Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Rabu, 23 Jun 2021

Tayar Lori Pecah, Durian Bertaburan Atas Lebuh Raya

Tayar Lori Pecah, Durian Bertaburan Atas Lebuh Raya


Sebuah lori dengan muatan kira-kira satu tan durian yang sedang menuju ke Kuala Lumpur dari Segamat, Johor terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Nilai, Seremban.


Kejadian itu berlaku tengah hari tadi - menyebabkan durian bertaburan di lebuh raya, dipercayai berpunca apabila sebuah tayar lori itu pecah mengakibatkan ia terbabas dan terbalik.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 1.55 tengah hari apabila lori membawa muatan durian itu terbabas dan terbalik.


Katanya, kejadian berlaku lebih kurang tujuh kilometer dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.


"Kemalangan berlaku apabila sebuah lori muatan durian dipandu lelaki berumur 25 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Segamat hilang kawalan dipercayai tayar belakang sebelah kiri pecah.


"Lori berkenaan terbabas dan terbalik di lorong kiri. Pemandu lori dan kelindan masing-masing berumur 25 dan 52 tahun mengalami kecederaan ringan. Muatan durian yang dibawa bertaburan di lebuh raya," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman di bawah Rule 10 LN 166/59.


Keadaan durian yang berselerakan di lebuhraya selepas terbabit dalam kemalangan gara-gara tayar lorinya pecah.

Keadaan durian yang berselerakan di lebuhraya selepas terbabit dalam kemalangan gara-gara tayar lorinya pecah.

Lori membawa muatan durian terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Plus dekat Nilai, tengah hari tadi.

Lori membawa muatan durian terbalik di Kilometer 279.9 Lebuhraya Plus dekat Nilai, tengah hari tadi.

Isnin, 31 Mei 2021

Kerana Buat Cabaran TikTok, Remaja Perempuan Terbakar Satu Badan Melecur Tahap Tiga

Kerana Buat Cabaran TikTok, Remaja Perempuan Terbakar Satu Badan Melecur Tahap Tiga


Seorang gadis berusia 13 tahun berada di hospital selama lebih dari dua minggu setelah mengalami luka terbakar tahap tiga, dan hilang keupayaan untuk menggunakan tangannya selepas meniru video yang dilihatnya dalam aplikasi TikTok.


Destini Crane, dari Portland, Oregon, dipercayai membawa lilin, pemetip api dan sebotol alkohol ke dalam bilik air untuk cuba melukis bentuk pada cermin sebelum menyalakannya dengan api. Namun, percubaannya gagal apabila ibu Destini, Kimberly terdengar anak gadisnya menjerit di dalam tandas.


"Saya di ruang tamu bercakap dengan ibu saya, tiba-tiba kami mendengar dia menjerit nama saya, jadi saya pergi dan membuka pintu bilik mandi dan semuanya terbakar. Destini terbakar, kesemua barang yang ada disitu turut terbakar.


"Ketika saya mengambil telefon Destini, TikTok masih merakam video, saya kemudian membawa Destini ke luar dan menarik bajunya yang terbakar, seorang jiran telah menelefon 911," kata Kimberly Crane.


Kimberly mendapati alkohol tersebut tumpah memenuhi tandas rumahnya dan api menjulang tinggi, menyebakan anak gadisnya melecur teruk. Gadis itu kemudiannya dikejarkan ke hospital dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sejak 13 Mei hingga kini.


Gadis itu melecur pada bahagian leher, tangan kanan dan perlu menjalani pembedahan kulit. Menurut kakaknya, Andrea Crane, Destini mungkin memerlukan beberapa bulan lagi untuk pulih, termasuk perlu menjalani rawatan fisioterapi penggunaan lengan dan pergerakan di leher, bahu dan jari. Sumber: ABC News


Destini Crane dalam foto yang tidak bertarikh.

Isnin, 24 Mei 2021

Beratus cedera, dua tren LRT bertembung di laluan Kelana Jaya

Beratus cedera, dua tren LRT bertembung di laluan Kelana Jaya


Beratus penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya cedera dalam insiden membabitkan dua tren, hari ini. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam ketika tren itu dalam perjalanan antara Kampung Baru dan KLCC.


Satu daripada tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang terbabit dalam perlanggaran bersama sebuah lagi tren LRT, dipercayai membawa 213 penumpang. Tren berkenaan dalam perjalanan dari Gombak, dilaporkan bertembung dengan tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang dan dipercayai mengalami masalah teknikal.


Setakat jam 10 malam ini, difahamkan sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 orang mengalami luka ringan. Mangsa kemalangan LRT sedang dibawa keluar.


Pengurus Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Media) Prasarana, Azhar Ghazali, mengesahkan kemalangan itu membabitkan perkhidmatan tren LRT bernombor 40 dan 81.


"Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan.


"Kami memohon maaf atas segala kebimbangan dan kerisauan dan pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk memberi bantuan dan mengawal keadaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Media sosial sekitar jam 9 malam tadi gempar apabila beberapa keping gambar muncul menunjukkan sebilangan penumpang LRT cedera di dalam pengangkutan itu.


Beberapa penumpang tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya cedera dalam insiden membabitkan dua tren, Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 9 malam ketika tren itu dalam perjalanan antara Kampung Baru dan KLCC.

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut

Kecewa pelaburan gagal, lelaki rempuh sekumpulan pejalan kaki mengakibatkan 5 maut


Sekumpulan pejalan kaki yang sedang melintas jalan dirempuh sebuah kereta yang dipandu laju mengakibatkan lima daripadanya maut dalam kejadian di bandar Dalian, China pada Sabtu lalu.


Suspek lelaki berusia 32 tahun yang cuba melarikan diri selepas pelanggaran itu bagaimanapun berjaya ditahan, lapor SCMP. Siasatan awal polis mendapati suspek yang hanya dikenali sebagai Liu bertindak demikian kerana kecewa pelaburannya gagal dan ingin "membalas dendam terhadap masyarakat".


Rakaman CCTV dan telefon bimbit kejadian yang kini tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta sedan hitam memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan.


Menurut kenyataan polis, Liu, yang bekerja sebagai pendandan rambut, telah melanggar lampu merah dan memecut dengan kelajuan 108 kilometer sejam dalam tujuh saat sebelum merempuh kumpulan pejalan kaki itu.


Setelah merempuh pejalan kaki, Liu melarikan diri di dalam keretanya sebelum bertembung dengan van di sebuah persimpangan. Dia kemudian meninggalkan kenderaan itu dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, tetapi berjaya ditangkap polis kira-kira jam 1 tengah hari.


"Suspek tidak dapat menerima kegagalan pelaburan peribadinya dan kehilangan kepercayaan dalam hidup, jadi dia membalas dendam kepada masyarakat," kata jurucakap polis.


Empat mangsa mati di tempat kejadian dan mangsa kelima meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital. Lima yang lain cedera dalam kejadian itu, kata polis.


Wakil ketua polis Dalian, Qu Bo pada Ahad berkata suspek telah ditahan atas tuduhan "membahayakan keselamatan awam". Sekiranya didapati bersalah, suspek boleh dihukum mati.


Rakaman CCTV kejadian menunjukkan kereta sedan hitam itu memecut ke arah sekumpulan pejalan kaki ketika mereka melintas jalan. -Video tular

Ahad, 23 Mei 2021

20 peserta larian maut, cuaca ekstrem tiba-tiba melanda

20 peserta larian maut, cuaca ekstrem tiba-tiba melanda

Yellow River Stone Forest.


Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan seorang lagi hilang selepas hujan ais dan angin kencang melanda Yellow River Stone Forest, bandar Baiyin, barat laut Gangsu, pagi tadi.


Menurut agensi berita Xinhua, cuaca buruk melanda ketika peserta mengambil bahagian dalam acara larian 100 kilometer (km) merentas pergunungan berdekatan.


"Cuaca ekstrem melanda daerah itu ketika perlumbaan diadakan di Hutan Yellow River Stone berhampiran Bandar Baiyin di wilayah barat laut Gansu, kata Xinhua, sambil menambah lebih 700 penyelamat dikerahkan untuk mencari peserta yang hilang.


"Menurut ibu pejabat pasukan penyelamat, sekitar jam 1 pagi semalam, hujan batu dan angin kencang melanda kawasan pentas perlumbaan pada ketinggian antara 20 hingga 31 kilometer," lapor agensi itu.


Menurut laporan itu, suhu di pergunungan itu semakin menurun ketika tengah malam menyebabkan misi mencari dan menyelamat semakin sukar.


"Seramai 172 peserta mengambil bahagian dalam acara larian itu. Peserta mengalami ketidakselesaan fizikal dan tiba-tiba kehilangan suhu badan kerana penyusutan suhu udara," lapor agensi itu.


Yellow River Stone Forest terkenal dengan pemandangan indah batuannya yang dipercayai berusia lebih empat juta tahun dan sering dijadikan lokasi penggambaran filem dan televisyen, menurut China Daily.


Gansu, satu daripada wilayah termiskin di China, bersempadan dengan Mongolia di utara dan Xinjiang di barat. Kejadian banjir dan tanah runtuh yang dahsyat pernah melanda wilayah itu sebelum ini dengan tanah runtuh mengorbankan lebih 1,000 orang di satu bandar pada tahun 2010.


Pasukan penyelamat melakukan operasi dan menyelamat mangsa.


Sabtu, 22 Mei 2021

Lelaki bertindak 'pelik' bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh

Lelaki bertindak 'pelik' bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh


Lelaki bertindak 'pelik' apabila tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh dari tingkat 12 di flat di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur, hari ini.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas blok berkenaan pada 2.08 petang.


"Siasatan awal dilakukan mendapati lelaki berusia 37 tahun berkenaan dilihat berlegar-legar di tingkat 12 blok berkenaan pada 1.50 tengah hari.


"Sebelum kejadian itu, terdapat seorang saksi menegur lelaki terbabit dan dia hanya tersenyum dan tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok.


"Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba memujuk lelaki berkenaan selama beberapa minit sebelum dia jatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki itu mendapati terdapat beberapa kecederaan di kepala, bahu, tangan dan kakinya.


"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.


Gambar daripada rakaman kejadian lelaki jatuh dari tingkat 12 sebuah flat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Jumaat, 21 Mei 2021

Badan lelaki hancur, kereta meletup kenderaan berhampiran turut terbakar

Badan lelaki hancur, kereta meletup kenderaan berhampiran turut terbakar


Seorang lelaki maut dalam keadaan tragik dengan hancur anggota badan selepas kereta dipandunya meletup dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu, petang hari ini.


Kejadian jam 5.38 petang itu menyebabkan kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa rentung dan terputus dua. Lima kenderaan lain yang berada berhampiran di lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.


Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, seorang mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.


"Ketika kejadian terdapat lima kenderaan di lokasi berhampiran yang turut terbakar. Cermin masjid di lokasi berkenaan juga pecah akibat letupan kenderaan itu," katanya.



Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, tidak menolak kemungkinan kereta yang meletup dipercayai dipanah petir turut membawa mercun bola, letupan itu menyebabkan mangsa yang maut tercampak sejauh 20 meter dari lokasi kejadian.


Bagaimanapun, katanya, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan. Empat lagi mangsa yang berada dalam kenderaan berlainan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.