Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Purba. Papar semua catatan

Ahad, 11 September 2022

Ahli arkeologi Georgia menemui gigi manusia purba berusia 1.8 juta tahun

Ahli arkeologi Georgia menemui gigi manusia purba berusia 1.8 juta tahun


Sekumpulan ahli arkeologi menemukan gigi milik manusia purba yang dianggarkan berusia 1.8 juta tahun di Georgia. Penemuan itu mengukuhkan lagi dakwaan bahawa wilayah itu sebagai rumah bagi salah satu penempatan manusia prasejarah terawal di Eropah.


Gigi itu ditemukan berhampiran perkampungan Orozmani, terletak kira-kira 96.5 kilometer di barat daya ibu kota Georgia iaitu Tbilisi, berhampiran Dmanisi, di mana tengkorak manusia berusia 1.8 juta tahun ditemui pada akhir 1990-an dan awal 2000-an.


Penemuan Dmanisi merupakan penemuan tertua di dunia di luar Afrika malah mengubah pemahaman saintis mengenai evolusi awal dan corak penghijrahan manusia purba.


Menurut pakar, penemuan terbaharu di lokasi penggalian itu membuktikan kawasan pergunungan di selatan Caucasus, berkemungkinan merupakan antara tempat pertama manusia purba menetap setelah berhijrah keluar dari Afrika.


"Orozmani bersama dengan Dmanisi, mewakili pusat penemuan tertua manusia purba atau Homo sapiens di dunia di luar Afrika," jelas Pusat Penyelidikan Kebangsaan Arkeologi dan Prasejarah Georgia.


Menurut ketua pasukan penyelidik, Giorgi Bidzinashvili, dia menganggap gigi itu milik 'kenalan' Zezva dan Mzia, nama yang diberikan kepada dua fosil tengkorak manusia hampir lengkap berusia 1.8 juta tahun ditemukan di Dmanisi.


Dilaporkan, pelajar ahli arkeologi, Jack Peart menemukan gigi manusia purba itu di Orozmani.


"Implikasinya bukan sahaja untuk tapak penggalian ini tetapi ia sangat besar bagi Georgia dan kisah manusia meninggalkan Afrika 1.8 juta tahun lalu.


"Penemuan itu mengukuhkan lagi Georgia sebagai lokasi yang sangat penting untuk paleoantropologi dan kisah manusia secara umum," katanya kepada Reuters.


Fosil Homo masih merupakan fosil manusia tertua ditemui di dunia setakat ini yang bertarikh sekitar 2.8 juta tahun yang lalu. Rahang separa ditemui di Ethiopia zaman moden. - Sumber Reuters.


BACA: Gua Wonderwerk, rumah tertua dihuni manusia purba sejak 2 juta tahun dahulu.


Giorgi Bidzinashvili, ahli arkeologi dan ketua saintifik pasukan penggali, menunjukkan gigi kepunyaan manusia purba, yang ditemui dari lapisan batu yang mungkin bertarikh 1.8 juta tahun, berhampiran tapak penggalian di Dmanisi di luar kampung Orozmani di Georgia, pada 8 September 2022. - Foto REUTERS/David Chkhikvishvili.

Wartawan dan ahli arkeologi berkumpul di tapak penggalian berikutan penemuan gigi kepunyaa manusia purba, yang ditemui daripada lapisan batu yang mungkin bertarikh 1.8 juta tahun, berhampiran tapak penggalian di Dmanisi di luar kampung Orozmani di Georgia, pada  8 September 2022. - Foto REUTERS/David Chkhikvishvili.

Ahli arkeologi bekerja di tapak penggalian berikutan penemuan gigi kepunyaan manusia purba, yang ditemui daripada lapisan batu yang mungkin bertarikh 1.8 juta tahun, berhampiran tapak penggalian di Dmanisi di luar kampung Orozmani di Georgia, pada 8 September 2022. - Foto REUTERS/David Chkhikvishvili.

Khamis, 1 September 2022

Pekan purba dari era Empayar Rom muncul semula selepas 2,000 tahun hilang

Pekan purba dari era Empayar Rom muncul semula selepas 2,000 tahun hilang


Sebuah perkampungan 'hantu' dari era Empayar Rom ditemui semula selepas hampir 2,000 tahun hilang di bawah air, lapor akhbar The Sun pada 30 Ogos 2022.


Pekan purba itu tenggelam di bawah takungan air dekat Sungai Lima di barat laut Sepanyol. Berdasarkan rakaman dron pada minggu lalu, kampung yang hilang itu tidak disentuh selama berabad-abad.


Sekitar tahun 75 Masihi, runtuhan itu dipercayai merupakan lokasi kem tentera Rom yang dinamakan Aquis Querquennis.


Menurut pakar-pakar sejarah, kem purba itu dibina di Galicia, sekitar 531 kilometer dari Madrid pada kemuncak Empayar Rom hampir 2,000 tahun lalu.


Menurut majalah Atlas Obscura, kem itu menempatkan sehingga 600 tentera Rom.

 

Kem tentera itu dikatakan ditinggalkan oleh tentera beberapa dekad selepas ia dibina, sebelum kemudian dibanjiri air sungai.


Kem itu turut memiliki kuil, bilik mandi air panas, berek tentera dan hospital. Kemarau teruk di seluruh Sepanyol mendedahkan runtuhan itu.


Penemuan itu telah menyebabkan beberapa orang mempersoalkan apakah tapak purba lain di kawasan itu akan ditemui tidak lama lagi. - Sumber The Sun.


Pekan purba ini muncul semula selepas kemarau teruk melanda di Sepanyol yang menyebabkan banyak sungai hampir kering. Kem tentera Rom adalah salah satu daripada beberapa penemuan bersejarah. - Foto EPA.

Termasuk dalam kem tentera yang besar itu ialah kuil, mandi air panas, berek tentera dan hospital. - Foto Alamy.

Kemarau yang teruk mengeringkan takungan, mendedahkan runtuhan bersejarah. - Foto Alamy.

Kem tentera itu dibina oleh empayar Rom kuno. - Foto Alamy.

Rakaman udara yang menakjubkan menunjukkan kampung purba yang hilang. - Foto EPA.

Kem tentera Aquis Querquennis ditemui selepas 2,000 tahun di bawah air. - Foto EPA.

Khamis, 25 Ogos 2022

Tapak kaki dinosaur sejak 113 juta tahun dahulu ditemui di dasar sungai yang kering selepas kemarau teruk di Texas

Tapak kaki dinosaur sejak 113 juta tahun dahulu ditemui di dasar sungai yang kering selepas kemarau teruk di Texas


Cuaca panas dan kemarau melampau di Texas, Amerika Syarikat menyebabkan kebanyakan sungai kering kontang, dengan beberapa dasar sungai mendedahkan jejak dinosaur yang hidup kira-kira 113 juta tahun dahulu.


Menerusi laporan akhbar Daily Mail pada 23 Ogos 2022, jejak itu dikesan di Dinosaur Valley State Park, berdekatan Fort Worth, Texas, di dasar sungai yang kini kering selepas sekian lama ditutup oleh mendapan dan saliran air.


‌Musim kemarau di kawasan itu menyebabkan sebahagian besar Sungai Paluxy kering sehingga menampakkan jejak dinasour itu, yang tidak terjejas di sebalik lapisan mendapan dan tanah liat serta batu kapur.


Pegawai taman Stephanie Salinas Garcia mendakwa, ia mungkin jejak terpanjang yang ditinggalkan dinasour di mana-mana tepat di Amerika Utara.


"Jejak itu, kebanyakannya dipercayai milik spesies dinosaur Acrocanthosaurus setinggi 15 kaki seberat 7 tan, dan Sauroposeidon, yang tingginya kira-kira 60 kaki dan berat sekitar 44 tan," jelasnya.



Jejak tapak kaki dinosaur itu bagaimanapun hanya kelihatan untuk beberapa hari sebelum ia lenyap semula apabila hujan menyebabkan paras air sungai kembali naik.


Sebuah video yang disiarkan oleh taman itu di media sosial menunjukkan tapak kaki yang baru ditemui, kelihatan seperti alur dalam di dasar sungai berlumpur.


Menurut laman web taman, jejak itu dianggap bermula pada Era pertengahan Cretaceous, ketika wilayah Dallas Texas berada di tepi laut.


Lumpur di pinggir pantai ini menjadikan konsistensi yang ideal untuk memelihara jejak akibat mendapan kalsium karbonat daripada cengkerang krustasea. - Sumber Daily Mail.


Dalam keadaan cuaca biasa, jejak dinosaur biasanya berada di bawah air dan dipenuhi dengan sedimen, yang menimbusnya dan menjadikannya kurang kelihatan. - Foto Facebook Dinosaur Valley State Park - Friends.

Dinosaur Valley State Park adalah rumah kepada pelbagai jejak dinosaur, kebanyakannya daripada sauropod dan theropod purba, tetapi ini adalah kali pertama tapak kaki ini dilihat. - Foto Facebook Dinosaur Valley State Park - Friends.

Tapak kaki dinosaur sejak 113 juta tahun telah ditemui selepas keadaan kemarau teruk mengeringkan sungai di Texas. - Foto Facebook Dinosaur Valley State Park - Friends.

Kesan tapak kaki telah ditemui selepas sungai di Dinosaur Valley State Park di Texas kering akibat kemarau. - Foto ISTOCK / GETTY IMAGES PLUS.

Rabu, 20 Julai 2022

(Video) Nelayan Taiwan tangkap jerung zaman prasejarah, spesiesnya sudah hidup lebih 200 juta tahun dahulu

(Video) Nelayan Taiwan tangkap jerung zaman prasejarah, spesiesnya sudah hidup lebih 200 juta tahun dahulu


Jerung enam insang hidung tumpul (bluntnose sixgill shark) yang jarang ditemukan dan merupakan spesies yang dipercayai sudah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur, ditangkap nelayan Taiwan dari daerah Taitung pada Ahad lalu.


Pembantu penyelidik di Pusat Biologi Marin Pantai Timur Institut Penyelidikan Perikanan, Wu Jui-hsien memberitahu Channel News Asia, berkata jerung itu adalah spesis yang jarang ditemukan kerana ia hidup pada kedalaman 200 hingga 1,000 meter di bawah paras laut.


"Meskipun kebanyakan spesies jerung moden telah berevolusi dan memiliki lima insang, jerung bluntnose masih mempunyai enam insang seperti spesies terdahulu," jelas Wu.


Menurut Wu, ikan seberat 420 kilogram itu ditangkap di Lautan Pasifik oleh bot nelayan yang berpangkalan di Taitung dan dibawa ke pelabuhan di daerah timur Taiwan, Xingang.


Hasil tangkapan berukuran kira-kira 395 sentimeter panjang itu dilelong semalam.


Menurut Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), jerung bluntnose disenaraikan sebagai 'hampir terancam' kerana jangka hayatnya yang panjang yang menjadikannya buruan serta terdedah kepada eksploitasi.


Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman web Muzium Florida, jerung bluntnose hampir menyerupai fosil berusia kira-kira 200 juta tahun dahulu. - Sumber BERNAMA.



Jerung ini merupakan spesies yang dipercayai sudah berada di Bumi sebelum kewujudan dinosaur. - Foto CNA.

Selasa, 12 Julai 2022

Saintis temukan fosil tulang rahang manusia berusia 1.4 juta di Sepanyol

Saintis temukan fosil tulang rahang manusia berusia 1.4 juta di Sepanyol


Satu serpihan tulang rahang manusia yang ditemukan di Sepanyol pada bulan lalu dipercayai berusia 1.4 juta tahun, menjadikannya kemungkinan fosil paling tua pernah ditemukan di benua Eropah.


Sehingga kini, fosil manusia tertua yang pernah ditemukan di Eropah di tapak yang sama pada 2007 dianggarkan berusia 1.2 juta tahun.


Menerusi lapor akhbar Daily Mail pada 8 Julai 2022, fosil itu ditemukan di tapak arkeologi pada 30 Jun lalu di banjaran gunung Atapuerca, yang terkenal dengan penemuan sejarah manusia zaman purba.



Pasukan paleoantropologi secara rasminya belum menentukan usia tulang rahang tersebut, namun disebabkan ia ditemukan lebih dalam berbanding penemuan sebelum ini, maka mereka membuat hipotesis ia lebih berusia. Tulang rahang itu diukur sepanjang 7.6 sentimeter.


Penyelidik telah mengusahakan tapak arkeologi ini sejak 1978 dan sangat teruja apabila mereka menemui tulang rahang berusia 1.2 juta tahun pada tahun 2007.


Seorang daripada pengarah di tapak arkeologi tersebut, Jose Maria Bermudez de Castro berkata, mereka memerlukan masa antara enam hingga lapan bulan untuk melakukan analisis bagi mengenal pasti usia sebenar fosil tersebut.


Selain itu, pasukan saintis juga bertungkus-lumus mengenal pasti tulang rahang itu daripada era manusia yang ke berapa dan menentukan umur tulang.


"Kami perlu meneruskan kajian ini sekurang-kurangnya setahun lagi. Apa yang boleh kami katakan, kami sudah menemukan fosil manusia yang sangat penting, yang menunjukkan kewujudan populasi pertama di Eropah," kata Castro.


Satu kajian yang diterbitkan pada Mac lalu mendapati tulang rahang keturunan manusia pertama adalah sangat kuat kerana sering menggunakan mulut untuk menggigit bahan mentah sebelum kewujudan senjata tajam. - Sumber Daily Mail.


Fosil itu ditemui di tapak arkeologi pada 30 Jun di banjaran gunung Atapuerca. - Foto Daily Mail.

Serpihan tulang rahang manusia ini ditemukan di Sepanyol pada bulan lalu dipercayai berusia 1.4 juta tahun. - Foto Daily Mail.

Selasa, 21 Jun 2022

Bandar purba berusia 3,400 tahun ditemui di dasar Sungai Tigris yang semakin kering

Bandar purba berusia 3,400 tahun ditemui di dasar Sungai Tigris yang semakin kering


Sekumpulan ahli arkeologi dari Jerman dan Iraq telah menemui bandar purba yang berusia 3,400 tahun dipercayai peninggalan Empayar Mittani yang terletak di sekitar Sungai Tigris, lapor laman berita Science Alert pada 31 Mei 2022.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Tubingen, bandar lama tersebut ditemui setelah paras air di empangan Mosul di Iraq menurun secara mendadak. Penurunan paras air itu disebabkan oleh kemarau melampau yang melanda Iraq.


Di tapak itu, ahli arkeologi menemui runtuhan istana dan bangunan besar lain. Mereka mengesyaki bandar itu bernama Zakhiku yang merupakan pusat Empayar Mittani sekitar tahun 1550-1350 sebelum masihi.


"Proses cari gali menunjukkan bahawa tapak ini adalah pusat penting Empayar Mittani," kata Hasan Qasim dari Pertubuhan Arkeologi Kurdistan.



Ahli-ahli arkeologi segera melakukan cari gali selepas paras air empangan Mosul yang amat dalam sebelum ini surut kerana kemarau. Proses penemuan bandar purba di dasar empangan itu telah dilakukan sekitar Januari dan Februari lalu.


Pakar arkeologi dari Universiti Freiburg, Ivana Puljiz yang terlibat dalam penemuan bandar purba itu berkata, proses cari gali berlangsung beberapa hari sahaja.


"Penemuan beberapa bahagian binaan tinggi diyakini memainkan peranan penting bagi Empayar Mittani. Bahagian besar bangunan itu pula sangat penting kerana menyimpan kuantiti makanan yang banyak dan mungkin untuk bekalan seluruh wilayah," jelasnya.


Seorang daripada ahli arkeologi itu bernama Dr. Peter Pfälzner dari Universiti Tübingen menyatakan, dengan penemuan bandar purba itu mereka berharap akan dapat memahami lebih lagi tentang pengakhiran era Mittani, dan permulaan kepada pemerintahan orang Assyria di rantau itu.


Sungai Tigris merupakan salah satu sungai terpenting selain dari sungai Furat yang menjadi sumber air kepada pertanian, tenaga hidro dan juga laluan kepada jutaan pengguna sekitar Asia Barat.


Bandar purba berusia 3,400 tahun yang ditemui di Iraq baru-baru ini dipercayai bernama Zakhiku yang merupakan pusat Empayar Mittani. - Foto Universiti Freiburg.

Salah satu bekas seramik yang mengandungi tablet cuneiform. - Foto Universiti Freiburg.

Dinding bangunan penyimpanan makanan yang banyak. - Foto Universiti Freiburg.

Antara barangan purba yang ditemui di tapak lokasi bandar tersebut. - Foto Universiti Freiburg.

Ahad, 19 Jun 2022

Wanita dakwa kuasai bahasa makhluk asing selepas lawat piramid purba Teotihuacan

Wanita dakwa kuasai bahasa makhluk asing selepas lawat piramid purba Teotihuacan


Seorang wanita di Mexico mendakwa bahawa dia menguasai bahasa makhluk asing, selepas keupayaan tersembunyinya dibuka kepadanya melalui beberapa siri pertemuan dengan 'alien' di tapak piramid purba, lapor akhbar Daily Star pada 17 Jun 2022.


Wanita itu, Mafe Walker, 45, memuat naik pengalamannya di media sosial selepas melawat tapak piramid purba Teotihuacan yang terletak dekat Bandar Raya Mexico.


Mafe yang mendakwa dirinya ahli bahasa makhluk asing berkata, dia kini boleh bercakap bahasa tambahan itu selepas hidupan dari dunia lain menghubunginya di tapak piramid berkenaan.


"Kuasa itu datang kepada saya dan membuka kunci keupayaan tersembunyi selepas saya melawat tapak piramid Teotihuacan," katanya.



Dalam satu video yang dimuat naik di laman TikTok, wanita itu dilihat bercakap dalam bahasa karut tanpa makna yang jelas. Mafe kemudian diundang ke satu rancangan bual bicara tempatan sebulan selepas klip video percakapannya tular di media sosial.


Dalam program bual bicara berkenaan, Mafe berkata, dia memiliki peranan sebagai medium untuk hidupan asing, sebelum dia mula berbicara dalam bahasa mengarut yang disiarkan secara langsung di Mexico.


Mafe yang dilahirkan di Colombia pada 1977, turut mendakwa fasih berbahasa Inggeris, Sepanyol dan 'bahasa astral'. 


Piramid Teotihuacan dikatakan menjadi lokasi tumpuan aktiviti makhluk asing sejak sekian lama disebabkan binaannya yang canggih, jauh lebih maju daripada bangunan lain pada zaman dahulu.


Bangsa Aztec menamakan piramid itu dalam tahun 1400-an selepas struktur tersebut tidak digunakan selama lebih 100 tahun. - Sumber Daily Star.


Mafe bergambar di hadapan piramid Teotihuacan di Mexico. - Foto CEN.