalam dulang," katanya.


Dia memberitahu telah menegur perbuatan pekerja tersebut dan dimaklumkan yang baki makanan terbabit dicuci untuk digunakan semula pada keesokan hari.


Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan telah pun mengeluarkan notis penutupan berkuat kuasa 3 Februari hingga 17 Februari ini.


Pemilik telah dikenakan tindakan penguatkuasaan serta diarahkan penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Khamis, 5 Februari 2026

ART: Kerajaan runding kerana nilai dagangan negara dengan AS besar

ART: Kerajaan runding kerana nilai dagangan negara dengan AS besar


Jumlah dagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang besar mencecah RM233 bilion pada tahun lalu antara sebab kerajaan berunding dengan negara itu menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART). Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, aspek itu adalah antara pertimbangan kerajaan dalam ART.


Beliau berkata peningkatan tarif yang dikenakan oleh AS dikhuatiri menjejaskan ekonomi negara, khususnya bagi sektor tertentu termasuk elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor dan barangan berkaitan kesihatan.


"Dalam konteks sebahagian negara seperti Myanmar dan Laos, (mereka) tak kisah sangat (soal tarif) kerana tidak banyak eksport ke AS, tetapi kita, untuk tahun lalu sahaja RM233 bilion. Untuk bina (jumlah ini) bukan senang.


"Seperkara lagi, kalau kita tak bincang, orang lain akan bincang dan tandatangani, dapat pula (tarif) 19 peratus. Tak mustahil kita (Malaysia) dikenakan pula tarif sehingga 40 peratus, ini menjadikan kita tak lagi kompetitif. Apa akan berlaku?


"Jadi seluruh industri, contohnya, sektor E&E, semikonduktor, mereka kata tak boleh lagi buat 'production' (pengeluaran) di Malaysia sebab kita dikenakan 40 peratus tarif berbanding sekarang, 19 peratus.


"Negara lain mungkin akan pindah pengeluaran mereka ke negara (dikenakan tarif) lebih rendah daripada kita. Sebab itu kena jaga benda ini sebab sebahagian besar eksport kita adalah ke AS," katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi MITI di Dewan Rakyat, hari ini.


Bagaimanapun, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menegaskan antara perkara yang diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam rundingan ART adalah ia mestilah tidak membabitkan soal kedaulatan negara.


"Kita amat beri perhatian kepada apa yang dipersetujui dan tidak. Selagi ia tak (menyentuh) kedaulatan negara, tetapi bersifat ekonomi (boleh dirundingkan).


"Kita juga ada pengalaman bincangkan rundingan, misalnya ada 17 FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) yang pernah ditandatangani, sembilan daripadanya dalam bentuk multilateral, lapan bilateral, tapi yang ini (ART) bentuknya unilateral, maksudnya AS di sini mengenakan 19 peratus (ke atas Malaysia).


"Ia (bermaksud) kita tak boleh buat apa-apa, sebagai contoh, apabila kita (kerajaan) kenakan cukai jualan ke atas barangan, ada yang diletakkan lima peratus, atau ada yang 10 peratus. Tetapi apabila ia dimasukkan dalam perjanjian, sesuatu yang dipersetujui, maka tidak boleh ditukar (kadar tarif)," katanya.


Johari turut memperincikan nilai dagangan Malaysia dengan dua kuasa besar ekonomi dunia, iaitu AS dan China dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, iaitu dari 2015 hingga 2025.


Katanya, jurang saiz ekonomi Malaysia yang ketika ini pada kadar AS$420 bilion dengan kedua-dua kuasa besar itu amat besar. Saiz ekonomi semasa AS adalah AS$31 trilion, manakala China AS$19 trilion.


"Dalam tempoh 10 tahun kita berdagang dengan AS, kita ada 'surplus' (lebihan) RM518 bilion, jumlah bagi 2025 sahaja, RM98 bilion. Manakala dengan China, dalam tempoh sama, defisit perdagangan kita adalah RM606 bilion, tahun lepas sahaja RM146 bilion.


"Kalau dilihat dengan AS ini kita ada 'surplus' sebab ada produk (AS) yang berbeza daripada yang diambil dari China. Jadi kita tak nak (Malaysia) tidak ada portfolio dengan nombor satu ekonomi dunia ini," katanya.