Memaparkan catatan dengan label Terdampar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terdampar. Papar semua catatan

Selasa, 2 November 2021

Lelaki Sesat Lebih 2 Bulan Di Kawasan Paling Sejuk Dunia Ditemui Selamat

Lelaki Sesat Lebih 2 Bulan Di Kawasan Paling Sejuk Dunia Ditemui Selamat


Seorang lelaki yang tersesat di kawasan terbiar yang dipenuhi beruang, di salah satu kawasan paling sejuk ditemui masih bernyawa sebaik diselamatkan selepas lebih dua bulan dilaporkan hilang, lapor New York Post pada 28 Oktober 2021.


Yegor Krivoshapkin, 45, dijumpai dengan luka beku (frostbite) memenuhi badan di kawasan berpenduduk paling sejuk di dunia, dua minggu selepas pasukan penyelamat berputus asa dan mengatakan dia tidak mungkin selamat.


Bapa tiga anak itu ditemui pada jarak 305.8 kilometer dari lokasi hilang di Yakutia, 'kerajaan ais' Siberia, bahkan dia berjaya mengelak daripada diserang beruang coklat dan serigala ketika merayau di kawasan berkenaan.


Namun Yegor yang juga pengembala rusa kutub itu menyebabkan pasukan penyelamat tertanya-tanya, selepas dia sukar menjelaskan keberadaannya dan bagaimana dia terselamat. Lelaki itu hilang pada Ogos, akhir musim panas dan ditemui ketika suhu menurun hingga -20 darjah Celsius.


Terdapat laporan menyebut Yegor menemui makanan tin berusia 40 tahun dalam salji, yang dicampakkan di kawasan berkenaan ketika zaman Soviet sebagai bekalan kecemasan untuk pengembala yang hilang.


Yakutia is the planet’s coldest populated region.

Saudara-saudaranya telah diberi amaran bahawa "tiada sesiapa akan selamat dalam cuaca begitu, anda perlu realistik" tetapi mereka enggan berputus asa dan terus berharap.


Mirror UK melaporkan keluarga Yegor mengupah peramal, Maria Kupriyanova atau dikenali Sanaaya yang menjangkakan lelaki itu akan dijumpai pada hari penting keluarga.


"Dia dijumpai pada hari jadi cucu saya. Syukur dengan ramalannya. Adakah ini mistisisme atau realiti?" kata kakak Yegor, Svetlama.


Katanya, Yegor tiba-tiba muncul di khemah yang ditinggalkan oleh pengembala rusa di kutub Rodion Golikov, yang dilengkapi dengan dapur dan bekalan. Helikopter Polar Airlines mengambil masa lima hari untuk mengesan kedudukan Yegor dan membawanya keluar selepas ditemui penduduk di khemah tersebut.


Dia dihantar ke Hospital Batagay dan menerima rawatan intensif hingga stabil. Kepada kakaknya, Yegor bercerita bahawa dia tidur 'di bawah pokok' dan mengalami pitam serta dalam keadaan tidak sedar ketika merayau sendirian.


Yegor sesat selama dua bulan dalam 'kerajaan ais' dan dijumpai lebih 300km dari lokasi hilang di Yakutia, Siberia. - Foto The Siberian Times.

Pasukan penyelamat yang menyelamatkan Yegor selepas hilang selama lebih 2 bulan. - Foto The Siberian Times.

Khamis, 19 Ogos 2021

Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin

Lelaki 'Bertapa' Dalam Gua 20 Tahun Keluar Ambil Suntikan Vaksin


Baru-baru ini tular kisah seorang lelaki dari Pirot, Serbia, yang tinggal di dalam gua selama 20 tahun keluar dari tempat pertapaannya untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.


Menurut laporan akhbar The Sun pada 13 Ogos 2021, Panta Pertrovic, 70, mendapat tahu mengenai wabak tersebut daripada satu lawatannya ke pekan berhampiran pada tahun lepas.


Apabila dia sedar mengenai bahaya virus itu, dia mengatakan bahawa dia perlu mendapatkan vaksin secepat mungkin dan kini dia bersyukur kerana telah mendapatkannya.


"Virus itu tidak memilih mangsa. Ia akan datang ke sini, ke gua saya juga. Saya ingin dapatkan kesemua tiga dos termasuk dos tambahan. Saya juga ingin menggalakkan setiap penduduk agar mendapatkan vaksinasi mereka," katanya.


Tambah Pertrovic, dia tidak memahami mengapa terdapat sebilangan individu yang mempunyai pandangan skeptikal mengenai virus Covid-19, dan ada yang tidak mahu menerima suntikan vaksin.


Pertrovic pada 20 tahun lepas berpindah ke sebuah gua kecil di sebuah kawasan pergunungan untuk mengelak daripada berhubungan dengan masyarakat.



Dia yang pernah bekerja sebagai seorang buruh mengambil keputusan untuk menjadi seorang pertapa di dalam gua kerana mahu hidup bersendirian.


"Saya tidak bebas di bandar. Kebiasaannya, terdapat seseorang yang akan mengganggu anda, sama ada anda bertengkar dengan isteri, jiran atau polis. Di sini, tiada sesiapa yang mengganggu saya," jelasnya.


'Rumah' Pertrovic hanya boleh diakses menerusi pendakian curam. Rakan-rakannya hanya terdiri daripada ayam, kucing, anjing dan babi hutan. 


Makanan rujinya pula adalah cendawan dan ikan yang ditangkap dari sebatang anak sungai berdekatan selain dia turut pergi ke pekan sesekali untuk mencari sisa makanan dari tong sampah.


Panta Pertrovic hidup di dalam gua berbekalkan bantuan yang diberikan kepadanya termasuk bantuan makanan. - Foto AFP.

Panta Pertrovic sedar akan kepentingan mendapatkan suntikan Covid-19. - Foto AFP.

Rabu, 21 Julai 2021

Ikan 'Misteri' Berwarna Oren Seberat 45kg Ditemukan Di Pantai AS

Ikan 'Misteri' Berwarna Oren Seberat 45kg Ditemukan Di Pantai AS


Seekor ikan gergasi berwarna oren dan perak terang yang spesiesnya tidak pernah dilihat sebelum ini, ditemukan terdampar di sebuah pantai di utara Oregon, Amerika Syarikat (AS).


Lapor Daily Star pada 19 Julai 2021, beberapa kakitangan dari Seaside Aquarium telah mengenal pasti ikan gergasi berbentuk bulat dengan sisik berwarna oren itu sebagai opah.


Penolong Pengurus Seaside Aquarium, Tiffany Boothe berkata, ikan seberat 45 kilogram (kg) dan berukuran kira-kira satu meter panjang merupakan pertama seumpamanya ditemukan di kawasan pantai itu.


Menurut Boothe, pihaknya tidak pasti bagaimana ikan itu mati namun menyatakan ikan itu berada dalam keadaan baik sebelumnya. Pengurusan Seaside Aquarium turut memuat naik hantaran mengenai penemuan ikan gergasi itu di laman Facebooknya.


Sementara itu, ahli biologi dari Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional (NOAA) Perikanan memberitahu portal Stuff bahawa pakar percaya perubahan iklim mungkin menjadi antara faktor penemuan ikan gergasi itu di pantai tersebut.



Katanya, hal itu kerana spesies ikan tersebut biasanya ditemukan di perairan tropika dan sub-tropika. Opah yang juga dikenali sebagai 'moonfish' boleh membesar lebih dari enam kaki.


Menurut NOAA lagi, ikan pemangsa itu diyakini sejenis spesies ikan berdarah panas kerana mempunyai saluran darah di insang yang memungkinkannya mengedarkan darah hangat ke seluruh tubuhnya. Masih banyak yang belum diketahui mengenai ikan ini termasuk jangka hayatnya.


"Hanya sedikit penyelidikan mengenai biologi dan ekologi asas opah telah dilakukan. Penemuan bangkai ikan ini akan membantu penyelidikan lebih lanjut dapat dijalankan," katanya.


Menurut Boothe, Ikan itu akan dibekukan hingga akhir tahun ini, dan mengatakan para pelajar akan berpeluang membedah ikan tersebut, dengan bantuan dari Columbia River Maritime Museum.


"Isi perut dapat membantu menentukan apa yang dimakan ikan tersebut dan di mana mereka tinggal. Kerangka ikan akan disimpan dan dipamerkan," kata Tiffany Boothe.


Ikan gergasi seberat 45kg ditemukan di sebuah pantai di utara Oregon. - Foto Seaside Aquarium.

Isnin, 19 Julai 2021

Suami isteri tidur atas pokok 10 hari elak dimakan beruang

Suami isteri tidur atas pokok 10 hari elak dimakan beruang


Sepasang suami isteri di Rusia terpaksa hidup 'diselubungi ketakutan' selama 10 hari dan kelaparan di atas pokok ketika bersembunyi daripada seekor beruang coklat, lapor akhbar Mirror pada 17 Julai 2021.


Anton dan Nina Bogdanov yang mengembara ke sebuah hutan di Banniye Springs, Wilayah Kamchatka, terperangkap selepas kenderaan pacuan empat roda milik mereka tersekat dalam lopak lumpur.


Disebabkan tiada sebarang liputan telefon bimbit, kedua-dua mereka terpaksa berjalan ke sebuah pusat pelancong untuk meminta bantuan. Ketika dalam perjalanan seekor beruang tiba-tiba muncul lalu mengejar mereka.


"Beruang itu berjalan di belakang kami, dan kami langsung tidak menyedarinya. Ia bergerak dengan amat perlahan. Suami saya adalah yang pertama ternampak beruang itu. Pada mulanya, kami berjaya menakutkannya, namun ia datang kembali dan mengejar kami," ujar Nina.


Mereka kemudiannya berlari sejauh hampir 200 meter ke arah sebatang sungai, namun terpaksa memanjat sebatang pokok untuk menyelamatkan diri apabila beruang itu hampir menangkap mereka.



"Pemangsa itu hampir membunuh Anton. Saya membuang botol air untuk mengalihkan perhatian haiwan itu. Anton mengambil kesempatan untuk memanjat pokok," katanya.


Beruang itu kemudiannya mengawal bawah pokok tempat Nina dan Anton bersembunyi sehingga memaksa mereka mengambil giliran untuk tidur bagi memastikan haiwan itu tidak bertindak ganas.


Kata Nina, ketika beruang itu bergerak jauh, mereka mengambil kesempatan cuba berlari ke arah sungai, namun usaha untuk ke tebing sungai tidak berjaya apabila beruang itu mengejar dan memaksa mereka memanjat di atas pokok semula.


Keadaan itu berterusan sehingga 10 hari sebelum mereka diselamatkan oleh sebuah kenderaan yang kebetulan melalui jalan itu dan berjaya menghalau beruang tersebut.


"Saya menangis kegembiraan sebaik melihat terdapat kenderaan lain datang menghampiri dan menyelamatkan kami," kata Nina.


Berdasarkan data dari pemerintah Wilayah Kamchatka, empat orang diserang oleh beruang pada tahun 2020 lalu dengan dua kematian. Wilayah ini merupakan 'rumah' bagi 23, 000 beruang.


Nina dan Anton sedang membersihkan diri sejurus diselamatkan. - Foto The Siberian Times.

Sabtu, 17 Julai 2021

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang

Vila misteri tiba-tiba muncul di tepi pantai selepas 28 tahun hilang


Sebuah vila misteri ditemui terdampar secara tiba-tiba di tepi pantai di Costa de Sol, El Salvador, menyebabkan ramai pengunjung berteka teki asal usul bangunan tersebut, lapor laman berita Oddity Central pada 15 Julai 2021 lalu.


Penduduk tempatan dan pe­lancong keliru berhubung pene­muan tersebut di Pantai La Puntilla baru-baru ini. Bagaima­napun, terdapat teori popular mengatakan bahawa vila itu hanyut dan terus 'menghilang' dalam bencana taufan yang membadai El Salvador lebih 20 tahun lalu.


Akhbar tempatan, La Prensa Grafica melaporkan bahawa beberapa penduduk memberitahu, vila misteri yang tiba-tiba muncul itu merupakan sebuah hotel dikenali sebagai Hotel Puerto Ventura kira-kira 28 tahun lalu.


Hotel tersebut dibina hanya beberapa meter dari laut sekali gus menguatkan kemungkinan bahawa ia dihanyutkan oleh air laut.


"Mereka membinanya terlalu dekat dengan pantai. Mereka juga tidak membuat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa untuk membinanya (hotel) dan itulah akibatnya," kata seorang penduduk tempatan.



Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan bagaimana hotel tersebut musnah dalam kejadian Taufan Mitch yang telah membadai El Salvador pada tahun 1998 dan mengakibatkan lebih 9,000 kematian.


Kini, bangunan dua tingkat tersebut menjadi tarikan pelancong yang datang ke situ untuk bergambar. Ada antara pengunjung memanjat tingkat atas vila tersebut bagi mendapatkan gambar pemandangan yang lebih cantik.


Bagaimanapun, penduduk setempat, Coralia Sotelo berkata, beberapa kanak-kanak pernah melihat seorang lelaki kulit hitam yang sangat tinggi berkeliaran di sekitar vila tersebut pada waktu malam, menyebabkannya takut untuk menghampiri kawasan itu.


"Saya takut untuk pergi ke situ dan tidak pernah menghampirinya. Beberapa kanak-kanak yang pergi ke pantai itu untuk menangkap penyu pada waktu malam memberitahu mereka ada terlihat lelaki itu," ujarnya.



Rabu, 14 Julai 2021

Anak dihantar ke pulau terpencil kerana suka lawan cakap ibu bapa

Anak dihantar ke pulau terpencil kerana suka lawan cakap ibu bapa


Sepasang suami isteri di China sanggup membawa anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun ke sebuah pulau terpencil, untuk memberi pengajaran kepada anak tersebut yang didakwa suka melawan cakap mereka.


Lapor Oddity Central pada 12 Julai 2021, polis di bandar Weihai berkata, pihaknya dimaklumkan oleh sekumpulan nelayan mengenai kehadiran seorang remaja perempuan di pulau tersebut kira-kira satu kilometer dari tanah besar.


Menurut polis, remaja itu mendekati nelayan tersebut dengan mendakwa ibu bapanya telah memaksa dan membawanya ke pulau itu, dan memohon mereka untuk membawanya ke pantai (tanah besar).


Remaja itu juga mendakwa telah merayu beberapa kali kepada ibu bapanya untuk membawanya pulang semula ke pantai. Jelas polis, selepas tiba di pulau itu, mereka menemukan remaja tersebut bersama ibu bapanya.



Menurut polis, pihaknya mendapati ibu bapa membawa remaja tersebut ke pulau terpencil kerana mahu mendidik anak mereka mengenai kesukaran hidup.


"Ibu bapa remaja itu menyatakan anak perempuan mereka mempunyai tabiat suka melawan, mudah marah, enggan mematuhi arah dan tidak mahu pergi ke sekolah.


"Sudah banyak kali ibu bapanya cuba menasihati remaja perempuan itu tetapi dia tetap degil. Mereka merasakan anaknya mensia-siakan kehidupannya. Jadi, mereka terpaksa mengambil langkah drastik dengan melakukan demikian," kata polis berkenaan.


Ibu bapa remaja itu pada awalnya enggan meninggalkan pulau tersebut dengan alasan bahawa mereka telah bersedia dengan bekalan yang diperlukan, dan menegaskan bahawa mereka mahu meneruskan pelan mendidik anak mereka disitu.


Ketika mereka berada di pulau itu, ayahnya mengakui kagum terhadap anak perempuannya yang mula berkomunikasi dengan nelayan yang singgah di pulau tersebut. Katanya, ketika mula-mula datang di pulau itu anaknya jarang bercakap pada mereka, apalagi orang lain.


Tindakan 3 beranak tinggal di pulau ini selepas mendapat khidmat pakar 'survival' yang bersetuju untuk menemani mereka di pulau tersebut. Bagaimanapun, polis yang datang di pulau itu berjaya memujuk keluarga berkenaan dan menghantar mereka pulang ke tanah besar.

Khamis, 8 Julai 2021

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar

Lelaki tinggal dalam hutan selama 30 tahun dan tidak berhubung dunia luar


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang dapat digambarkan mengenai kesusahan dan keperitan seorang warga emas yang mendiami pondok usang dalam hutan di sebuah kebun getah berhampiran Jalan Trolak-Slim River di Perak.


Rashid Mat Sah, 66, yang berasal dari Kota Tinggi, Johor merantau ke Slim River untuk mencari kerja selepas ibu bapanya berpisah. Dia mengakui tinggal di pondok itu kira-kira 30 tahun lalu yang dibinanya sendiri menggunakan zink dan kayu terpakai.


"Apabila tiba di kawasan ini, saya mengikut seorang lelaki untuk berkerja di dusun durian. Saya mendapat upah dengan menjaga dan membersihkan dusun yang dipajaknya," katanya ketika ditemui.


Menceritakan kehidupannya kini, menurut Rashid, pada waktu malam, dia akan menyalakan pelita manakala air hujan pula digunakan untuk mandi dan memasak.



Rashid berkata, dia bersyukur kerana ada seorang guru yang sering membantunya membeli barangan keperluan asas, walaupun pondoknya terletak di dalam kawasan hutan sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari jalan besar.


"Guru berkenaan mempunyai ladang getah di lokasi berhampiran dan saya selalu meminta bantuannya. Memang sunyi tinggal seorang diri di hutan, saya hanya bertemankan anjing yang dibela sebagai kawan selain untuk menjaga keselamatan," katanya.


Menurut Rashid, dokumen pengenalan dirinya tiada sejak lahir, dan selepas bapanya meninggal ibunya pula tidak dapat dikesan membuatkan dia terpaksa tinggal bersama nenek sebelum merantau. Selama berpuluh tahun tinggal di pondok itu, dia tidak tahu langsung apa yang berlaku di luar.


"Saya bukan tidak mahu keluar sesekali ke pekan dan sebagainya namun disebabkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, ia menghalang saya berbuat demikian. Kalau boleh saya nak sangat ada kad pengenalan," katanya.



Jelasnya, duit diperoleh dengan bekerja mengambil upah menjaga kebun berhampiran pondok yang dibina di atas tanah pemilik kebun terbabit. Katanya lagi, dia sudah biasa dengan tempat itu, dan akan tetap duduk di situ. "Biarlah saya kerja jaga kebun ini pun tak apa," katanya.


Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz yang melawat Rashid berkata, beliau mengetahui keadaan lelaki itu selepas dimaklumkan orang awam.


"Hasil kunjungan ke pondok Rashid, saya dapati kehidupannya memang daif. Saya akan bantunya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi memudahkan urusan dan bantuan," katanya.


Menurut beliau, sementara menunggu urusan menyiapkan dokumen pengenalan diri, pihaknya akan terus membantu Rashid. Berkaitan bekalan air, beliau akan cuba menggali perigi untuk mendapatkan bekalan air bersih.


Katanya, pihaknya juga akan bawa Rashid ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan dan merawat penyakit kulit dialami yang dipercayai berpunca daripada anjing yang dibelanya, dan membina kandang anjing untuk mengelakkan ia tinggal dalam pondok bersama Rashid.


Rashid menunjukkan air hujan yang ditadah di dalam sebuah tong untuk digunakan bagi membersihkan diri berhampiran pondoknya.

Rashid menunjukkan dapur di luar pondok yang digunakan untuk memasak makanan dan air hujan yang ditadah.