Memaparkan catatan dengan label Seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Seni. Papar semua catatan

Rabu, 30 Jun 2021

Sebagai bukti cinta, lelaki cacah tatu kekal sijil kahwin di lengan

Sebagai bukti cinta, lelaki cacah tatu kekal sijil kahwin di lengan


Setiap orang ada cara tersendiri untuk membuktikan cinta mereka pada pasangan masing-masing, supaya isteri atau kekasih tahu bagaimana sebenarnya perasaan mereka kepadanya, dan menyedari bahawa mereka benar-benar mencintainya.


Baru-baru ini, tular di media sosial seorang lelaki di Thailand yang ingin membuktikan cintanya pada isteri mengabdikan sijil perkahwinannya sebagai tatu kekal di lengan kanannya, lapor portal Thaiger News pada 29 Jun, semalam.


Om-Aim Daraployphan memuat naik beberapa keping gambar lengan suaminya yang mencacah tatu sijil perkahwinan mereka di Facebook. Lukisan tatu itu dihiasi bunga berwarna hijau dan merah jambu serta memenuhi hampir keseluruhan lengan kanan suaminya.


Credit Photo Sanook.

Menurut Om-Aim pada hantarannya, dia berasa terharu atas kesanggupan suaminya mencacah sijil perkahwinan mereka sebagai tatu.


"Saya hanya perlukan seseorang yang tidak malu membuktikan cintanya dan bukan berwajah tampan semata-mata," tulisnya.


Bagaimanapun, wanita itu tidak menyatakan sama ada dia juga akan melakukan perkara sama di lengannya. Namun dia sempat bergurau jika mereka bercerai, tatu di lengan suaminya tidak akan dikira sebagai sijil sah.


Ini kerana menurutnya, biarpun mengandungi butiran serupa dengan sijil kahwin asal, ia tidak disertai dengan tandatangan dan bukan dikategorikan sebagai dokumen sah.


Seorang lelaki mencacah tatu berupa sijil perkahwinan di lengannya menjadi tular di media sosial. - Foto Om-Aim Daraployphan.

Sabtu, 12 Jun 2021

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik

Pengguna Peta Google Terkejut Menemui 'Makhluk Putih' Berdiri Dalam Lingkaran Seakan Melakukan Upacara Pelik


Seorang pengguna aplikasi peta Google Earth menjadi tular apabila berkongsi rakaman menunjukkan sekumpulan individu berkelubung putih di sebuah bandar tidak berpenghuni di Nevada, Amerika Syarikat (AS).


Menurut lapor akhbar Daily Star 06 Jun 2021 lalu, seorang pengguna TikTok dikenali Jason Cline, menyedari penemuan pelik itu ketika sedang menggunakan aplikasi itu di beberapa negeri di AS.


Jason Cline berkata, ketika dia menukar mod peta menjadi pemandangan jalan, dia melihat sebuah rumah terbengkalai di sebelah ladang dengan tanda bulat di tanah.


Di suatu tempat yang tidak jauh dari rumah tersebut, kelihatan seorang 'lelaki menyeramkan serba putih' sedang memegang basikal. Dia juga mengatakan beberapa lagi 'makhluk' putih berada dalam lingkaran seakan melakukan upacara pelik.



"Kamu pernah melihat padang pasir, seperti ini? Cuba anda perhatikan klip ini dan anda akan menyedari satu lingkaran objek yang kelihatan seperti cap jari.


"Apabila saya menukar mod menjadi pemandangan jalan, saya ternampak sekumpulan manusia berkelubung putih sedang mengerumuni lingkaran cap jari itu," tulis Jason Cline.


Klip rakaman itu mendapat lebih 17 juta tontonan sebelum misteri itu akhirnya dirungkai. Salah seorang pengguna Google Earth memberitahu bahawa imej tersebut merupakan satu pameran seni di sebuah bandar tidak berpenghuni, Rhyolite di Death Valley.


Kumpulan individu berkelubung putih menyeramkan itu dikenali sebagai 'Jamuan Terakhir' yang dicipta oleh artis Belgium, Albert Szukalski. "Saya pernah ke sana. Ini adalah Muzium Udara Terbuka Goldwell," komen seorang pengguna media sosial.



Selasa, 20 April 2021

Teori Kewujudan Beratus Lukisan Aneh 'Gergasi' Di Gurun Nazca, Dikaitkan Dengan Makhluk Asing

Teori Kewujudan Beratus Lukisan Aneh 'Gergasi' Di Gurun Nazca, Dikaitkan Dengan Makhluk Asing


Ratusan tahun berlalu, zaman mula berubah melewati masa dan perkembangan kemajuan teknologi menyebabkan kapal terbang mula dicipta. Ketika itu, sebuah pesawat komersial terbang tinggi melintasi gurun Nazca, sekitar 1920-an, juruterbang dan penumpang yang menoleh ke bawah tergamam melihat pelbagai lakaran imej aneh yang tertera di gurun.


Sebelum itu, selama ratusan tahun, misteri kewujudan banyak lukisan aneh yang teramat besar di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru, dipercayai menjadi rahsia yang tidak disedari sesiapa, walaupun lakaran berkenaan sentiasa berada di bawah tapak kaki penduduk asli yang menghuni kawasan berkenaan.


Lukisan yang amat besar sehingga mencapai ratusan meter panjang itu tidak mungkin disedari sesiapa meskipun seseorang itu berjalan di atasnya. Bentuknya hanya jelas kelihatan dari udara, itupun dari lokasi yang amat tinggi.


Sebaik melihat puluhan objek misteri berbentuk haiwan dan tumbuhan itu, juruterbang dan penumpang berasa hairan dan fikiran masing-masing dipenuhi pelbagai teka-teki. Lukisan apakah ini? Siapa yang melakar lukisan yang amat besar ini dan apa tujuannya? 



Sejak itu, kewujudan lukisan misteri itu terbongkar secara meluas, penyelidik dan ahli arkeologi mula memenuhi Gurun Nazca. Ratusan pesawat berterbangan di atas kawasan itu semata-mata mahu melihat dan mengkaji misteri kewujudan lukisan aneh berkenaan.


Semakin lama, semakin banyak lukisan gergasi yang ditemui di kawasan yang amat luas iaitu sejauh lebih 57 kilometer. Sehingga kini, ratusan imej dan garisan gergasi ditemui, antaranya imej gergasi monyet, burung, pokok, geometri dan jasad makhluk aneh. Lukisan terbesar dilukis dengan panjang lebih 200 meter.


Berdasarkan penemuan artifak arkeologi sekitar kawasan itu, penyelidik mendapati terdapat kaum tertentu menetap di kawasan itu kira-kira 1,300 tahun lalu iaitu sekitar 200 Sebelum Masihi (SM) hingga tahun 700 Masihi.


Akan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kaum terbabit yang bertanggungjawab menghasilkan lukisan itu atau lakaran objek aneh terbabit sudah dilukis pihak lain sebelum kewujudan penempatan purba berkenaan.


Proses pembinaannya adalah dengan menoreh permukaan tanah batuan keras berwarna gelap di gurun sehingga tanah yang berwarna lebih terang terlihat dan membentuk objek. Bagaimanapun, misteri yang paling membingungkan penyelidik dan ramai pihak adalah siapa yang melukis lukisan berkenaan dan apakah tujuannya?



Tanpa Jawapan Yang Pasti, Pelbagai Teori Dikemukakan


Paling menarik adalah teori fiksyen yang mengatakan lukisan aneh Nazca dibina makhluk asing sebagai tapak pendaratan objek terbang tidak dikenali (UFO) pada zaman purba. Dengan teknologi futuristik canggih makhluk asing, tidak mustahil mereka mampu melukis ratusan lukisan gergasi itu.


Melewati masa, makhluk asing meninggalkan tapak pendaratan itu dan kawasan berkenaan dihuni manusia. Akan tetapi, disebabkan ia hanya dapat dilihat dari udara, pihak yang menghuni kawasan itu tidak menyedari wujudnya lukisan gergasi itu sehinggalah pesawat moden dicipta.


Teori lain dikaitkan dengan upacara keagamaan, lukisan gergasi itu juga berkemungkinan dibina sebagai upacara ritual keagamaan penduduk purba dalam menyembah 'dewa'. Penduduk purba Nazca berkemungkinan melakarkan imej gergasi itu kononnya supaya ia dapat dilihat 'dewa' dari langit.


Mungkin juga 'dewa' yang disembah penduduk purba berkenaan sebenarnya adalah makhluk asing. Pada tahun 1985, ahli arkeologi, Johan Reinhard, menerbitkan data kajiannya mengenai amalan memuja 'kuasa ghaib' di gunung dan sumber air yang wujud dalam budaya masyarakat purba Nazca dengan tujuan tanaman menjadi subur, imej gergasi itu dihasilkan untuk tujuan pemujaan berkenaan.


Teori lain mengatakan penghasilan lukisan gergasi berkenaan sebenarnya berkait rapat dengan kedudukan bintang sekali gus memperlihatkan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan lakaran itu sudah mengkaji ilmu kaji bintang sejak zaman purba.


Ahli arkeologi dan Matematik Jerman, Maria Reiche percaya garisan pada lukisan Nazca mewakili kalender matahari dan perubahan struktur astronomi langit.


Sehingga kini, jawapan sebenar kepada tujuan penghasilan lukisan gergasi Nazca masih terus diperdebatkan dengan pelbagai teori berlainan sehingga menyebabkan jawapan sebenar mengenai enigma berkenaan masih kekal sebagai misteri. Rujukan: The GuardianCNN Travel


Lebuhraya Pan-Amerika yang melalui menara tinggi Nazca, berdekatan lukisan garis berbentuk pokok dan lukisan garis berbentuk tangan.

Lukisan gergasi aneh di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru hanya terbongkar secara meluas apabila pesawat terbang mula dicipta dan diterbangkan.

Lukisan gergasi aneh di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru hanya terbongkar secara meluas apabila pesawat terbang mula dicipta dan diterbangkan.

Lukisan gergasi aneh di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru hanya terbongkar secara meluas apabila pesawat terbang mula dicipta dan diterbangkan.

Ahad, 28 Mac 2021

Lukisan dihasilkan lebih 130 tahun dijual RM63.5 juta, salah satu karya Van Gogh

Lukisan dihasilkan lebih 130 tahun dijual RM63.5 juta, salah satu karya Van Gogh


PARIS - Satu lukisan karya Vincent Van Gogh yang tidak pernah dipamerkan sejak dihasilkan 134 tahun lalu dijual lebih 13 juta euro (RM63.5 juta) dalam satu lelongan, pada Khamis lalu.


Agensi lelongan, Sotheby's memaklumkan lukisan berjudul Street Scene in Montmartre itu dipamerkan kepada orang ramai buat pertama kali sejak dihasilkan pada 1887.


Lukisan itu pada mulanya dianggarkan dapat dilelong pada harga lima hingga lapan juta euro (RM24.4 juta hingga RM40 juta) namun melepasi sasaran yang dijangka.


Sotheby mengatakan karya itu dinanti-nanti orang ramai selepas dihasilkan lebih 130 tahun lalu. Ia dilukis pada 1887 setahun selepas Van Gogh berpindah ke Paris dan tinggal di Montmartre bersama abangnya Theo.


Dia meninggalkan ibu kota Perancis pada 1888 ke selatan negara itu sebelum meninggal dunia pada 1890.


Lukisan itu menggambarkan satu daripada kincir angin yang terdapat di Monmartre ketika ia masih sebuah perkampungan, selain imej sepasang suami isteri dengan dua anak mereka bermain di depan pagar kayu.


Lukisan 'pelik' itu antara 30 karya yang dijual oleh Sotheby's pada hari Khamis hasil pelukis terkenal iaitu Modigliani, Rodin, Camille Pissaro, Degas, Klee dan Magritte.


Dalam pada itu, lukisan Camille Pissaro iaitu ‘La Recolte des pois’ dijual pada harga 3.38 juta euro (RM16.5 juta), manakala hasil seni Francis Picabia yang berjudul ‘La Corrida’ dijual 3.15 juta euro (RM15.4 juta).

Khamis, 11 Mac 2021

Lelaki kreatif disaman pasang 'bumbung' pada motosikal

Lelaki kreatif disaman pasang 'bumbung' pada motosikal


KUALA LUMPUR: Mungkin kelihatan kreatif dan inovatif, namun tindakan itu satu kesalahan. Seorang lelaki mengubah suai motosikalnya dengan memasang 'bumbung' menyebabkan dia di saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal) di Plaza Tol Batu 9 Lebuhraya Cheras-Kajang semalam.


Lelaki berkenanan yang merupakan seorang pekerja pemasangan memberi alasan mahu mengelak hujan yang mendorongnya membina 'bumbung' pada skuter SYM VTS 200 miliknya sejak tahun lalu. Malah, 'bumbung' yang dibina sendiri oleh lelaki berkenaan turut dilengkapi dengan penggilap cermin (wiper) di bahagian hadapan.


Lelaki berusia 52 tahun itu berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM300 bagi membeli komponen digunakan bagi membina bumbung berkenaan.


"Bumbung ini saya pasang sendiri sejak tahun lalu kerana mahu mengelak hujan. Walaupun saya tahu tindakan ini salah, namun saya yakin struktur ini kukuh.


"Sepanjang tempoh saya pasang struktur ini, saya tidak pernah disaman pihak berkuasa. Ini adalah kali pertama," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Batu 9 Lebuhraya Cheras-Kajang, di sini, hari ini.


Lelaki berkenaan antara individu yang disaman kerana kesalahan mengubah suai struktur asal dengan memasang struktur tambahan tanpa kelulusan dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal) di lokasi terbabit yang bermula 3 petang tadi.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, seramai 50 pegawai dan anggotanya terbabit dalam operasi itu yang berakhir jam 6.30 petang tadi. 1,050 motosikal diperiksa dalam operasi itu dengan 150 motosikal diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.


"Dalam operasi itu juga, kami mengeluarkan 344 notis atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen, nombor pendaftaran fancy, tayar kecil serta ubah suai ekzos," katanya ketika ditemui di lokasi operasi berkenaan, hari ini.


Mohd Zaki berkata, operasi itu dilaksanakan bukan semata-mata untuk mencari kesalahan pengguna, namun ia bertujuan untuk memastikan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan.


Tambahnya, pengguna perlu tahu adalah penting bagi mereka untuk mengikut spesifikasi ditetapkan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan ketika berada di jalan raya. Ini termasuk bagi komponen seperti tayar yang penting untuk kestabilan kenderaan. Jika ia diubah tidak mengikut spesikasi, ia boleh membahayakan nyawa.


Individu yang disaman kerana kesalahan mengubah suai struktur asal dengan memasang struktur tambahan tanpa kelulusan dalam Operasi Kesalahan Teknikal (Motosikal).

Rabu, 3 Mac 2021

Kreatif hasilkan arca besi tanpa lakaran, hanya mengikut gerak naluri dan imaginasi

Kreatif hasilkan arca besi tanpa lakaran, hanya mengikut gerak naluri dan imaginasi


Sukar mempercayai dalam penghasilan karya arca besi Destiny oleh artis residen Sunway, Infantino Fernandes, tidak menggunakan sebarang lakaran atau lukisan contoh untuk dirujuk sepanjang tempoh lapan bulan menyiapkannya.


Menurut artis kelahiran Goa, India itu sebaik memulakan kerja membuat arca berkenaan dia hanya mengikut gerak naluri selain imaginasi mengenai gambaran yang ingin dihasilkan.


"Seawal diminta membuat arca, saya mengamati apa yang ada di sekeliling dalam memberi ilham kepada karya ingin dihasilkan. Apabila diminta untuk hasilkan arca diletakkan di universiti, saya buat lawatan di universiti dan amati kehidupan pelajar.


"Daripada situ saya dapat bayangan mengenai visual bagaimana rupa karya terbabit dan saya hanya ikut bayangan berkenaan sehinggalah siap. Tetapi saya tidak lupa perincikan hal remeh seperti arah angin supaya ketika arca ini diletakkan ia nampak 'hidup' termasuklah 'stroke' (garisan) baju dan rambut," katanya.



Kata Infantino, dalam tempoh lapan bulan itu cukup mencabar kerana arca Destiny adalah karya paling tinggi pernah dihasilkan dan rasa penat hanya dirasai selepas menyiapkannya.


"Oleh kerana saya membuatnya seorang, ia memang perlu fokus dan ketahanan fizikal. Apabila inginkan karya nampak karya hidup, sekecil-kecil bahagian adalah penting dan saya bekerja berjam-jam lamanya.


"Bermain dengan asap dan api adalah mainan arca besi dan itu sendiri sudah cukup mencabar. Tetapi apabila lihat hasilnya, saya puas kerana ia seperti yang saya bayangkan.


"Perincian seperti ira rambut dan jatuhan jubah di bahagian tangan dan belakang adalah seperti yang ingin saya lihat pada karakter 'pelajar lelaki' berkenaan," katanya.



Menurutnya, mesej penting ingin disampaikan menerusi arca berkenaan membuatkan dia sangat menghargai peluang diberikan Sunway dan juga Sunway University.


"Mesej saya ingin sampaikan dalam karya Destiny ialah setiap orang bertanggungjawab di atas masa depan mereka sendiri. Sesukar manapun keadaan, kita mempunyai kuasa memilih dan pengetahuan boleh membantu dan memberi 'kuasa' untuk mencapai impian.


"Saya rasa ia relevan dengan situasi ketika ini baik kehidupan pelajar sehingga seseorang itu dewasa ada peranan dan kelebihan termasuklah menyumbang kepada komuniti," katanya.


Dalam setiap arca pernah dihasilkan dan ditempatkan di semua ruang legar bangunan Kumpulan Sunway seperti arca Ibu di Hospital Sunway Subang Jaya Selangor dan Victory di pekarangan lobi utama pusat membeli-belah Sunway Pyramid bukan bertujuan menambah estetika semata-mata sebaliknya sebagai inspirasi seni boleh dinikmati semua.